Showing posts with label 1. Bahasa Melayu/Malay. Show all posts
Showing posts with label 1. Bahasa Melayu/Malay. Show all posts

Thursday, September 24, 2026

Tak Payah La Melebih-Lebih Paksa Orang Makan Apa Yang Dia Tak Nak Makan

No comments:

Yang ni, Hikari jumpa di siaran kenalan Facebook yang balas luahan perasan di bawah ni. 

Salam. sbagai sorang istri. kalau suami ni terlalu ketagih makan makanan instant dan lauk ayam daging. dia x suka makan sayur, x suka makan nasi. baru seminggu maggi habis 3 bungkus yg ada isi 5 atau 4 pcs tu. sya sedih lah btul. dgn masalah kewangan skrg lg. dia mengada ngada nak makan yg instant. dgn kicap tu cara bejat. masalahnya, 1 minggu ni sy bbeas mee instant, hotdog, bola daging, fries. saya x tahan lah. dah puas tegur tp dimaki nya saya balik. di cakap mengira n kedekut. dia ni dari budak lagi dah di biasakan makan makanan mcm tu. sedih juga la. sebab saya ni peminat makan sayur lebih2 ulam. dan makanan kampung. tp jadi x semangat masak. sbb slalu dia x nak makan. sya bgi bekal keja sayur mayur dia x sentuh langsung. kecil juga hati saya sbgai seorang istri. slalu sya x lalu nak makan. sbb sedih masakan saya x dimakan suami. memasak ni pun bukan nya x penat. tp last2 dibiarkan basi. slalu sy yg makan sbb takut membazir. dia ckp masak je nt sya makan juga tu. tp last2 x makan. benda ni mungkin hal kecil di mata org lain. tp sbgai seorang istri yg sanggup bangun subuh. masakkan makanan rasa sedih juga. lg2 klo nak masak ayam goreng dgn daging hari2 kosnya bukan rendah. tambah lg mee instant n makanan instant tu bukan murah.

Banyak benda Hikari setuju tapi bila dia masuk label perempuan ni Kepamist dan lain-lain, bahasa memang kurang elok, kurang ajar, kurang sopan, Hikari malas dah baca. Hikari sekat terus akaun lelaki tu.

Balik ke ulasan...

Pada Hikari la kan...

Memang wajar kalau isteri risau sebab takut kehilangan suami tersayang, lebih-lebih lagi kalau si suami ialah satu-satunya pencari nafkah di rumah tu. TAPI dalam masa yang sama, si isteri kena ingat yang kedua-dua si isteri dan si suami tu dah dewasa, dah baligh. 

Dari sudut nafkah, ya, suami la kena bayar untuk penjagaan dan rawatan kesihatan. Tapi itu cuma dari sudut kewangan. Dari segi tanggungjawab, masing-masing bertanggungjawab atas kesihatan diri sendiri, bukan orang lain, kecuali anak sendiri yang belum baligh. Orang lain boleh tolong je. Nak jaga kesihatan atau tidak, akhirnya bergantung kepada diri sendiri.

Dipendekkan cerita, isteri BUKAN MAK kepada suami. Kalau suami tak kisah pasal kesihatan dia, yang isteri tu tak payah la nak melebih-lebih.

Kedua, kita kena adil dengan pasangan. Kalau si isteri pun tak boleh nak telan apa yang si suami makan, kenapa nak paksa si suami telan apa yang isteri makan? Kalau kita tak suka dipaksa, jangan la paksa orang. Ini bukan isu tak hargai pasangan, ini isu citarasa kita tak sama je. Ini secara logik la, tapi dari segi perasaan, tetap sedih.

Cumanya, pujuk-pujuk la diri tu supaya tak bersedih lebih-lebih sebab ini bukan salah sesiapa. Bukan salah isteri, bukan salah suami. Benda dah tak boleh masuk tekak, paksa-paksa, nanti muntah pula. Lagi sedih, lagi tak seronok.

Ketiga, isu duit. Tak ada duit, buat cara tak ada duit. Si isteri masak je apa yang si isteri nak makan dan setakat untuk si isteri makan. Tak payah buat lebih kalau dah tau akan membazir, kalau dah tau si suami takkan makan.

Untuk suami, kalau suami terlalu ketagih makan makanan segera dan lauk ayam daging, tak suka sayur, tak suka nasi, tapi duit tengah tak berada nak ada... si isteri tak payah la pening-pening. Bagi je suami makan apa dia nak makan setakat yang boleh.

Contoh, bagi je makan mi segera bodo tak ada apa.

Kalau degil nak paksa juga suami makan sayur, buat la cara berhemah atau cara mak-mak buat untuk paksa anak makan sayur. Contoh, sayur tu kisar halus bagi sayur tu tak nampak masuk dalam kuah. Tapi risiko tanggung sendiri la kalau suami perasan.

Kentang goreng (fries) tu jangan beli yang sejuk beku tu, beli ubi kentang sekilo terus. Murah. Tapi kena buang kulit, potong sendiri bentuk jari-jari tu, goreng la.

Ayam dan daging tu tak payah la hari-hari. Atau, kalau nak hari-hari, catu la. Seketul ayam goreng tu pecah 7 untuk 7 hari. Bola daging tu pun sama. Haha. Sah boleh makan hari-hari.

Tapi kalau tiap-tiap hari nak seketul besar daging atau ayam, suruh suami buat kerja lebih la. Nak berlagak macam orang kaya, kena la kaya dulu.

Atau, kalau si isteri dah tak tahan dengan selera suami yang tak ikut poket, si isteri sendiri la pergi cari kerja untuk tanggung makan minum sendiri. Suruh suami urus makan minum dia sendiri. Lepas tu si isteri fikir berbaloi ke tak berbaloi nak teruskan perkahwinan tu.

Pendek cerita, tak payah la nak belit-belit, fikir lebih-lebih benda tak perlu fikir.

Sekian.

And... good luck!

Sunday, September 20, 2026

Perlu ke Kursus Pra Perkahwinan di Malaysia? (Versi 2026)

No comments:

Karangan asal: https://muymg.blogspot.com/2015/03/perlu-ke-kursus-pra-perkahwinan-di.html

Saja Hikari baca balik karangan2 lama. Sekali terjumpa yang ni haha.

Sekarang dah bertukar fikiran, sebab tu Hikari karang versi 2026 untuk terangkan kenapa.

Pertama sekali, dulu Hikari ingat semua orang pergi kelas agama dan sekolah agama macam Hikari. Kalau macam Hikari, memang dari kecil dah belajar agama dan belajar pasal ilmu berkaitan alam perkahwinan semasa sekolah menengah. Sekarang dah bergaul dengan lebih ramai orang, baru tau, ramai je yang dah dewasa nak baca Al-Quran pun tak boleh. Ramai je yang tak belajar agama, tak tau agama, walaupun dalam kad pengenalan ada tercatat "Islam".

Sebab tu ada suami yang tak tahu nafkah tu sepenuhnya di atas bahunya jadi dia tak tunaikan nafkah sebab dia kata isteri kerja atau lebih kaya daripada dia. Ada suami yang ingat dia ketua keluarga, dia ingat dia ada hak mencederakan isterinya "sebagai pengajaran", dia ada hak untuk buli isteri dia.

Lepas tu, ada pula isteri yang ingat menunaikan nafkah batin di ranjang tu tak penting. Ikut suka hati dia la nak bagi ke tak. Padahal dalam Islam, melainkan kau penat sangat, tak sihat, atau ada sebab2 lain yang boleh diterima syarak, kau tak boleh suka-suka tolak ajakan suami.

Sebab tu kursus pra perkahwinan ni perlu. Sebab tak semua orang ada peluang untuk belajar ilmu perkahwinan dalam Islam ni sebelum jumpa pasangan.

Kedua, dulu Hikari kata orang tau agama pun ada buat tak betul juga, kena tangkap khalwat apa bagai.  Jadi kita perlu percepatkan orang yang tak minat agama untuk berkahwin untuk kurangkan maksiat. Tapi sekarang Hikari dah sedar beberapa perkara. 

Ada orang bukan tak nak belajar, tapi tak ada peluang untuk belajar. 

Ada orang yang buat maksiat sebab tak tahu. 

Dan, percepatkan perkahwinan di kalangan yang buta agama tak membantu mengurangkan maksiat pun, cuma mengubah bentuk maksiat, SEBAB mereka tak tahu pun apa tanggungjawab mereka sebagai suami/isteri. Sebab tu ramai je isteri yang masih tulis di media sosial, buat luahan rasa sedih la, kahwin di Siam la, suami tak bayar nafkah la, tengok video lucah, berzina, bla bla bla. Lepas orang komen, baru sedar, oh... aku ada hak sekian sekian rupanya... oh... berdosa rupanya... oh, anak boleh jadi anak luar nikah kalau sekian sekian rupanya... bla, bla, bla.

Pendek cerita, masih bujang ke, dah berkahwin ke, lebih kurang sama je kalau kau tak tau agama.

Jadi, ya, kursus pra-perkahwinan ni penting supaya masing-masing tahu perkahwinan dalam Islam ni macam mana dan apa syarat2 dia, supaya dapat mengurangkan maksiat yang berlaku disebabkan kekurangan pengetahuan.

Yang dah tahu tapi masih nak buat, itu dia jawab sendiri di Akhirat. Kita sebagai pihak berkuasa atau ahli masyarakat, dah jalankan tanggungjawab kita.

Akhir sekali, dulu Hikari menentang alasan boleh mengurangkan kadar perceraian. Hikari kata bercerai tu halal, maka, tak ada isu pun. Yang lebih penting ialah elak zina.

Sekarang, Hikari sedar yang hukum berkahwin ni tak wajib kepada semua. Malah, boleh jatuh makruh atau haram. Masa tu Hikari khuatir zina, Hikari terlupa khuatir bakal suami atau bakal isteri yang teraniaya kalau berkahwin dengan orang yang salah, iaitu orang yang keadaannya menyebabkan perkahwinan menjadi makruh atau haram untuk dirinya.

Dulu pun dah belajar cuma mungkin masa tu tak masuk otak. Salah satu orang yang makruh atau diharamkan berkahwin ialah orang yang dikhuatiri akan menzalimi atau memudaratkan bakal pasangannya.

Contoh, bakal suami/isteri ialah kaki pukul, kaki dadah, kaki judi, panas baran, tak ada sumber pendapatan yang boleh diharap, ada penyakit kronik, selalu keluar masuk penjara atas kesalahan merompak, dan lain-lain.

Tapi kalau kita tak belajar agama, kita tak tau benda ni. Sebab tu la kursus pra-perkahwinan ni sangat penting.

Sekian.

Thursday, September 17, 2026

Orang Tak Nak Kau? MOVE ON! (Bahagian 3)

No comments:

Adess.... ini pun satu hal...

Lelaki ni nak bakal isteri yang bekalkan sarapan untuk dia setiap hari.

Ramai perempuan tak puas hati, mengejek, menuduh: Nak mak, bukan isteri. Pandang rendah kerja memasak yang dikatakan sekadar cekodok tu. Tak bertimbang rasa. Tuntut yang bukan-bukan.

Kenapa?

Apa masalahnya?

Masalahnya ialah apabila kita baca ayat di atas dengan pengalaman peribadi kita yang buruk.

Ada antara kita yang pernah lihat mak sendiri, kakak, adik perempuan, nenek, kawan, atau sesiapa je lah yang rapat atau tak rapat dengan kita, mempunyai suami yang pentingkan diri sendiri dan sangat berkira dengan isteri. Isteri tak masak, kena marah. Sakit ke, tak sakit ke, kena masak. Tak masak, kena marah, dikatakan pemalas, tak guna, manja, dan lain-lain.

Atau, ada antara kita yang mentang-mentanglah kita suka masak, orang lelaki sekeliling kita senang-senang je baling tugas tu ke kita atau tawarkan diri kita ke orang lain untuk tugas memasak. Sebab dia ingat, "masak" je pun.

Atau, ada yang jenis suami nak isteri tahap bidadari di syurga tapi diri sendiri serupa setan.

Betullah tu.

Semua pengalaman-pengalaman buruk tu tak boleh dinafikan.

TAPI lelaki dalam pengalaman buruk tu, dan lelaki lain yang kita tak kenal, BUKAN lelaki yang sama. Maka, kita tak boleh lah nak guna pengalaman tu sebagai bukti untuk menuduh lelaki yang kita tak kenal dengan tuduhan yang bukan-bukan.

Ada tak dalam siaran tu dia kata, "Aku tak kira. Isteri aku mesti masak untuk aku. Kalau tak, dia isteri yang gagal! Walaupun dia penat! Walaupun dia tak sihat! Walaupun dia pun kerja di pejabat macam aku!"

Ada tak dia kata dia nak isteri yang bukan surirumah sepenuh masa?

Ada tak dia kata dia takkan sediakan pembantu rumah atau pengasuh untuk bantu isteri dia?

Ada tak dia kata dia tak reti masak dan takkan masak untuk isteri dia?

Ada tak dia paksa perempuan yang tak nak memasak untuk dia kahwin dengan dia?

Tak ada.

Dalam Islam pun dah ajar: Bersangka baik.

Jadi, bersangka baiklah. Jangan suka-suka menokok tambah.

Kalau kita tak kenal orang tu, benda tu dia tak cakap, dan kita tak ada bukti pun benda tu berlaku, jangan kita tambah sendiri, kemudian hukum dia berdasarkan benda yang kita sendiri tambah - Eh, jap. Betul la, kadang-kadang benda tak cakap, kita memang boleh faham apa yang tak dicakap, kita faham isi tersirat. Tapi, tengok keadaan la. 

Kalau orang yang kau tak kenal tu cuma beritahu apa yang dia nak, benda tu tak haram dalam Islam, dan tak ada unsur menghina, bersangka baik je lah.

Kalau kau tak suka masak, kalau kau wanita berkerjaya yang tak ada masa nak masak untuk diri sendiri dan bakal suami, kau abaikan je la siaran tu. Tak ada kena-mengena dengan kau.

Kau pergi la cari bakal suami yang sesuai untuk kau. Kau carilah tukang masak yang rajin masak di rumah mahupun di tempat kerja ke, atau yang jenis tak kisah makan luar ke, atau yang jenis tabur duit upah tukang masak di rumah.

Yang penting, jangan menyemak di tempat kau tak perlu menyemak.

Sebab tujuan mencari pasangan ni bukan untuk mencari manusia yang seluruh dunia bersetuju dia sempurna. Tujuannya ialah untuk mencari manusia yang sesuai untuk kita.

Semoga semua kita mendapat pasangan yang sepadan dan hubungan tu membawa kita ke Syurga. Amin~

Sunday, September 13, 2026

Orang Tak Nak Kau? MOVE ON! (Bahagian 2)

No comments:

Adoi, sabar je la baca benda macam ni. Sangat menaikkan darah.

Pertama sekali, suami isteri tinggal bersama di rumah yang sama. Jadi apa masalahnya kalau dua-dua buat kerja rumah?

Rasulullah SAW sendiri pun buat kerja di rumah. Baginda seorang lelaki dan seorang suami. Jadi dari mana datangnya rasa lelaki ni terlalu tinggi darjatnya untuk buat kerja rumah atau kerja rumah ni kerja orang perempuan semata-mata?

Kedua, perempuan tu cuma cakap dia nak lelaki rajin. Dia tak ada pun cakap lelaki tu buat semua kerja rumah, yang perempuan duduk saja, goyang kaki atas sofa, layan drama di TV.

Tapi, ramai lelaki yang beranggapan macam lelaki dalam gambar tu. Cumanya lelaki dalam gambar atas tu menyampaikan intinya dengan bahasa yang agak elok. Yang menyampaikan dengan bahasa yang tak elok, berlambak. Perkataan ruji yang jadi makanan harian ramai di antara mereka ialah "kepamist" atau "patut la bujang/janda".

Kenapa?

Bukan kenapa "kepamist" atau lain-lain kutukan tu. Kenapa mereka sangka perempuan tu tak buat kerja rumah hanya kerana dia nak suami yang rajin buat kerja rumah?

Sebab... banyak lelaki tak sentuh pun kerja rumah!

Semua atau sebahagian besar kerja rumah, dibaling ke mana-mana orang perempuan dalam rumah tu untuk buat. Tak emak sendiri, kakak, adik perempuan, nenek, malah anak perempuan sendiri pun boleh la, asalkan perempuan.

Sebab tu lelaki macam ni senang salah faham ayat perempuan dalam gambar tu.

Sebab tu lelaki macam ni ingat kalau seorang dah buat kerja rumah, yang lain tak payah buat. Sebab tu dia ingat kerja rumah tu sikit, jenis kerja yang buat sekali je, lepas tu siap. Sebab tu dia ingat seorang je boleh buat semua untuk satu rumah, satu keluarga, tanpa rasa penat walaupun ahli keluarga lain langsung tak bekerjasama.

Padahal, dalam dunia sebenar, hidup suami isteri ni tak ada beza macam kalau lima orang lelaki bujang atau perempuan bujang hidup bersama dalam satu asrama atau rumah sewa. Masing-masing ada peranannya sendiri sebagai ahli rumah tu.

Kalau seorang je buat, lelah la orang tu. Tambah-tambah, zaman sekarang ni, selalunya dua-dua suami dan isteri bekerja.

Tapi, katakan isteri tu "cuma" surirumah. Isteri tu BUKAN "cuma" surirumah. Dia masih bekerja macam orang lain. Cumanya, dia tak dibayar dengan wang ringgit, tak dibayar secara tetap setiap bulan untuk kerja-kerja yang dilakukan. Oleh itu, pembahagian kerja rumah tetap kena buat dengan adil.

Kenapa?

Katakan si suami bekerja. Selalunya la, kita cerita yang umum, selalunya si suami bekerja dengan waktu kerja yang tetap. Contoh, kalau kerja 8 jam termasuk rehat, 8 pagi - 5 petang. Kalau 12 jam, 7 petang - 7 pagi.

Selalunya, si isteri kerja berapa jam pula?

Kalau pasangan suami isteri tu belum ada anak, rumah pun kecil je atau sederhana besarnya, mungkin tak ada masalah untuk isteri buat semua kerja rumah. Mungkin beban kerja masing-masing masih seimbang. Malah, ada kemungkinan beban kerja si isteri lebih ringan daripada beban kerja si suami secara keseluruhannya.

Tapi, kalau dah ada anak, terutama yang anak tu masih bayi atau anak kecil, lain ceritanya.

Si isteri boleh jadi "on-call" 24 jam. Bayi dan anak kecil bukan tahu mak dia dah habis “waktu kerja”.  Ikut suka hati dia nak bangun pukul 2 pagi ke 4 pagi, nak menangis, nak menyusu, muntah, berak, sakit, meragam, nak melalak, nak main. Kerja rumah sedia ada masih ada, malah bertambah disebabkan anak-anak tadi tu yang masih belum cukup matang untuk diharapkan dengan apa-apa tugasan. 

Badan si isteri pula mungkin masih sakit dan belum pulih kalau baru beberapa bulan lepas beranak.  Emosi pula boleh jadi kurang stabil, tambah-tambah kalau anak pertama atau ramai anak kecil, otak penat belajar cara nak uruskan anak, penat ingat seribu satu benda berkaitan anak, suami, dan rumah.

Yang selalu jadi masalah apabila dalam keadaan macam ni pun, ramai suami masih berkeras tak nak buat kerja rumah atau jaga anak langsung sebab “aku dah penat kerja”, lalu si isteri tetap kena uruskan semuanya seorang diri. 

Sepatutnya, si isteri tengah sibuk menyusu anak dan tak sempat makan, si suami suapkan la makan. Si isteri tak sempat mandi sebab anak-anak asyik menempel, si suami ambil la anak-anak tu jaga, bagi peluang si isteri mandi, berehat, dan bersolek. Alhamdulillah, ramai suami yang baik, yang sedar tanggungjawab, tak ada masalah untuk buat macam ni untuk isteri, untuk keluarga mereka. Mereka tahu, nak isteri yang sentiasa nampak cantik dan terurus, kena bagi isteri masa dan ruang untuk uruskan diri sendiri.

Tapi, malangnya, ramai juga suami yang tak baik.

Sebab tu banyak je keluar video-video atau cerita, isteri kusut-masai, selekeh, sibuk uruskan rumah dan anak. Suami nampak segak, kacak, macam tak ada apa-apa berlaku. Di kedai makan, si isteri pegang dua-dua anak, suap makan apa semua, si suami makan dengan tenang dan penuh nafsu di sebelah sementara si isteri kelaparan.

Sebab tu orang kata, nak tau lelaki tu betul-betul suami yang baik ke tak, tengok isteri dia. Rasulullah SAW pun kata, sebaik-baik lelaki ialah lelaki yang paling baik pada isterinya. Kalau lelaki tu nampak bersih, segak, wangi, isteri pun sama bersih, segak, wangi, walaupun anak ramai, ha.... itu memang kemungkinan besar suami tu memang baik la.

Tapi kalau sebaliknya.... hm.... hm..

Kalau sekali-sekala, mungkin boleh bersangka baik. Tapi kalau kerap sangat macam tu, kalau kita nampak kawan perempuan, anak, ibu, ibu saudara, dan sesiapa sahaja yang rapat dengan kita, rajin-rajin la bertanya. Mana tau mereka perlukan bantuan. 

Mungkin suaminya bertanggungjawab, elok jaga isteri, anak, dan rumah, tapi si isteri nampak macam tu sebab kurang sihat, atau ada masalah lain. Tapi boleh jadi juga memang suaminya bermasalah, jenis baling semua urusan rumah dan anak ke isteri.

Kadang-kadang, kita bising kenapa perempuan yang hidup dengan lelaki yang tak bertanggungjawab masih hidup bersama dengan lelaki tu bertahun-tahun. Kita kena ingat, salah satu puncanya, boleh jadi sebab dia terlalu penat. Orang yang terlalu penat ni, sampai satu tahap, dia hidup dalam mod automatik. Maksudnya, dia buat je apa yang patut untuk hidup, tak de nak fikir apa dah. Otak dia dah tepu. Dia dah tak ada tenaga nak fikir lebih-lebih.

Jadi kalau kita nampak orang yang rapat dengan kita dalam keadaan macam ni, salah satu benda paling mudah yang kita boleh buat ialah bantu ringankan beban dia. Kita bagi dia peluang untuk berehat. Barulah dia ada masa dan tenaga untuk semak, kaji apa yang sedang berlaku, dan fikir apa yang dia patut buat seterusnya.

Apa pun, itulah antara sebabnya tak pelik kalau ramai perempuan sekarang ni tak nak kahwin melainkan bakal suami tu dari awal menunjukkan dia seorang yang boleh bertolak ansur dengan bakal pasangan dan buat kerja rumah. Syarat ni semakin penting apabila bakal suami tu tak mampu menanggung keluarga seorang diri sampai bakal isteri pun kena bekerja atau bakal isteri memang jenis tak nak berhenti kerja walaupun selepas berkahwin atau dapat anak.

Dipendekkan cerita, perempuan dalam siaran tu pun dah beritahu terang-terang jenis lelaki yang dia nak. Para lelaki yang komen tak puas hati tu, yang tak nak buat kerja rumah, yang nak bakal isteri je buat semua kerja rumah, pergilah cari perempuan yang sesuai untuk kau.

Jangan menyemak di siaran perempuan tu.

Sekian.

Thursday, September 10, 2026

Orang Tak Nak Kau? MOVE ON! (Bahagian 1)

No comments:

Anda tak menepati ciri-ciri yang lelaki ni nak? Tak apa. Kita jalan je ke depan. 

Kita cari lagi lelaki lain yang menepati apa yang kita nak dan nak kat kita semula. Cumanya, kalau lelaki yang kita minat tu cenderung mencari ciri-ciri tertentu, boleh juga kita ambil maklum untuk tujuan muhasabah diri. 

Bukan apa... macam temuduga kerja juga. Kalau kita tak menepati syarat yang bakal majikan cari, memang susahlah nak dapat kerja tu. Tapi tak cukup syarat tak bermaksud ada yang salah dengan kita.

Dia macam A suka duduk rumah dan tak suka berjalan. B pula suka keluar cari makan, suka cuba kedai baru dan berjalan sana sini dengan pasangan. Dua-dua tak salah. Soalannya cuma dua orang ni sesuai tak jadi pasangan, serasi tak jadi pasangan. Itu je.

Sebab tu, ya, kita boleh persoal lelaki tu macam-macam TAPI di akhir cerita, lelaki ni yang akan hidup dengan perempuan tu. Siapa yang dia rasa dia boleh hidup dengan gembira bersama, BUKAN hak kita untuk menentukan.

Sama macam kita, dia suka apa yang dia suka, kita suka apa yang kita suka.

Kita mungkin tertarik pada lelaki atau perempuan dengan rupa tertentu. Kenapa nak buang masa beri harapan palsu kepada orang yang kita memang tahu kita tak tertarik? Lepas kahwin, hubungan intim suami isteri adalah salah satu bentuk nafkah batin yang perlu ditunaikan. Nanti kalau tak dapat tunaikan sebab tak lalu, boleh jatuh berdosa sebab menganiayai pasangan.

Kita mungkin suka jenis yang pendiam. Kenapa nak buang masa beri harapan palsu kepada yang jenis banyak bercakap? Nanti di kemudian hari, kita salahkan dia sebab bising. Padahal, itu salah kita sendiri sebab kita yang buat pilihan untuk teruskan hubungan.

Ada lelaki suka isteri yang jadi suri rumah sepenuh masa sebab dia kuat cemburu dan panas baran. Panas baran memang tak elok dan dia dah cuba kawal diri sebaik mungkin TAPI dalam masa yang sama, dia dah tahu salah satu benda yang mudah mencetuskan sifat baran dia ialah apabila isteri dia berhubung dengan lelaki lain. Maka, dia cuba elakkan keadaan tu. 

Dia sanggup bekerja keras supaya isteri dia tak payah bekerja, tak perlu berurusan dengan lelaki lain. Dia sanggup tanggung kos tinggi semata-mata untuk dapatkan doktor perempuan untuk rawat isteri dia. Dia sanggup teman isteri dia ke mana-mana apabila perlu berurusan dengan lelaki lain. 

Jadi, apa salahnya dia beritahu awal-awal dia nak bakal isteri yang setuju jadi suri rumah sepenuh masa dan tak keluar rumah kalau tak perlu?

Perempuan yang memang bercita-cita nak jadi suri rumah dan jenis memang tak keluar rumah setahun pun tak kisah mungkin rasa, “Baguslah, memang ini yang aku cari.” Perempuan yang suka bekerja pula boleh kata, “Tak sesuai dengan aku,” dan jalan ke depan, cari lain.

Ada perempuan pula suka suami yang selalu ada rumah sebab dia jenis suka nak manja-manja dan berteman selalu. Dia tak kisah kalau suami dia tu gaji rendah je asal ada di rumah selalu. Tak salah, tak berdosa pun kalau dia tolak awal-awal lelaki yang kerjayanya menyebabkan dia berminggu-minggu baru balik walaupun gaji tinggi gila dan muka tampan nak mampus.

Begitu juga ada lelaki atau perempuan yang dah ada anak, tak nak pening-pening gaduh pasal  isu pembahagian kewangan, masa, dan perhatian dengan anak tiri. Jadi, mereka cari perempuan atau lelaki yang belum ada anak. Tak salah. Tak berdosa. Kita tak suka, bukan kita yang berkahwin dengan mereka.

Pendek kata, benda-benda macam ni, tak payah gaduhlah. Buang masa je.

Memilih pasangan bukannya satu pertandingan untuk menentukan siapa yang lebih baik. Kita cuma sedang menentukan siapa yang kita rasa sesuai untuk hidup bersama kita.

Kita carilah apa yang kita nak. Biarlah orang lain cari apa yang dia nak.

Selagi jelas apa yang orang lain minta tu tak de unsur-unsur haram atau menghina, kita tutup mata, jalan ke depan. Tak payah nak ulas lebih-lebih, menyemak dalam siaran orang tu.

Sunday, September 6, 2026

Jangan Paksa Orang Kahwin!

No comments:

Ini contoh orang yang zalim tak ingat akhirat, cakap ikut sedap air liur. Dalam Islam, berkahwin BUKAN wajib ke atas semua orang. Hukum berkahwin bergantung pada keadaan seseorang tu sendiri.

Berkahwin tu jadi wajib bila kau mampu dari semua segi, dah ada calon yang sesuai, dan takut terjerumus dalam maksiat.

Berdosa tu kalau kau buat sesuatu yang tak dibenarkan dalam Islam macam berzina, sengaja tak nak menunaikan nafkah, sengaja tak nak puasa, tak nak solat.

Kalau seseorang tak nak kahwin walaupun mampu, tetapi dia mampu menjaga diri daripada melakukan perkara yang haram, tak haram pun dia memilih untuk tak berkahwin. Tak berdosa pun.

Kalau seseorang tu jenis minat yang sejenis, tak de nafsu dengan sesiapa, tau jenis keras kepala dan risau nanti selalu gaduh dan melawan suami, tau jenis baran dan takut nanti menganiayai isteri, pun tak de Allah SWT paksa orang-orang macam ni kahwin. Tak berdosa kalau tak nak kahwin. Silap-silap, boleh jatuh haram terus.

Jadi, orang-orang yang suka paksa-paksa orang yang tak nak berkahwin untuk berkahwin ni, hati-hati la. Silap-silap kau tu sendiri yang berdosa sebab suka-suka je menzalimi dan memaksa orang lain buat benda yang Allah SWT sendiri pun tak wajibkan ke atas mereka.

Tuesday, August 18, 2026

Cara Tutup Akaun Facebook Buat Sementara Waktu atau Selama-lamanya (Terbitan 2026)

No comments:

Dulu tahun 2015, dah buat panduan ni. 

Cara Tutup Akaun Facebook Buat Sementara Waktu atau Selama-lamanya
https://muymg.blogspot.com/2015/01/cara-tutup-akaun-facebook-buat.html

Bila baca balik, oh, berbelit nak tidurkan (deactivate) atau tutup terus (delete) akaun Facebook. Saja tengok proses terkini. Oh, masih berbelit. Memang la Hikari ada Google panduan dia tapi dalam dok ada panduan tu masih, ala... kat mana ni? Haha...

Jadi, meh Hikari bagi panduan bergambar 7 langkah untuk sampai ke pilihan ni melalui komputer kalau guna Facebook dalam bahasa Melayu.

Langkah 1

Masuk Facebook. Tekan pada logo pengguna di bahagian atas sebelah kanan.


Langkah 2

Pilih Tetapan dan Privasi.


Langkah 3

Pilih Tetapan.


Langkah 4

Kalau paparan kecil, menu tak keluar di tepi. Tulis je Pusat Akaun di ruangan cari. Nanti pilihan tu keluar di bawah.


Kalau paparan besar, sepatutnya tak payah cari dah. Tekan je pilihan Pusat Akaun di senarai pilihan belah kiri tu.


Langkah 5

Ha! Yang ni, paparan besar ke, kecil ke, pilihan untuk Urus akaun ada keluar. Tekan je pilihan tu.

Kalau paparan kecil, mungkin kena gerakkan, turunkan paparan laman ke bawah dulu baru nampak pilihan Urus akaun tu.


Kalau paparan besar, pilihan Urus akaun tu masih di bawah, di senarai pilihan di sebelah kiri. 


Langkah 6

Yang ni pun sama. Paparan kecil atau besar, pilihan Urus tu ada. Tak payah buat carian.

Yang ni kalau paparan kecil:


Yang ni kalau paparan besar:


Langkah 7 (Akhir)

Akhirnya! Dah sampai ke pilihan untuk tidurkan sementara akaun atau padam akaun. Pilih Penyahaktifan atau pemadaman untuk teruskan.


Hahaha... nak sampai ke pilihan ni pun berjela.

Semoga bermanfaat.

Sekian.

Saturday, August 15, 2026

Masalah Apabila Nikah Kampung terutama dengan Pendatang Haram atau Lelaki Warganegara Malaysia yang Berpoligami

No comments:

Pergi dengar nikah kampung?

Kes kahwin di Siam memang dah selalu dengar tapi rupanya ada satu jenis lagi, orang panggil nikah kampung.

Hikari pun baru dengar hari ni.

Selama ni Hikari jumpa penggunaan istilah dalam cerita pendek yang berdasarkan kehidupan di China je. Tak sangka rupanya di Malaysia pun berlaku. Tiba-tiba je lalu istilah ni di Facebook.

Dah terjumpa tu, macam biasa, haha... Hikari tanya Google Search AI macam-macam pasal hal ni. Dan, macam biasa, sumber, wajib la tanya, sebab AI ni kadang-kadang ada perangai suka berangan, dia cerita benda tak wujud seolah-olah wujud. Lepas tu minta ChatGPT semak, haha!

Ini la antara hasil sumber rujukan yang diberikan:

Ringkasan Berkenaan Perkahwinan Yang Tidak Sah


Pautan Berkenaan:
[01] Gempak - Disangka Sah Di Mata Manusia, Rupanya Perkahwinan Bermasalah Di Sisi Hukum
[02] Berita Harian - Nikah Tidak Sah Undang Risiko Besar Kepada Pasangan, Anak
[03] Kamar Syarie - Maqasid Hukum Pengesahan Nikah Bukan Warganegara di Mahkamah Syariah Negeri Sabah
[04] Scribd - Surat Akuan
[05] Journal of Human Rights, Culture and Legal System - Unregistered Marriages in Sabah: Indonesian Migrant Workers at the Crossroads of Faith, Law, and Livelihood
[06] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) - Isu Perkahwinan Warga Rohingya di Malaysia: Analisis Punca dan Cadangan Mekanisme Penyelesaian
[07] Jabatan Mufti Negeri Selangor - Masalah Dokumen Perkahwinan Ibu Bapa dan Penentuan Wali Anak Perempuan
[08] Jabatan Mufti Negeri Selangor - Penentuan Wali Berdasarkan Nasab Walaupun Maklumat Bapa dalam Dokumen Berbeza
[09] Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan - Nikah Tanpa Berwalikan Bapa
[10] Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan - Hukum Nikah Menggunakan Wali Hakim Walaupun Ada Wali Nasab
[11] Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan - Hukum Abang Kandung Menjadi Wali
[12] Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) - Pendaftaran Lewat Kelahiran (Semenanjung)
[13] Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) - Permohonan Pengesahan Taraf Kewarganegaraan di bawah Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan
[14] Jabatan Kimia Malaysia - Ujian Paterniti / Materniti dan Ujian DNA bagi Urusan JPN serta Kewarganegaraan
[15] Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) - Soalan Lazim Berkaitan Wali Hakim
[16] Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) - Soalan Lazim Perkahwinan dan Dokumen Berkaitan
[17] SPPIM - Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia
[18] Sinar Harian - Sindiket Nikah Ekspres Warga Asing Cuma Bayar RM450
[19] Sinar Harian - Sindiket Nikah Palsu Undang Persepsi Negatif

Pendek cerita, antara istilah-istilah yang digunakan untuk merujuk kepada nikah kampung ialah nikah kampung, kawin kampung, pernikahan tanpa kebenaran, dan nikah tidak berdaftar.

Sama macam dalam cerita pendek berasaskan China yang Hikari selalu baca melibatkan penduduk China di kawasan pedalaman, nikah kampung di Malaysia ni pun selalu berlaku kepada penduduk Malaysia yang tinggal di kawasan pedalaman. Tak tau la di bandar China masih berlaku ke tak tapi di Malaysia memang ada berlaku. Itu yang mengejutkan!

Mmm, mungkin tak juga, haha!

Terkejut sebab tak tau je. Tapi sebab berlaku tu tak mengejutkan sangat.

Sebabnya, nikah kampung di Malaysia ni rupanya selalu berlaku kepada mereka yang ada masalah nak berkahwin macam orang biasa. Contohnya, orang yang ada masalah kerakyatan macam pelarian Rohingya dan pendatang haram, atau rakyat Malaysia yang nak berkahwin dengan mereka.

Sebenarnya kalau yang pelarian Rohingya, contohnya, mereka ni masih boleh nak berkahwin ikut prosedur yang betul tapi selalunya sangat susah sebab ada masalah dokumen tak cukup, masalah nak tentukan pertalian darah dengan wali, dan lain-lain. Jadi, memang tak hairan kalau nikah kampung ni jadi pilihan utama dikalangan pelarian, atau warganegara Malaysia yang nak kahwin dengan pelarian.

Kalau pendatang haram atau pendatang tanpa izin (PATI) pula... mm... memang tak dibenarkan dalam undang-undang Malaysia selagi belum diputihkan. Kalau PATI datang ke Pejabat Agama nak mohon nikah atau sahkan pernikahan, silap-silap kena tangkap, dihantar balik ke negara asal haha.

Apa pun, nikah kampung ni bukan lah semestinya tak sah dari segi syarak kalau cukup syarat. Cumanya, kalau tak didaftarkan dalam sistem pendaftaran perkahwinan Malaysia, dari segi undang-undang, rekod perkahwinan rasmi tu belum wujud. Itu yang jadi isu masa nak daftar sijil lahir anak, nak tuntut nafkah, nak tuntut faraid ke apa.

Rukun nikah dalam Islam:
[1] Pengantin Lelaki
[2] Pengantin Perempuan
[3] Wali
[4] Dua Orang Saksi
[5] Ijab dan Qabul (Akad Nikah)

Dalam banyak-banyak rukun nikah di atas, antara yang selalu menjadi punca persoalan taraf pernikahan pasangan yang bernikah secara nikah kampung ni ialah pemilihan wali.

Sebabnya, apabila nak jimat belanja, nak senang, nak cepat, kadang-kadang ada pasangan yang nak berkahwin ni, tak ikut pun turutan wali yang sepatutnya, terus ambil wali hakim je. Kalau ikut syarat wali, tak boleh suka-suka langkau. Dah langkau, mereka guna pula wali hakim yang tak bertauliah. Wali hakim tak bertauliah dikira tak bertauliah sebab tak de surat kuasa daripada pihak berkuasa agama negeri. 

Tapi ye la, kalau fikir balik, mana ada wali hakim yang bertauliah yang akan setuju nikahkan pasangan macam ni. Mereka pun kena ikut laluan yang ditetapkan pihak berkuasa di Malaysia. Pasangan yang nikah kampung, sah-sah la tak ikut laluan tu.

Kalau pengantin perempuan yang pakai wali sendiri, nikah tu kemungkinan besar sah la. Cumanya, nak daftar pernikahan tu masih hampir mustahil kalau pasangan ialah pendatang haram atau pelarian Rohingya. Satunya, masalah nak sahkan pertalian darah dengan wali. Duanya, masalah dokumen, terutamanya maklumat pengenalan diri yang boleh diterima oleh sistem pendaftaran Malaysia.

Sebab tu kalau kau rakyat Malaysia, kalau nak kahwin, ikut laluan yang sah dari awal. Kalau tak boleh ikut laluan tu, lupakan je la niat nak berkahwin tu dan cari lain. Kalau tak, serba-serbi susah lepas tu selagi belum ada rekod rasmi perkahwinan tu.

Contohnya...

Kalau suami buat masalah, nak cerai susah, nak tuntut nafkah pun susah, nak tuntut harta sepencarian lagi susah. Kalau suami meninggal dunia, pun susah juga nak tuntut faraid.

Kalau ada anak, lagi sadis. Seumur hidup anak tu akan bermasalah, tambah-tambah kalau anak perempuan. Disebabkan bapa tak ada pengenalan diri yang sah, si ibu mungkin diminta untuk buktikan dulu yang anak tu betul-betul anak dia. Silap-silap kena buat ujian DNA yang harganya mencecah ribuan, hanya untuk urusan pendaftaran kelahiran dan kewarganegaraan anak. Itu tak masuk lagi kalau anak perempuan tu nak kahwin di kemudian hari. 

Nak nikah, disebabkan nama bapa tiada dalam sijil lahir, ramai ingat terus boleh pakai wali hakim. Tapi dari sudut syarat, tak boleh langkau bapa kalau bapa masih hidup dan layak jadi wali. Dah satu kerja dekat situ nak kena buktikan pernikahan mak ayah dan macam-macam lagi hanya untuk tentukan yang nak berkahwin tu anak sah taraf ke tak dan siapa yang layak jadi wali. Elok-elok urusan boleh selesai dalam sebulan, jadi berbulan-bulan... Ha, tak pasai...

Seterusnya...

Ada dua golongan lagi yang selalunya terlibat dengan nikah kampung ni.
[1] Kahwin bawah umur
[2] Poligami

Kahwin bawah umur ni, ada dua jenis. Yang pertama, kahwin disebabkan kebiasaan di situ. Dah baligh, kahwin. Dah kantoi buat projek, kahwin. Nakal sangat, kahwin. Ni masalah budaya atau kesedaran masyarakat la kiranya. Tapi satu jenis lagi, kahwin sindiket. Ni masalah perdagangan manusia, masalah jenayah. Dua-dua pun tak de apa Hikari nak tambah.

Tapi yang poligami sesama rakyat Malaysia ni...

Pautan Berkenaan:
[20] Astro Awani - 300 Pasangan Malaysia Nikah di Selatan Thailand Setiap Bulan https://www.astroawani.com/berita-malaysia/300-pasangan-malaysia-nikah-di-selatan-thailand-setiap-bulan-459675
[21] Sinar Harian - Kawalan Sempadan Ketat, Jumlah Pasangan Malaysia Nikah di Selatan Thailand Berkurangan https://www.sinarharian.com.my/article/707395/berita/semasa/kawalan-sempadan-ketat-jumlah-pasangan-malaysia-nikah-di-selatan-thailand-berkurangan

Ikut perangkaan diberi, lebih kurang 60% kahwin di Siam disebabkan poligami dan yang banyak berkahwin disebabkan poligami ni umur antara 40-60 tahun. Wow... tak sangka...

Makin tua, makin gatal dan terdesak ke, atau macam mana?

Sampai sekarang Hikari tak faham perempuan dewasa yang pilih dan sanggup kahwin dengan lelaki bacul. Ye lah, nak poligami, poligami la. Memang dibenarkan dalam Islam KALAU CUKUP SYARAT.

Tapi itulah, pilih kahwin di Siam walaupun di Malaysia lebih murah kalau cukup syarat. Nampak sangat la sebenarnya tak cukup syarat. 

Dah tu pilih lelaki tak cukup syarat tu kenapa?

Kalau dah gersang sangat tu, Hikari tak boleh kata apa la TAPI... dah balik Malaysia tu tolong la daftar semula perkahwinan tu. Memang la nanti kena denda apa bagai tapi nasib la dah kau sengaja ikut jalan yang tak sepatutnya.

Kalau dah tau pengecut dan miskin, takut kena penjara, denda apa bagai, JANGAN BUAT!

Dah terlanjur buat, nak tak nak, kena DAFTAR SEMULA. 

JANGAN MENYUSAHKAN BAKAL ANAK KAU. 

Bengang je Hikari baca pasal perempuan otak kosong macam dalam berita di bawah ni.

Pautan Berkenaan:
[22] MSTAR - Mak Ayah Nikah di Siam 28 Tahun Lalu Tapi Tak Pernah Daftar, Tak Ingat Berapa Kali Cerai, Rujuk... Nasab 10 Anak Diragui! https://www.mstar.com.my/lokal/viral/2024/10/17/mak-ayah-nikah-di-siam-28-tahun-lalu-tapi-tak-pernah-daftar-tak-ingat-berapa-kali-cerai-rujuk-nasab-10-anak-diragui

Selagi tak ade anak, tak de hal. Tapi kalau dah berkahwin tu, kemungkinan dapat anak tu ada.

Dah dewasa, ikut suka hati lah nak pilih pasangan macam mana. Kalau dah suka jenis bacul, nak kata apa. Tak ada undang-undang boleh halang untuk perempuan dewasa kahwin dengan lelaki bacul. 

Tapi, tolong la bertimbang rasa. 

Jangan libatkan anak-anak yang tak berdosa!

Kalau dah miskin, pengecut, dan dalam masa yang sama, gersang tak tahan sangat-sangat dah, sila sedar diri dan mandulkan diri sendiri. Serius! 

Nak nikah di Siam, nikah lah, tapi tolong mandulkan diri dengan segera. 

Untuk lelaki, ada vasektomi. Di LPPKN, kalau layak, RM300-550. Jauh lebih murah daripada kondom untuk jangka masa panjang.

Tak sanggup mandulkan diri, sila pakai kondom! 

Kondom ada macam-macam jenis sekarang ni. Murah pun murah. Nak lagi murah, golongan yang layak, boleh rujuk laman rasmi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) atau pergi terus ke Klinik Nur Sejahtera LPPKN yang berdekatan. Produk dan perkhidmatan lain untuk merancang keluarga pun ada di situ macam IUCD dan implan.

Senarai Harga Untuk Produk Perancangan Keluarga


Pautan Berkenaan:
[23] LPPKN - Mendapatkan Perkhidmatan Perancang Keluarga di LPPKN
[24] LPPKN - Peraturan Fi dan Caj LPPKN 

Alamak, dah panjang beno! Haha!

Sekian bebelan Hikari pada hari ni.

Wednesday, May 13, 2026

Hibah Amanah Tak Sama (Bahagian 1)

No comments:

Baru-baru ni pergi dengar penerangan pasal pengurusan harta umat Islam. Hibah ni, secara umumnya,  bermaksud hadiah. Hadiah ni boleh diberi sebelum atau selepas meninggal dunia. Hibah masa hidup ni, ikut suka hati pemberi nak bagi siapa. Tak ada had. Tapi kalau dah meninggal dunia, hibah ni tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

Sekarang ni Hikari nak cakap pasal Hibah masa hidup.

Hikari baru tahu hibah masa hidup ni ada dua jenis. Satu mutlak, satu bersyarat.

Mutlak ni, sakit oi. Hikari ada mak dan adik. Katakan Hikari letak mak dan adik Hikari sebagai penerima hibah Tabung Haji Hikari, dengan nisbah 50% setiap seorang. Tapi, adik Hikari meninggal dunia terlebih dahulu. Bahagian adik Hikari tu dah jadi pusaka. Walaupun Hikari masih hidup, Hikari dah tak ada hak ke atas 50% simpanan Hikari.

Kalau Hikari ada simpanan RM15,000. RM7,500 boleh lebur macam tu je. Dah la Hikari belum menunaikan Haji dan Umrah lagi. Menangis tak berlagu dekat situ.

Yang lagi sakit, nak buat pindaan atau batalkan Hibah Amanah (nama dia di Tabung Haji) perlukan persetujuan penerima KALAU penerima bukan anak atau cucu pemberi. Kalau hubungan antara pemberi dan penerima dah tak cantik.. tawakal je lah... Allah SWT Maha Mengetahui dan Sebaik-baik Perancang...

Tapi... tak de la kata Hibah Amanah Tabung Haji ni tak baik. Dia alat je. Kalau sesuai dengan keperluan, pakai. Tak perlu, tak payah la pakai. Hikari kongsi ni sebab sebelum ni Hikari ingat semua Hibah tu sama je.

Lampiran

Maklumat Tambahan

Kalau nak buat pindaan Hibah Amanah Tabung Haji, RM10. Pemberi dan penerima kena hadir dan bawa kad pengenalan masing-masing KALAU penerima bukan anak atau cucu pemberi. Kalau penerima ialah anak atau cucu pemberi, penerima tak perlu hadir.

Kalau nak batalkan, RM70.

Kalau nak semak di THijari, pergi Penamaan/Pusaka/Hibah Amanah. Kemudian, pilih nombor akaun Tabung Haji dan tekan butang Semak. Lepas tu tengok apa tajuk-tajuk yang keluar. Hikari punya keluar tajuk Penamaan je. Maksudnya Hikari belum buat lagi la Hibah Amanah Tabung Haji ni. 

Tapi kalau nak buat hibah, tak semestinya buat di Tabung Haji. Boleh juga pertimbangkan takaful Etiqa. Yang ni bukan hibah amanah la tapi manfaat takaful yang dihibahkan kepada penerima yang kita tentukan sekiranya kita meninggal dunia, KALAU cukup syarat.

Cumanya, yang ni memang tak payah risau la kalau penerima yang ditetapkan meninggal dunia sebelum kita. Kita boleh tukar je nama. Dan memang tak ada bayaran yang akan dibuat kepada penerima selagi kita masih hidup haha.

Kalau nak tahu lebih lanjut atau nak tanya-tanya dulu, boleh hubungi ejen ni. Tapi dia tak jawab serta-merta la. Dia akan jawab dalam tempoh 48 jam.

Tuesday, December 16, 2025

Kesan Minum Minyak Zaitun Setiap Hari

No comments:

Tak ingat bila tapi rasanya dalam minggu lepas atau 2-3 minggu lepas. Tertonton satu video pendek (short) di Youtube. Rasanya... orang Korea. Ingat-ingat lupa la. Tapi, apa yang disampaikan ialah dia ikut nenek dia minum satu sudu minyak zaitun dan lemon setiap hari untuk kulit lawa.

Hikari ni kulit boleh la. Sejak kecil memang jenis tak jaga apa. Sapu krim? Makan ubat apa-apa?  Tak ada. Bersolek? Jauh sekali, tak rajin eh. Lagipun, Hikari rasa muka Hikari tak ada apa solekan pun dah lawa. Jadi buat apa bersolek? Apabila tak bersolek, maka tak ada la keperluan nak beli apa-apa pencuci muka ka apa. Selama ni pakai sabun mandi biasa ja apabila perlu.

Tapi itu lah... apabila dah makin meningkat usia, sekarang nak dekat 40-an ni, kesihatan dah tak sebaik dulu. Macam-macam masalah kulit mula dirasai. Dulu, jarang-jarang la nak jerawat. Kalau mai je jerawat, tau dah nak mai bulan. Sekarang? Aik, awat sat-sat mai jerawat, sat-sat mai jerawat? Lepas tu kulit makin kering sampai ada bahagian dah macam kena kelemumur tapi di muka, bukan kepala. Oh, dan, liang roma besar. 

Apa yang berubah?

Mungkin sebab sekarang dah kurang aktif. Mungkin sekarang dah tak pelbagai jenis makanan macam dulu. Mungkin sekarang dah tak banyak makan buah macam dulu. Entah la.

Tapi masalah kulit tetap perlu dihadapi. Maka kita cari la jawapan di Youtube, menumpang ilmu dari mereka-mereka yang rajin jaga muka dan kulit.

Jadi bertambah pula masalah. Setiap kali buka, macam-macam produk mereka pakai. Gila! Setiap kali tengok video jaga kulit dan muka, mesti lepas tu rasa macam nak putus asa. Contoh, eh.... tengok video yang ni.. (Alamat: https://www.youtube.com/shorts/1dqkG4LVELA)

Untuk masalah Liang Roma Besar ("Large Pores"), pakai Asid Salisilik ("Salicylic Acid").

Untuk masalah Bintik Putih ("Closed Comedones" atau "Whiteheads"), pakai Adapalene.

Untuk masalah Tompok Kulit Gelap ("Hyperpigmentation"), pakai Asid Azelaik ("Azelaic Acid").

Untuk masalah Rambut Tumbuh Bawah Kulit ("Ingrown Hair"), pakai Asid Glikolik ("Glycolic Acid").

Untuk masalah Kulit Seperti Kulit Ayam Selepas Dicabut Bulu ("Kerotosis Pilaris" atau "Chicken Skin"), pakai Krim Urea ("Urea Cream").

Untuk masalah Kulit Kedut ("Wrinkles"), pakai Retinol.

Hikari macam... oooooiiiii! Hikari faham... lain penyakit, lain ubatnya, tapi..... aughhhh!

Sakit otak oi. Dan.... sakit dompet juga la kalau betul ikut panduan-panduan lagu tu... nasib baik, satu hari tu terjumpa satu video. 

Petua dia mudah je. Minum satu sudu minyak zaitun campur lemon. Itu je. 

Maka Hikari pun cuba la sebab mudah. Minyak zaitun memang dah ada kat rumah, beli tak pakai-pakai. 


Selama ni buat hiasan je. Dah ada tu, elok la cuba. Sekurang-kurangnya tak membazir. Lemon... hm... tak ada tapi Google kata ada je orang amalkan minum minyak zaitun je. Jadi, tak yah la membazir beli lemon tu. Lagi pun, lebih kepada untuk rasa je. Yang penting minyak zaitun tu.

Oh, ya... Minyak zaitun tu banyak yang kata mesti Minyak Zaitun Sangat Dara (Extra Virgin Olive Oil). Amboi nama... Minyak zaitun ni macam-macam jenis. Yang terkenal untuk diminum untuk tujuan kesihatan ni ialah Minyak Zaitun Sangat Dara. Beza dia dengan Minyak Zaitun Dara (Virgin Olive Oil) ni cuma dari segi mutu buah zaitun tu ja. Cara buat dia macam sama ja, kalau baca secara umum la. Tak tau betul ke tak. Apa pun, selalunya Minyak Zaitun Sangat Dara ni orang ambil macam tu ja, orang tak guna untuk masak, sebab ia tak tahan suhu tinggi.

Untuk bacaan tambahan:
https://www.allrecipes.com/article/difference-between-pure-virgin-extra-virgin-light-olive-oil/
https://carapelli.com/whats-the-difference-between-virgin-vs-extra-virgin-olive-oil/)

Kadang-kadang, Hikari minum terus macam tu je. Kadang-kadang, tuang atas masakan lepas masak. Contoh, buat sambal telur. Apabila dah sejuk sikit, Hikari tuang satu sudu minyak zaitun atas dia dan gaul. Bukan apa... minyak zaitun tu, bila makan macam tu saja, tak sedap! Kadang-kadang, Hikari minum minyak zaitun tu, campur dengan cuka epal. Rasa sedap sikit daripada dimakan saja tapi... secara umumnya... masih tak sedap tapi jauh lebih sedap daripada minum minyak zaitun macam tu je. Tapi itu la, kena tambah air sikit, baru tak tajam sangat masam dia. Pendek kata, makan la minyak zaitun tu macam mana pun, asalkan satu sudu sehari.

Hasilnya?

Wah, tabik! Betul apa mereka kata. Rasa dah hampir seminggu ke atau dah lebih. Kulit Hikari memang makin halus dan kurang masalah sekarang ni. Maka, cuba la, kalau ada masalah lebih kurang sama macam Hikari.

Tapi kalau ikut, minyak zaitun ni banyak kebaikannya selain untuk kulit elok. Boleh cari sendiri lah apa kesan kalau minum sekurang-kurangnya satu sudu besar minyak zaitun setiap hari. Antara kebaikannya adalah untuk melegakan masalah sembelit, mengurangkan kemungkinan sakit jantung, dan mencegah barah usus besar.

Untuk maklumat tambahan:
https://www.hmetro.com.my/sihat/2022/01/802948/amalkan-minum-minyak-zaitun
https://www.youtube.com/shorts/nKr7p-sdvgY (Kesan Minum Minyak Zaitun Setiap Hari)

Nak beli minyak zaitun, tak susah. Merata-rata ada dijual di Malaysia. Paling senang dan selamat,  beli di farmasi lah. Atau, kedai-kedai yang jual barang-barang untuk keperluan orang Islam. Tapi, kalau di Pulau Pinang, di pasar malam pun ada nampak orang jual. Di pasaraya besar Mydin pun pernah nampak.

Jadi, cubalah. Selamat mencuba!

Wednesday, October 14, 2020

Haomen Qifu de Chuntian (The Deserted Woman) Manhua - Pendapat

No comments:

Baca sebab saja la nak tau tapi... makin lama baca, makin menyampah pula dengan watak utama cerita ni, Kate Hsiao. 

Mula-mula kurang cerdik, faham la, sebab semua orang pun macam tu. Tak ada orang lahir-lahir terus faham semua. Tapi ni sampai bab 156 pun tak cerdik-cerdik lagi, apa ke hei?

Pertengahan cerita, tiba-tiba terbongkar rupanya kau lepasan undang-undang dan seorang peguam konon nak kata watak utama ni pandai la cuma terlalu jujur sampai senang terpedaya je. Masalahnya... peguam kot. Kau kata kau peguam tapi asyik dikenakan orang je. Macam mana jadi peguam? Bukan peguam patutnya lagi pandai belit ke? Atau sekurang-kurangnya pandai la bab-bab nak elak daripada kena belit. Tapi tak, dari mula sampai akhir kau tak habis-habis jadi mangsa.

Paling tak boleh blah, tak reti nak bagi penjelasan. Malas ya amat nak jelaskan keadaan sebenar konon pendapat orang lain tak penting sebab kau gembira asalkan anak kau selamat dan bahagia, lepas tu buat-buat nada sendu konon tak ada siapa nak dengar apa yang kau nak kata, berlagak macam orang lain jahat sangat tak ada kerja lain memfitnah je.

Agaknya yang ni la spesis yang orang panggil White Lotus tu ⊂•⊃_⊂•⊃

Kalau kau boleh berterus-terang dari awal, rasanya cerita ni tak la berleretan macam ni. Silap-silap 50 bab dah habis dah.

Wednesday, May 20, 2020

Membuat Tempahan Khidmat Penghantaran J&T Secara Atas Talian

No comments:
Hmm.... Tak pasti bila. Tapi, rasanya dalam bulan 3 atau 4 tahun ni, pergi J&T.

Sebelum-sebelum ni pernah pergi, lancar dan pantas je urusan. Masuk dalam ruang kedai, tunggu sekejap, pegawai bertugas minta maklumat, dia taip masuk dalam komputer, kita bayar, dia bagi no. rujukan, siap. Selesai. Selalu tak sampai 10 minit pun termasuk masa menunggu, kalau tak silap.

Tapi, hari tu pergi, pegawai tu cakap sepatutnya kena daftar dulu secara atas talian.

Hikari tak tahu caranya jadi terpaksa tanya. Katanya, guna telefon, pergi cari kod QR di Facebook. Ok.... cuba la. Tak jumpa pun. Terpaksa minta dia tunjuk. Dia cuba sendiri, oh, memang tak boleh. Mungkin telefon Hikari bermasalah katanya. Jadi, tak apalah. Kali ni, pakai dulu telefon dia untuk daftarkan barang yang Hikari nak hantar tu. Selesai masalah.

Walaupun dah selesai untuk urusan masa tu, macam mana dengan urusan-urusan seterusnya?

Hikari masih tak reti cara nak daftar secara atas talian ni. Jadi, Hikari tanya pegawai tu lagi, "Ada tak panduan pasal ni di laman rasmi J&T ke apa?". Jawabnya, ada. Tak apalah kalau macam tu. Nanti Hikari semak laman rasmi J&T.

Beberapa hari sebelum ni, Hikari kena pergi J&T lagi.

Sebelum pergi, Hikari cuba daftar barang yang Hikari nak hantar secara atas talian. Panduan? Na da, zero, zilch, tak ada! Cari dekat laman sesawang rasmi, media sosial, Google, semua tak ada. Hadoi la deme ni... Kata wajib pakai tapi panduan tak ada. Tak logik sungguh! Tapi bab kata wajib pakai tu sahaja pun sebenarnya memang dah tak logik. Bukan semua orang ada telefon canggih atau kredit atau data. Pemberitahuan pun tak ada. Jadinya, wajib celah mana?

Apa pun, akhirnya, terpaksa la main cuba-cuba.

Dipendekkan cerita, tak boleh daftar melalui laman sesawang rasmi di https://www.jtexpress.my/ tapi kena daftar melalui aplikasi Android bernama J&T Malaysia baru boleh.


Kalau tak silap, masa tu, tak ada butang daftar (register) pun dalam laman sesawang tu. Ada butang masuk (login) dan pautan untuk yang lupa kata laluan sahaja. Tak tahu lah kalau sekarang dah ada.

Apa pun, Alhamdulillah, berjaya daftar.


Lepas daftar, boleh masuk ke sistem J&T melalui aplikasi J&T Malaysia tu atau laman sesawang rasmi J&T. Kalau nak hantar satu barang ke satu alamat sahaja, pilih Pesanan Tunggal. Kalau nak hantar banyak barang ke banyak alamat, pilih Pesanan Lambak. Kemudian masukkan sahaja maklumat yang diminta dan ikut arahan yang diberikan. Nanti dah selesai, kita akan diberikan no. rujukan untuk pesanan tersebut.

Hikari cetak salinan pesanan tapi sebenarnya asalkan ada nombor rujukan tu pun dah boleh. Pergi mana-mana J&T terdekat, bawa barang dan bagi nombor rujukan tu kepada pegawai bertugas. Nanti dia akan semak dalam sistem, dan cetak pelekat untuk dilekat pada barang dan untuk simpanan. Bayar. Selesai :)

Sunday, April 26, 2020

Ilmu Kira-Kira - Persamaan Kuadratik (1)

No comments:
Sekadar catatan untuk diri sendiri yang lemah ilmu kira-kira... kalau salah, tolong betulkan...


PERSAMAAN KUADRATIK

Tulis dengan tulisan tangan:
Tulis dalam bahasa pengaturcaraan Python:

(a * x^2) + b*x + c = 0

  • a adalah merujuk kepada pekali kepada x^2 (x kuasa 2)
  • b adalah merujuk kepada pekali kepada x (x kuasa 1 tapi sebut sebagai x sahaja)
  • c adalah merujuk kepada angka lengkap yang berdiri sendiri (bukan pekali kepada mana-mana x)
  • a, b, c, dan x tu boleh tukar dengan apa-apa huruf sebab dia cuma nama yang kita berikan untuk memudahkan pengenalan tapi kena pastikan semua huruf yang sama dalam satu-satu persamaan tu ditukar ke huruf yang sama supaya persamaan tu kekal tepat seperti yang asal. Contoh, semua x, tak kisahlah x kuasa 10, x kuasa 6, x kuasa 1, semua x yang ada kena tukar ke h.


CONTOH PERSAMAAN KUADRATIK

Contoh 1:
  • Dalam persamaan kuadratik di atas (2x^2 - 5x + 6), a = 2, b = -5, c = 6
Contoh 2, 3, dan 4:
  • a bukan tak ada dalam semua contoh di atas. a ada. Cuma bila pengkali kepada x^2 tu ialah 1, orang malas nak tulis 1 tu sebab tak perlu. x darab 1 hasilnya tetap x. sama macam x kuasa 1, orang tulis x sahaja, sebab x kuasa 1 hasilnya tetap x. 
  • Dalam persamaan kuadratik kedua (x^2 - 5x + 6), a = 1, b = -5, c = 6
  • Dalam persamaan kuadratik ketiga (x^2 = 2x + 1), a = 1, b = 2, c = 1
  • Dalam persamaan kuadratik keempat (x^2 - 3x + 5), a = 1, b = -3, c = 5


PUNCA KUASA X UNTUK PERSAMAAN KUADRATIK

Punca kuasa kepada x, paling banyak ada 2. Paling sikit, tak ada langsung.

Untuk cari nilai punca kuasa, kena guna rumus ini.

  • Dalam Python, boleh import fungsi sqrt daripada pustaka math (from math import sqrt) untuk menyenangkan kerja mengira hasil punca kuasa
  • Rumus pula ditulis macam ini: (((-b) + sqrt(r)) / 2*a) dan (((-b) - sqrt(r)) / 2*a)
  • a, b, c, dan r, semuanya perlu didaftar sebagai pembolehubah (variable) dari jenis float
  • Nilai r ialah b**2 - 4*a*c di mana b**2 bermaksud b kuasa 2

Macam mana nak tahu punca kuasa kepada x ada berapa?

Kena guna rumus kiraan yang ini:
  • Rumus ini adalah sebahagian daripada rumus untuk cari nilai punca kuasa
  • Rumus ini kita gelar sebagai pembeza layan (discriminant)
  • Kenapa pembeza layan? Sebab, layanan yang bakal diberikan berbeza mengikut hasil kiraan
  • Jumlah punca kuasa yang dimaksudkan di sini merujuk kepada jumlah punca kuasa yang mempunyai nilai sebenar iaitu tidak mengandungi angka khayalan (imaginary number)
  • Jika hasil kiraan b^2 - 4ac > 0 (lebih daripada kosong iaitu angka positif), maknanya punca kuasa ada 2
  • Jika hasil kiraan b^2 - 4ac = 0 (ialah kosong), maknanya punca kuasa ada 1
  • Jika hasil kiraan b^2 - 4ac < 0 (kurang daripada kosong iaitu angka negatif), maknanya tiada punca kuasa
  • Jika punca kuasa ada 2, boleh sambung guna rumus asal cari nilai punca kuasa
  • Jika punca kuasa ada 1, rumus asal boleh dipendekkan menjadi -b / 2a
  • Jika tiada punca kuasa, tak perlu teruskan untuk mencari nilai punca kuasa x

CONTOH KIRAAN UNTUK CARI PUNCA KUASA

Kiraan untuk contoh 1:
Dalam persamaan kuadratik 2x^2 - 5x + 6, a = 2, b = -5, c = 6

Jumlah punca kuasa x
= b^2 - 4ac
= (-5)^2 - 4(2)(6) <- terpulang nak tulis macam ini ke
= (-5)^2 - (4 x 2 x 6) <- atau macam ini
= (-5)^2 - (4 . 2 . 6) <- atau ini
= 25 - 48
= -23
= persamaan ini tiada punca kuasa

Kiraan untuk contoh 2:
Dalam persamaan kuadratik x^2 - 5x + 6, a = 1, b = -5, c = 6

Jumlah punca kuasa x
= b^2 - 4ac
= (-5)^2 - 4(1)(6)
= 25 - 24
= 1
= persamaan ini ada dua (2) punca kuasa

Nilai punca kuasa x yang pertama
= -b + 1 (hasil punca kuasa kepada 1) / 2a
= (-(-5) + 1) / 2(1)
= (5 + 1) / 2
= 6 / 2
= 3

Nilai punca kuasa x yang kedua
= -b - 1 (hasil punca kuasa kepada 1) / 2a
= (-(-5) - 1) / 2(1)
= (5 - 1) / 2
= 4 / 2
= 2

Kiraan untuk contoh 3:
Dalam persamaan kuadratik x^2 = 2x + 1, a = 1, b = 2, c = 1

Jumlah punca kuasa x
= b^2 - 4ac
= (2)^2 - 4(1)(1)
= 4 - 4
= 0
= persamaan ini ada satu (1) punca kuasa

Nilai punca kuasa x
= -b / 2a
= -(2) / 2(1)
= -2 / 2
= -1

Kiraan untuk contoh 4:
Dalam persamaan kuadratik x^2 - 3x + 5, a = 1, b = -3, c = 5

Jumlah punca kuasa x
= b^2 - 4ac
= (-3)^2 - 4(1)(5)
= 9 - 20
= -11
= persamaan ini tiada punca kuasa


KOD PYTHON UNTUK CARI JUMLAH DAN NILAI PUNCA KUASA X

from math import sqrt

print("Fungsi kuadratik : (a * x^2) + b*x + c")
a = float(input("a: "))
b = float(input("b: "))
c = float(input("c: "))

r = b**2 - 4*a*c

if r > 0:
    jumlah_punca_kuasa = 2
    x1 = (((-b) + sqrt(r)) / 2*a)
    x2 = (((-b) - sqrt(r)) / 2*a)
    print("Ada 2 punca kuasa, iaitu: %f and %f" % (x1, x2))
elif r == 0:
    jumlah_punca_kuasa = 1
    x = (-b) / 2*a
    print("Ada 1 punca kuasa, iaitu: ", x)
else:
    jumlah_punca_kuasa = 0
    print("Tiada punca kuasa, pembeza layan < 0.")

Monday, March 30, 2020

BMF di Pulau Pinang

No comments:
Dulu semasa tinggal di Perak, banyak pilihan. Jarang-jarang tak boleh BMF. Tapi sampai-sampai Pulau Pinang... hadeh... jenuh mencari. Macam mencari harta karun terutama kalau belah pulau.

Jadi untuk lain kali Hikari senang cari, Hikari senaraikan dekat sini tempat-tempat untuk BMF.

#AkanDikemaskiniDariSemasaKeSemasa

------------------------------------

KEDAI KUNCI PERDA
Untuk buat macam-macam jenis kunci termasuk kunci pintu rumah dan kunci kereta yang ada cip. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 ni bermula, banyak kedai tutup termasuk kedai kunci. Nasib baik kedai ni ada dalam Google Maps... kalau tak... tengok senarai tu, sekali imbas macam semuanya bukan Melayu, bukan Islam. Bila telefon tanya buka tak, dia kata buka. Alhamdulillah. Mai mai la melawat.



MOHD YAZID
016 914 0350 (Whatsapp)
016 462 8958

(Bersebelahan Kedai Anazim Sport)
No. 12, Lorong Perda Utama 1, Bandar Baru Perda, 14000, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Perkhidmatan:
Salinan kunci (pendua) kawalan jauh (remote control) kenderaan, pelumpuh enjin (immobilizer) pagar rumah, menyediakan perkhidmatan rumah ke rumah, pejabat, atau sebarang masalah kunci.

------------------------------------

Tuesday, February 18, 2020

Beli rumah dulu, atau kereta dulu? Kereta satu kehendak atau keperluan?

No comments:
Selalu pakar-pakar kata, baik beli rumah dulu baru beli kereta. Tapi pakar-pakar pun ada pesan, 1 nasihat tu tak pernah sesuai untuk semua. Kena tengok juga keadaan masing-masing. Kalau jenis tak duduk tetap ni, beli rumah awal-awal lagi pening kepala. Pening kepala tak tau nak buat apa dengan rumah terbiar tu. Pening kepala macam mana nak urus sebab sibuk. Tapi berguna jugak la rumah tu masa tak ada duit. Kurang2 ada la benda nak dicagar, disewa, atau dijual.

Sekarang yang paling bersyukur sebab ada kereta. Kereta pula dulu beli yang paling sesuai dan paling murah (maksudnya yang murah tapi tak sesuai tak termasuk dalam senarai pilihan ya). Bayar bulan-bulan tak tinggal. Bila cukup duit dalam tabung ASB hasil simpanan, dividen (simpanan dan pinjaman ASB), dan bonus (simpanan dan pinjaman ASB), terus habiskan bayar. Rasanya tak sampai 3 tahun selesai bayar walaupun Hikari orang biasa-biasa je.

Bukan apa, takut hutang lama-lama. Kita ni bukan pasti langit sentiasa cerah. Lagipun dah tahu jenis penakut tu, jadi buat la apa yang sesuai dengan diri yang penakut tu. Bila ada peluang langsaikan hutang, langsaikan.

Alhamdulillah, sekarang dalam keadaan yang tak menentu ni, sekurang-kurangnya dah tak payah risau kena bayar hutang.

Dengan kereta tu la, sangat berjasa, meredah segala tempat, bawa mak pergi hospital, klinik, bawa kucing, dan haiwan peliharaan, jumpa pakar veterinar, apa bagai. Dengan kereta tu la pergi kerja, pergi bantu saudara-mara, pergi selesaikan pelbagai urusan bila-bila masa. Kalau terpaksa, boleh jadikan rumah sementara juga.

Memang ada MyCar, Grab, apa bagai, tapi ada sesetengah urusan, tak ada kereta memang susah. Terutama kalau yang melibatkan haiwan peliharaan. Seekor boleh la sorok letak dalam beg galas. Sekali lalu 2-3 ekor untuk pergi vaksin, rawatan, apa bagai? Mana nak letak?

Sebab tu sekarang rasa bersyukur ada kereta, bersyukur beli kereta, walaupun mula2 dulu rasa tak puas hati dengan mak, rasa terpaksa beli untuk gembirakan mak. Tak puas hati sebab rasa nak kumpul duit untuk beli rumah sendiri, rasa macam naik bas atau motor pun dah cukup. Sekarang baru rasa nikmatnya.

Ya, beli rumah, naik bas, naik motor, semua tu cukup untuk diri sendiri sahaja. Bila ada kereta, cukup untuk orang lain dan makhluk lain sama. Alhamdulillah.

Tak hairanlah kenapa sekarang kereta ni dilihat sebagai satu keperluan.

Wednesday, January 22, 2020

Anda diberi kebolehan untuk mengeluarkan sebarang cecair dari setiap jari di tangan kanan anda sepanjang hayat anda. Apa 5 cecair yang anda pilih?

No comments:
Saya terjumpa satu soalan di Quora.

You are granted the gift to expel any liquid from each finger in your right hand for the rest of your life. Which 5 do you choose?

Lepas baca jawapan-jawapan dekat sini, rasa macam teruja pula nak buat senarai untuk diri sendiri... https://www.quora.com/You-are-granted-the-gift-to-expel-any-liquid-from-each-finger-in-your-right-hand-for-the-rest-of-your-life-Which-5-do-you-choose

Antara cecair yang saya rasa menarik:
  • Air masak (untuk minum la, apa lagi. Air tak ada, boleh mati woo. Tapi air yang boleh diminum dengan selamat cuma air masak, bukan sebarangan air. Sebagai senjata. Untuk mandi. Untuk cuci kereta. Hahaha.)
  • Minyak petrol gred RON95 (sebab kereta NIM pakai minyak tu)
  • Air garam (untuk cuci luka, untuk tujuan pembersihan, untuk bagi masin apa-apa, senjata)
  • Madu (untuk kesihatan dan untuk bagi manis apa-apa)
  • Darah O RH Null (untuk derma darah, boleh diterima oleh sesiapa termasuk yang ada darah langka dari sistem Rh. Darah O- untuk yang ada darah bukan langka sahaja.)
  • Susu kambing (untuk kesihatan, untuk masakan, bahan untuk keju, mentega, yogurt, dadih, dan krim)
  • Jeli lidah buaya (untuk kulit, dan gatal-gatal)
  • Susu coklat (sedap untuk diminum)
  • Air cuka epal (untuk cuci tangan, untuk mandi, untuk basuh baju/pinggan)
  • Air sabun (untuk cuci tangan, untuk mandi, untuk basuh baju/pinggan, untuk cuci kereta)
  • Insulin (untuk pesakit Kencing Manis)
  • Cecair Oksigen (akan terus meruap menjadi gas walaupun dalam cuaca sejuk, boleh selamatkan nyawa)
  • Susu ibu manusia (semua khasiat yang diperlukan daripada makanan ada dalam susu ibu, selamat dan sesuai untuk keperluan manusia sepanjang hayat)
  • Susu ibu kucing (untuk anak kucing)
  • Bisa kala jengking Deathstalker (hehehe.... nak kaya beb. Cecair paling mahal di dunia)
  • Darah belangkas (untuk jana pendapatan juga. Cecair ke-4 paling mahal)
Tapi kalau fikir balik, kebolehan ni boleh dikatakan ialah kuasa sakti atau ajaib setaraf Harry Potter, Aang, Korra, Aladdin (Magi), Avengers, dan X-Men. Ye lah, kalau fikir guna akal, kebolehan ni adalah mustahil kita boleh ada.

Macam mana jari yang boleh keluarkan peluh sahaja, atau darah apabila terluka, tiba-tiba boleh keluarkan susu goyang (milkshake) perisa coklat apa bagai?

Memang tak boleh la, tapi, tak salah berangan, kan? :P

5 cecair yang NIM pilih:
  • Ibu Jari (Air)
Bukan air biasa-biasa tau. Air bersih. Air yang selamat untuk diminum. Tapi bukan air yang kosong, yang tak ada apa dalamnya. Itu air suling orang panggil. Air yang tak ada apa-apa khasiat. Yang NIM nak ialah air yang selamat untuk diminum dan berkhasiat, dan telah dimasak. Berkhasiat maksudnya ada la bahan galian (mineral) yang diperlukan badan dan tiada hidupan yang berbahaya kepada manusia dalam air tu. Selalunya air macam ni, kita panggil "drinking water" atau dalam Bahasa Melayunya, air minuman, hahaha!

Tujuan utama memang untuk minum tapi air bersih kan ada macam-macam kegunaan. 

Ye lah, kalau kebolehan ini ialah kuasa ajaib, maksudnya kemungkinan besar boleh kawal berapa banyak dan berapa deras boleh dipancutkan dalam satu-satu masa. Jadi, nak guna untuk mandi boleh, untuk cuci pinggan mangkuk dan baju pun boleh, nak basuh kereta pun boleh, untuk sembur dekat kucing yang nak gaduh boleh, untuk pertahankan diri daripada serangan pun boleh!

Cuba bayangkan air deras yang tukang cuci selalu guna untuk pancutkan air laju ke kereta untuk bersihkan kereta, atau untuk bersihkan bangunan. Cuba bayangkan air tu dipancut ke manusia atau mana-mana makhluk hidup. Sakit oi!
  • Jari Telunjuk (Air Garam)
Air garam, bukan air laut tau. Air garam = Air bersih + Garam Himalaya. Bukan sebab apa, walaupun air laut pun boleh dikira sebagai air garam, air laut tak selamat untuk diminum. Dalam air laut, ada banyak hidupan yang berbahaya kepada manusia. Lagipun air laut di seluruh dunia semakin tercemar dengan bahan plastik mikro (micro plastic).

Kenapa pilih air garam?

Sebab air garam pun banyak kegunaan dalam kehidupan sehari-hari. Nak cuci luka boleh. Untuk kumur bersihkan mulut boleh. Untuk rawat luka di mulut boleh. Kadang-kadang, bila tak sihat, minum air garam dapat membantu. Tapi jangan minum banyak la, nanti penyakit lain pula datang 

Lepas tu, nak buat mandi pun boleh. Ramai orang suka mandi air garam sebab air garam dapat bantu sembuhkan penyakit kulit.

Oh, dan untuk masakan. Kalau pergi mana-mana, tak payah pening sumber garam untuk masak dah.

Hmm... bila fikir balik, air bersih memang boleh guna untuk pertahankan diri tapi dalam keadaan tertentu, mungkin air garam lebih berkesan. Ye lah, kalau masuk mata, pedih ya amat.
  • Jari Hantu/Tengah (Darah O Rh Null)
Tahu tak, darah jenis Rh Null ialah antara darah yang paling langka di dunia, kalau bukan yang paling langka? Langka tu maksudnya jarang-jarang ada. Kalau ada darah jenis ni, kalau tak silap NIM la, kita boleh derma kepada semua orang, tak kisah darah apa. Tapi darah dari sistem ABO + Rh je la.

Selama ini, kita ingat darah O ialah darah yang boleh diderma kepada semua, tapi rupanya bukan. Kita ingat jenis darah yang ada cuma A, B, AB, dan O, tapi rupanya bukan. Semua itu cuma penerangan yang telah sangat-sangat diringkaskan dan dimudahkan.

Untuk penerangan lanjut, boleh baca https://mosaicscience.com/story/man-golden-blood/, https://transfusion.com.au/blood_basics/blood_groups/abo_rh, https://www.redcrossblood.org/donate-blood/blood-types.html, https://www.redcrossblood.org/donate-blood/blood-types/ab-blood-type.html, https://www.popsci.com/blood-type-rare-cancer-transfusion/ atau Google.

Tapi ringkas yang tak berapa ringkas dia macam ni... Sistem darah yang orang biasa tahu ialah sistem gabungan ABO dan Rh tapi sebenarnya semua sekali ada 35 sistem darah. Sistem ABO dan Rh cuma 2 daripadanya.

Untuk pastikan jenis darah, pakar akan tengok antibodi dan antigen (bahan dalam darah kita) apa yang darah kita ada atau tak ada. Antibodi dalam sistem ABO ada 2. Antigen, semua sekali setakat ni ada 342. 61 daripadanya dalam sistem Rh. 2 dalam sistem ABO.

Sistem ABO, ringkas je. Samaada darah kau A, B, AB, atau O. Itu sahaja.

Tapi pernah dengar atau tengok tak, orang tulis, darah A+, darah AB-. Ha, yang + atau - tu merujuk kepada sistem Rh. Tanda + tu, baca dia, Rh positif. Tanda - tu, baca dia, Rh negatif.

Dalam sistem Rh, setakat ni ada 61 antigen tapi yang selalu diuji cuma antigen D. Bila ditulis, darah A+, A-, B+, B-, AB+, AB-, O+, dan O-, maksudnya darah A, B, AB, atau O tersebut telah diuji ada atau tiada antigen D. Kalau positif tu maksudnya ada lah. Kalau negatif, tak ada. Kalau nak tahu 60 antigen lagi tu ada ke tak, selalunya kena jumpa sendiri pakar, bayar untuk mereka uji.

Untuk kebanyakan orang, cukup untuk kita tahu yang darah cuma boleh diderma atau diterima daripada darah dalam kumpulan yang ada huruf yang sama. Contoh, A boleh derma ke A dan AB. B tak boleh terima A atau AB. + cuma boleh derma ke +, - boleh derma ke + dan -. Contoh, A+ tak boleh diderma kepada A-, tapi B- boleh diterima oleh B+.

Pengecualian kepada AB dan O. AB+ boleh terima daripada semua darah + dan -. AB- boleh terima daripada semua darah -. O+ boleh derma kepada semua darah +. O- boleh diderma kepada semua darah + dan -. Oleh itu, AB+ ialah penerima sejagat (universal ), O- ialah penderma sejagat (universal donor).

Tapi ini hanya benar untuk darah bukan langka sahaja lah. 

Macam mana nak tahu darah tu langka?

Tengok kekerapan. Kalau darah tu ada antigen yang kebanyakan orang tak ada, atau darah tu tak ada antigen yang kebanyakan orang ada, kira langka la tu. Selalunya kurang daripada 1 dalam 1000 orang akan ada darah tu.

Macam pemilik darah Rh Null, di seluruh dunia ada lebih kurang 50 orang sahaja. Ambik kau. Seluruh dunia tu! Macam dimaklumkan tadi, yang selalu diuji dalam sistem Rh ialah antigen D sahaja. Dalam sistem Rh ada lebih daripada 50 antigen. Rh Null ni ialah apabila pemilik darah tak kisahlah A, B, AB, atau O, tak ada langsung antigen dari sistem Rh ni termasuk antigen D.

Masalah orang yang ada darah langka ni, kalau jadi apa-apa, memang sakit. Kalau kemalangan ke apa, pening nak cari penderma darah. 

Sebab tu NIM nak darah O Rh Null. Sebab kalau ada darah ni, boleh derma kepada semua yang ada dalam sistem ABO dan Rh ni, termasuk darah langka. Walaupun itu tak bermaksud darah O Rh Null ni boleh sewenang-wenangnya diderma kepada darah dari sistem lain macam Bombay, tapi sekurang-kurangnya, secara umumnya, darah ni sangat membantu kepada mereka yang mempunyai darah langka dari sistem Rh. Yang paling penting, sangat membantu kepada NIM dan orang-orang yang NIM sayang. Setakat ni kami semua biasa-biasa sahaja. Tak ada yang ada darah langka.

Memandangkan kebolehan ni datang daripada kuasa ajaib, maksudnya tak ada had jumlah darah yang boleh dikeluarkan dalam sehari. Bayangkan kalau boleh derma dengan banyak dalam satu hari kepada tabung darah seluruh dunia... berapa banyak nyawa yang boleh diselamatkan?!

Hehehe... teruja pulak rasa.
  • Jari Manis (Susu Ibu Manusia)
Yang ni sebenarnya... macam tak nak. Ye lah, NIM bukan ada anak. Kalau ada pun, anak kucing. Kalau ada anak angkat, lain lah. Tapi... tapi... kalau la tersadai di pulau terbiar ke, tiba-tiba jatuh miskin tak mampu langsung nak beli makanan ke, susu ni berkemungkinan boleh selamatkan nyawa.

Sebagai manusia, susu yang paling sesuai untuk kita ialah susu ibu daripada kalangan manusia juga. NIM tak ingat baca mana tapi dikatakan susu ibu adalah makanan yang paling lengkap. Jadi dalam keadaan terdesak, susu ibu mungkin sumber makanan yang paling sesuai untuk jangka masa panjang.

Kalau ikut NIM lebih suka susu kambing. Sebagai seorang yang dah dewasa, berapa kerap sangat lah NIM minum susu? Tak kerap pun, kecuali kalau susu tu dah diolah jadi keju ke, yogurt ke, susu coklat ke, mentega, dadih, gulai, atau lain-lain. Susu ibu ni jarang la orang olah macam tu.

Tapi NIM pernah baca, ada ibu-ibu yang suka mencuba sesuatu yang baru. Mereka guna susu mereka sebagai ganti susu biasa. Berjaya. Sebab tu NIM akhirnya pilih susu ibu.

Oh, lagi satu, susu ibu dikatakan rasanya manis. Jadi, boleh juga guna sebagai sumber gula untuk makanan dan minuman.
  • Jari Kelingking (Darah belangkas)
Kalau ikut senarai https://beyondtype1.org/the-10-most-expensive-liquids-in-the-world/, cecair yang paling mahal ialah bisa kala jengking Deathstalker. Haha, ni skim cepat kaya ni. Tapi kenapa akhirnya NIM pilih yang berada di tempat ke-4 dalam senarai?

Sebab... bila fikir balik kan... 4 cecair yang NIM dah pilih, air bersih, air garam, darah O Rh Null, dan susu ibu manusia, semuanya selamat dan tak bahaya untuk dipegang. Kalau terminum air bersih, air garam, susu ibu manusia, tak ada masalah. Darah manusia toksik kalau diminum tapi dalam jumlah yang kecil, tak ada masalah. Kalau termasuk mata atau terkena pada luka, cepat-cepat cuci tak ada masalah. 

Tapi kalau bisa kala jengking?

Cuba bayangkan, bisa kala jengking tu keluar dari jari NIM. Dia keluar tu, dia pergi mana? Bukan ke macam mana pun akan menitik ke jari NIM? Mungkin tak bahaya tapi mungkin juga menyebabkan gatal-gatal ke, rengsa ke, tambah kalau terkena luka..

Lepas tu kalau tumpah, kucing jilat? Kalau tersapu atas luka orang lain? Kalau tersembur masuk mata? Kalau menitik masuk minuman? Seram bak hang. Tak pasal-pasal NIM masuk penjara sebab membunuh tanpa niat.

Sebab itu lah akhirnya NIM pilih darah belangkas.

Bagus juga. Selain tolong orang, tolong belangkas sekali. Sekarang ni dianggarkan lebih kurang 50000 setiap tahun semasa darah mereka diambil oleh manusia. Malah ada yang disenaraikan dalam senarai hampir pupus. Malah ada yang menjangkakan belangkas akan pupus dalam masa 10 tahun!

〜( ̄▽ ̄〜)(〜 ̄▽ ̄)〜

Ya Rabbi, kenapa la saya suka buang masa macam ni? Hahaha...