Adoi, sabar je la baca benda macam ni. Sangat menaikkan darah.
Pertama sekali, suami isteri tinggal bersama di rumah yang sama. Jadi apa masalahnya kalau dua-dua buat kerja rumah?
Rasulullah SAW sendiri pun buat kerja di rumah. Baginda seorang lelaki dan seorang suami. Jadi dari mana datangnya rasa lelaki ni terlalu tinggi darjatnya untuk buat kerja rumah atau kerja rumah ni kerja orang perempuan semata-mata?
Kedua, perempuan tu cuma cakap dia nak lelaki rajin. Dia tak ada pun cakap lelaki tu buat semua kerja rumah, yang perempuan duduk saja, goyang kaki atas sofa, layan drama di TV.
Tapi, ramai lelaki yang beranggapan macam lelaki dalam gambar tu. Cumanya lelaki dalam gambar atas tu menyampaikan intinya dengan bahasa yang agak elok. Yang menyampaikan dengan bahasa yang tak elok, berlambak. Perkataan ruji yang jadi makanan harian ramai di antara mereka ialah "kepamist" atau "patut la bujang/janda".
Kenapa?
Bukan kenapa "kepamist" atau lain-lain kutukan tu. Kenapa mereka sangka perempuan tu tak buat kerja rumah hanya kerana dia nak suami yang rajin buat kerja rumah?
Sebab... banyak lelaki tak sentuh pun kerja rumah!
Semua atau sebahagian besar kerja rumah, dibaling ke mana-mana orang perempuan dalam rumah tu untuk buat. Tak emak sendiri, kakak, adik perempuan, nenek, malah anak perempuan sendiri pun boleh la, asalkan perempuan.
Sebab tu lelaki macam ni senang salah faham ayat perempuan dalam gambar tu.
Sebab tu lelaki macam ni ingat kalau seorang dah buat kerja rumah, yang lain tak payah buat. Sebab tu dia ingat kerja rumah tu sikit, jenis kerja yang buat sekali je, lepas tu siap. Sebab tu dia ingat seorang je boleh buat semua untuk satu rumah, satu keluarga, tanpa rasa penat walaupun ahli keluarga lain langsung tak bekerjasama.
Padahal, dalam dunia sebenar, hidup suami isteri ni tak ada beza macam kalau lima orang lelaki bujang atau perempuan bujang hidup bersama dalam satu asrama atau rumah sewa. Masing-masing ada peranannya sendiri sebagai ahli rumah tu.
Kalau seorang je buat, lelah la orang tu. Tambah-tambah, zaman sekarang ni, selalunya dua-dua suami dan isteri bekerja.
Tapi, katakan isteri tu "cuma" surirumah. Isteri tu BUKAN "cuma" surirumah. Dia masih bekerja macam orang lain. Cumanya, dia tak dibayar dengan wang ringgit, tak dibayar secara tetap setiap bulan untuk kerja-kerja yang dilakukan. Oleh itu, pembahagian kerja rumah tetap kena buat dengan adil.
Kenapa?
Katakan si suami bekerja. Selalunya la, kita cerita yang umum, selalunya si suami bekerja dengan waktu kerja yang tetap. Contoh, kalau kerja 8 jam termasuk rehat, 8 pagi - 5 petang. Kalau 12 jam, 7 petang - 7 pagi.
Selalunya, si isteri kerja berapa jam pula?
Kalau pasangan suami isteri tu belum ada anak, rumah pun kecil je atau sederhana besarnya, mungkin tak ada masalah untuk isteri buat semua kerja rumah. Mungkin beban kerja masing-masing masih seimbang. Malah, ada kemungkinan beban kerja si isteri lebih ringan daripada beban kerja si suami secara keseluruhannya.
Tapi, kalau dah ada anak, terutama yang anak tu masih bayi atau anak kecil, lain ceritanya.
Si isteri boleh jadi "on-call" 24 jam. Bayi dan anak kecil bukan tahu mak dia dah habis “waktu kerja”. Ikut suka hati dia nak bangun pukul 2 pagi ke 4 pagi, nak menangis, nak menyusu, muntah, berak, sakit, meragam, nak melalak, nak main. Kerja rumah sedia ada masih ada, malah bertambah disebabkan anak-anak tadi tu yang masih belum cukup matang untuk diharapkan dengan apa-apa tugasan.
Badan si isteri pula mungkin masih sakit dan belum pulih kalau baru beberapa bulan lepas beranak. Emosi pula boleh jadi kurang stabil, tambah-tambah kalau anak pertama atau ramai anak kecil, otak penat belajar cara nak uruskan anak, penat ingat seribu satu benda berkaitan anak, suami, dan rumah.
Yang selalu jadi masalah apabila dalam keadaan macam ni pun, ramai suami masih berkeras tak nak buat kerja rumah atau jaga anak langsung sebab “aku dah penat kerja”, lalu si isteri tetap kena uruskan semuanya seorang diri.
Sepatutnya, si isteri tengah sibuk menyusu anak dan tak sempat makan, si suami suapkan la makan. Si isteri tak sempat mandi sebab anak-anak asyik menempel, si suami ambil la anak-anak tu jaga, bagi peluang si isteri mandi, berehat, dan bersolek. Alhamdulillah, ramai suami yang baik, yang sedar tanggungjawab, tak ada masalah untuk buat macam ni untuk isteri, untuk keluarga mereka. Mereka tahu, nak isteri yang sentiasa nampak cantik dan terurus, kena bagi isteri masa dan ruang untuk uruskan diri sendiri.
Tapi, malangnya, ramai juga suami yang tak baik.
Sebab tu banyak je keluar video-video atau cerita, isteri kusut-masai, selekeh, sibuk uruskan rumah dan anak. Suami nampak segak, kacak, macam tak ada apa-apa berlaku. Di kedai makan, si isteri pegang dua-dua anak, suap makan apa semua, si suami makan dengan tenang dan penuh nafsu di sebelah sementara si isteri kelaparan.
Sebab tu orang kata, nak tau lelaki tu betul-betul suami yang baik ke tak, tengok isteri dia. Rasulullah SAW pun kata, sebaik-baik lelaki ialah lelaki yang paling baik pada isterinya. Kalau lelaki tu nampak bersih, segak, wangi, isteri pun sama bersih, segak, wangi, walaupun anak ramai, ha.... itu memang kemungkinan besar suami tu memang baik la.
Tapi kalau sebaliknya.... hm.... hm..
Kalau sekali-sekala, mungkin boleh bersangka baik. Tapi kalau kerap sangat macam tu, kalau kita nampak kawan perempuan, anak, ibu, ibu saudara, dan sesiapa sahaja yang rapat dengan kita, rajin-rajin la bertanya. Mana tau mereka perlukan bantuan.
Mungkin suaminya bertanggungjawab, elok jaga isteri, anak, dan rumah, tapi si isteri nampak macam tu sebab kurang sihat, atau ada masalah lain. Tapi boleh jadi juga memang suaminya bermasalah, jenis baling semua urusan rumah dan anak ke isteri.
Kadang-kadang, kita bising kenapa perempuan yang hidup dengan lelaki yang tak bertanggungjawab masih hidup bersama dengan lelaki tu bertahun-tahun. Kita kena ingat, salah satu puncanya, boleh jadi sebab dia terlalu penat. Orang yang terlalu penat ni, sampai satu tahap, dia hidup dalam mod automatik. Maksudnya, dia buat je apa yang patut untuk hidup, tak de nak fikir apa dah. Otak dia dah tepu. Dia dah tak ada tenaga nak fikir lebih-lebih.
Jadi kalau kita nampak orang yang rapat dengan kita dalam keadaan macam ni, salah satu benda paling mudah yang kita boleh buat ialah bantu ringankan beban dia. Kita bagi dia peluang untuk berehat. Barulah dia ada masa dan tenaga untuk semak, kaji apa yang sedang berlaku, dan fikir apa yang dia patut buat seterusnya.
Apa pun, itulah antara sebabnya tak pelik kalau ramai perempuan sekarang ni tak nak kahwin melainkan bakal suami tu dari awal menunjukkan dia seorang yang boleh bertolak ansur dengan bakal pasangan dan buat kerja rumah. Syarat ni semakin penting apabila bakal suami tu tak mampu menanggung keluarga seorang diri sampai bakal isteri pun kena bekerja atau bakal isteri memang jenis tak nak berhenti kerja walaupun selepas berkahwin atau dapat anak.
Dipendekkan cerita, perempuan dalam siaran tu pun dah beritahu terang-terang jenis lelaki yang dia nak. Para lelaki yang komen tak puas hati tu, yang tak nak buat kerja rumah, yang nak bakal isteri je buat semua kerja rumah, pergilah cari perempuan yang sesuai untuk kau.
Jangan menyemak di siaran perempuan tu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment
Semua komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Apa pun, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi komen :)
Thank you for leaving your comments :) but please be informed that all comments will be screened before they are posted on this site.