Thursday, September 10, 2026

Orang Tak Nak Kau? MOVE ON! (Bahagian 1)

Anda tak menepati ciri-ciri yang lelaki ni nak? Tak apa. Kita jalan je ke depan. 

Kita cari lagi lelaki lain yang menepati apa yang kita nak dan nak kat kita semula. Cumanya, kalau lelaki yang kita minat tu cenderung mencari ciri-ciri tertentu, boleh juga kita ambil maklum untuk tujuan muhasabah diri. 

Bukan apa... macam temuduga kerja juga. Kalau kita tak menepati syarat yang bakal majikan cari, memang susahlah nak dapat kerja tu. Tapi tak cukup syarat tak bermaksud ada yang salah dengan kita.

Dia macam A suka duduk rumah dan tak suka berjalan. B pula suka keluar cari makan, suka cuba kedai baru dan berjalan sana sini dengan pasangan. Dua-dua tak salah. Soalannya cuma dua orang ni sesuai tak jadi pasangan, serasi tak jadi pasangan. Itu je.

Sebab tu, ya, kita boleh persoal lelaki tu macam-macam TAPI di akhir cerita, lelaki ni yang akan hidup dengan perempuan tu. Siapa yang dia rasa dia boleh hidup dengan gembira bersama, BUKAN hak kita untuk menentukan.

Sama macam kita, dia suka apa yang dia suka, kita suka apa yang kita suka.

Kita mungkin tertarik pada lelaki atau perempuan dengan rupa tertentu. Kenapa nak buang masa beri harapan palsu kepada orang yang kita memang tahu kita tak tertarik? Lepas kahwin, hubungan intim suami isteri adalah salah satu bentuk nafkah batin yang perlu ditunaikan. Nanti kalau tak dapat tunaikan sebab tak lalu, boleh jatuh berdosa sebab menganiayai pasangan.

Kita mungkin suka jenis yang pendiam. Kenapa nak buang masa beri harapan palsu kepada yang jenis banyak bercakap? Nanti di kemudian hari, kita salahkan dia sebab bising. Padahal, itu salah kita sendiri sebab kita yang buat pilihan untuk teruskan hubungan.

Ada lelaki suka isteri yang jadi suri rumah sepenuh masa sebab dia kuat cemburu dan panas baran. Panas baran memang tak elok dan dia dah cuba kawal diri sebaik mungkin TAPI dalam masa yang sama, dia dah tahu salah satu benda yang mudah mencetuskan sifat baran dia ialah apabila isteri dia berhubung dengan lelaki lain. Maka, dia cuba elakkan keadaan tu. 

Dia sanggup bekerja keras supaya isteri dia tak payah bekerja, tak perlu berurusan dengan lelaki lain. Dia sanggup tanggung kos tinggi semata-mata untuk dapatkan doktor perempuan untuk rawat isteri dia. Dia sanggup teman isteri dia ke mana-mana apabila perlu berurusan dengan lelaki lain. 

Jadi, apa salahnya dia beritahu awal-awal dia nak bakal isteri yang setuju jadi suri rumah sepenuh masa dan tak keluar rumah kalau tak perlu?

Perempuan yang memang bercita-cita nak jadi suri rumah dan jenis memang tak keluar rumah setahun pun tak kisah mungkin rasa, “Baguslah, memang ini yang aku cari.” Perempuan yang suka bekerja pula boleh kata, “Tak sesuai dengan aku,” dan jalan ke depan, cari lain.

Ada perempuan pula suka suami yang selalu ada rumah sebab dia jenis suka nak manja-manja dan berteman selalu. Dia tak kisah kalau suami dia tu gaji rendah je asal ada di rumah selalu. Tak salah, tak berdosa pun kalau dia tolak awal-awal lelaki yang kerjayanya menyebabkan dia berminggu-minggu baru balik walaupun gaji tinggi gila dan muka tampan nak mampus.

Begitu juga ada lelaki atau perempuan yang dah ada anak, tak nak pening-pening gaduh pasal  isu pembahagian kewangan, masa, dan perhatian dengan anak tiri. Jadi, mereka cari perempuan atau lelaki yang belum ada anak. Tak salah. Tak berdosa. Kita tak suka, bukan kita yang berkahwin dengan mereka.

Pendek kata, benda-benda macam ni, tak payah gaduhlah. Buang masa je.

Memilih pasangan bukannya satu pertandingan untuk menentukan siapa yang lebih baik. Kita cuma sedang menentukan siapa yang kita rasa sesuai untuk hidup bersama kita.

Kita carilah apa yang kita nak. Biarlah orang lain cari apa yang dia nak.

Selagi jelas apa yang orang lain minta tu tak de unsur-unsur haram atau menghina, kita tutup mata, jalan ke depan. Tak payah nak ulas lebih-lebih, menyemak dalam siaran orang tu.

No comments:

Post a Comment

Semua komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Apa pun, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi komen :)

Thank you for leaving your comments :) but please be informed that all comments will be screened before they are posted on this site.