Karangan asal: https://muymg.blogspot.com/2015/03/perlu-ke-kursus-pra-perkahwinan-di.html
Saja Hikari baca balik karangan2 lama. Sekali terjumpa yang ni haha.
Sekarang dah bertukar fikiran, sebab tu Hikari karang versi 2026 untuk terangkan kenapa.
Pertama sekali, dulu Hikari ingat semua orang pergi kelas agama dan sekolah agama macam Hikari. Kalau macam Hikari, memang dari kecil dah belajar agama dan belajar pasal ilmu berkaitan alam perkahwinan semasa sekolah menengah. Sekarang dah bergaul dengan lebih ramai orang, baru tau, ramai je yang dah dewasa nak baca Al-Quran pun tak boleh. Ramai je yang tak belajar agama, tak tau agama, walaupun dalam kad pengenalan ada tercatat "Islam".
Sebab tu ada suami yang tak tahu nafkah tu sepenuhnya di atas bahunya jadi dia tak tunaikan nafkah sebab dia kata isteri kerja atau lebih kaya daripada dia. Ada suami yang ingat dia ketua keluarga, dia ingat dia ada hak mencederakan isterinya "sebagai pengajaran", dia ada hak untuk buli isteri dia.
Lepas tu, ada pula isteri yang ingat menunaikan nafkah batin di ranjang tu tak penting. Ikut suka hati dia la nak bagi ke tak. Padahal dalam Islam, melainkan kau penat sangat, tak sihat, atau ada sebab2 lain yang boleh diterima syarak, kau tak boleh suka-suka tolak ajakan suami.
Sebab tu kursus pra perkahwinan ni perlu. Sebab tak semua orang ada peluang untuk belajar ilmu perkahwinan dalam Islam ni sebelum jumpa pasangan.
Kedua, dulu Hikari kata orang tau agama pun ada buat tak betul juga, kena tangkap khalwat apa bagai. Jadi kita perlu percepatkan orang yang tak minat agama untuk berkahwin untuk kurangkan maksiat. Tapi sekarang Hikari dah sedar beberapa perkara.
Ada orang bukan tak nak belajar, tapi tak ada peluang untuk belajar.
Ada orang yang buat maksiat sebab tak tahu.
Dan, percepatkan perkahwinan di kalangan yang buta agama tak membantu mengurangkan maksiat pun, cuma mengubah bentuk maksiat, SEBAB mereka tak tahu pun apa tanggungjawab mereka sebagai suami/isteri. Sebab tu ramai je isteri yang masih tulis di media sosial, buat luahan rasa sedih la, kahwin di Siam la, suami tak bayar nafkah la, tengok video lucah, berzina, bla bla bla. Lepas orang komen, baru sedar, oh... aku ada hak sekian sekian rupanya... oh... berdosa rupanya... oh, anak boleh jadi anak luar nikah kalau sekian sekian rupanya... bla, bla, bla.
Pendek cerita, masih bujang ke, dah berkahwin ke, lebih kurang sama je kalau kau tak tau agama.
Jadi, ya, kursus pra-perkahwinan ni penting supaya masing-masing tahu perkahwinan dalam Islam ni macam mana dan apa syarat2 dia, supaya dapat mengurangkan maksiat yang berlaku disebabkan kekurangan pengetahuan.
Yang dah tahu tapi masih nak buat, itu dia jawab sendiri di Akhirat. Kita sebagai pihak berkuasa atau ahli masyarakat, dah jalankan tanggungjawab kita.
Akhir sekali, dulu Hikari menentang alasan boleh mengurangkan kadar perceraian. Hikari kata bercerai tu halal, maka, tak ada isu pun. Yang lebih penting ialah elak zina.
Sekarang, Hikari sedar yang hukum berkahwin ni tak wajib kepada semua. Malah, boleh jatuh makruh atau haram. Masa tu Hikari khuatir zina, Hikari terlupa khuatir bakal suami atau bakal isteri yang teraniaya kalau berkahwin dengan orang yang salah, iaitu orang yang keadaannya menyebabkan perkahwinan menjadi makruh atau haram untuk dirinya.
Dulu pun dah belajar cuma mungkin masa tu tak masuk otak. Salah satu orang yang makruh atau diharamkan berkahwin ialah orang yang dikhuatiri akan menzalimi atau memudaratkan bakal pasangannya.
Contoh, bakal suami/isteri ialah kaki pukul, kaki dadah, kaki judi, panas baran, tak ada sumber pendapatan yang boleh diharap, ada penyakit kronik, selalu keluar masuk penjara atas kesalahan merompak, dan lain-lain.
Tapi kalau kita tak belajar agama, kita tak tau benda ni. Sebab tu la kursus pra-perkahwinan ni sangat penting.
Sekian.