Sunday, March 31, 2019

Do, Aneka, HiP

Do, Aneka, HiP, kucing yang paling dekat di hatiku sekarang.

Kenapa ejaan HiP tu lain macam? :)

Sebab HiP tu singkatan kepada Hitam Putih merujuk kepada warna HiP. Sebutan tetap 'hip'.

Do tu dulu 3 beradik. Tak tau nak letak nama apa, kami bagi la nama Do, Re, Mi. Re dan Mi, seekor mati, seekor hilang. Tak ingat yang mana satu mati, yang mati satu hilang. Apa pun tinggal la Do seekor sampai sekarang. Sebelum mati, semua dah dimandulkan. Semua jantan.

Maknya Si Putih. Tak tahu maknya dah hilang ke mana. Harap-harap hidup selamat dan bahagia la. Kalau mati pun, harap mati cepat, tak terseksa. Akhir sekali sebelum Si Putih hilang, kalau tak silap ada dia lahirkan anak lagi. Betul ke? Entah la, ingat-ingat lupa dah. Tak kisahlah. Budak tu Tam Tam namanya. Anak kucing betina tuksedo yang mati sebelum sempat besar. Innalillah.

Rasanya Si Tam Tam tu memang ada adik-beradik lahir sama waktu beranak tapi kalau tak silap dia je yang hidup lama sikit sempat la nak jadi anak kucing yang cergas boleh lari sana sini main. Yang lain tu mati awal sangat tak sempat bagi nama. Kalau tak silap la.

Putih tu nama dia putih sebab dia memang putih seluruh badan. Tak tau la orang buang ke apa tapi datang buat macam rumah sendiri. Jenis bulu panjang. Anak-anak dia pun semuanya bulu panjang cuma tak putih seluruh badan. Do, Re, Mi, banyak putih tapi ada sikit-sikit hitam dan perang. Tam Tam memang hitam seluruh badan kecuali sikit bahagian bawah tu putih. Tu nampak macam pakai Tuksedo.

Aneka, umur sebaya Si Do. Kucing liar adik bawa balik dari Pulau Pinang. Manja gila, jenis tiba-tiba datang, topang dagu atas peha kita. Innalillah. Dah mati pada 16 Disember 2018 sebab jangkitan paru-paru selepas sembelit lambat dirawat ;_;

Do, Re, Mi, dimandulkan masa umur lebih kurang 5-6 bulan sebab masa tu bila tanya pejabat veterinar bila paling awal boleh mandulkan kucing, itulah jawapannya. Aneka tak sempat mandulkan dah bunting, maka kena la tunggu dia beranak. Dia dimandulkan sekali dengan anak-anaknya... tak ingat masa tu umur mereka berapa. Kalau tak silap masa tu, jawapan diterima, ibu kucing sebulan lepas beranak dah boleh dimandulkan. Anak kucing... sebulan ke 3 bulan dah boleh dimandulkan? Tak ingat la. Tapi apa pun mereka semua selamat dimandulkan bersama.

Anak-anak Aneka, Krim, Acak, HiP. Oh, ye, lupa. Aneka nama dia Aneka sebab warna dia beraneka. Jenis Calico, kucing 3 warna. Dia seluruh badan berwarna-warna cuba bawah je la yang putih. Anak-anak dia semua banyak putih je, tak nampak langsung Calico. Ada nampak putih dengan hitam je. Cuma Si Krim la ada sikit nampak perang, tu pun sikit sangat. Tapi warna tu bagi dia nampak lembut sebab tu panggil dia Krim.

Acak sebab dia suka mengacah. Macam main cak cak pula dengan orang. Satu-satunya kucing yang kupernah bela suka main air. Kalau kita siram pokok, dia suka kejar air tu buat main. Dah hilang ;_; kemungkinan besar orang buang. Harap selamat dan gembira la. Mohon dijauhkan daripada diseksa makhluk-makhluk keji yang bertopengkan manusia.

Krim mati. Tak tahu penyakit apa. Perut kembung, pegang rasa macam penuh air. Dah bawa ke pejabat veterinar, pegawai tu bagi ubat cacing tak silap. Mati di pangkuanku ;_; Tam Tam pun sama ;_;

Kira anak Aneka, seekor je la yang diketahui masih hidup sekarang. Si HiP. Kucing jantan nakal dan aktif gila. Doktor kata kucing dewasa yang perangai yang macam anak kucing. Ye la, dimandulkan awal kan. Tak sempat la nak merasa hormon menggatal. Sebab tu suci gila. Kot. Hehehe. Acak betina. Krim jantan kalau tak silap. Tam Tam betina. Tapi nakal nakal Si HiP ni, dia ada beberapa persamaan dengan mak dia.

Manja, suka topang dagu di bahu atau lengan orang. Suka main. Masa mak dia ada, mereka main sama-sama. Main plastik buat bola la, main kejar-kejar la, main lawan-lawan la. Seronok tengok. Bila Aneka dah tak ada, kesian tengok Si HiP. Tak ada siapa nak main dengan dia. Ye la, kami semua manusia pemalas. Bagi makan, bagi ubat, urut-urut boleh. Nak main... ala... malasnya. Nak main dengan Abang Do, Abang Do pun sama pemalas dengan kami. HiP ajak dia main, lebih lebih, dikatoknya kepala Si HiP ^_^;;

Bila dah macam tu, lama-lama dia jadi macam tak tentu arah. Kesian tengok. Maka kami carikanlah kawan untuk dia.

Masa mencari tu, memang dah tetapkan dah. Nak anak kucing yang tak muda sangat, tak tua sangat, yang ada mak. Yang anak untuk main dengan Si HiP. Yang mak untuk ganti Aneka sebab yang menulis ni memang rindu sangat dengan Aneka. Mata bergenang je setiap kali teringat.

Cari cari, kebetulan kucing jiran baru beranak. Comel-comel bulu panjang pelbagai warna anak-anak dia. Jiran tu pula nak pindah rumah. Tapi mak kata, bila minta, dia bagi alasan apa entah, pengakhirnya dia minta jiran sebelah tolong jaga. Jadi kami teruskanlah pencarian kami.

Cari cari lagi, terjumpa la Anje dan anaknya, Oyen, di gerai tepi jalan. Anje, anaknya asal 4 ekor, 3 mati kena langgar lori. Tinggal la Oyen seekor. Oyen ni memang nampak suka main. Anje pula nampak manja dan mudah mesra dengan orang. Tanya tuan gerai, dia siap bagi pinjam sangkar dia untuk kami bawa pulang Anje dan Oyen.

Nak dijadikan cerita, 1-2 hari sebelum Anje dan Oyen masuk rumah, Yen Yen datang rumah kami buat macam rumah sendiri minta makan. Kecil je kucing ni, tapi perut besar macam belon nak pecah. Memang tengah sarat bunting. Garang gila. Lepas bagi makan sekali, lepas tu hilang. Ingat dah tak ada dah, sekali hari Anje dan Oyen datang tu, dia pun ada sekali. Memang sah dia dah jadikan rumah kami sebagai rumah dia. Maka bertambah la kucing di rumah ni tanpa diminta.

Tapi itulah... manusia hanya merancang, Allah yang menentukan.

Si HiP tak puas hati ^_^;;

Sejak ada Anje, Oyen, Yen Yen, Si HiP dan Si Do macam tak selesa berada di rumah sendiri. Tambah tambah Si HiP. Ingatkan Oyen ada, ada la kawan bermain. Cemburu pulak dah... Si Yen Yen pula garang gila dan gila kuasa. Asyik gaduh je dengan yang lain, terutamanya Si HiP. Padahal kawan tu ajak main je pun. Bising macam Si HiP ajak gaduh. Tapi nak salahkan Si Yen Yen pun susah juga. Sebab memang Si HiP dan Aneka jenis suka main kasar. Orang tak tau memang kata mereka bergaduh kalau nampak HiP dan Aneka main.

Tak faham betul. Oyen memang bersedia nak main dengan dia, dia tak nak main. Si Yen Yen yang tak nak main dengan dia, nak ajak paksa main. Adoi... ni pun sama kes rindu Aneka la sebenarnya ni. Sebab Aneka tu betina. Yen Yen pun betina. Nampak pun sebaya. Oyen tu muda sangat agaknya. Tak layak nak main dengan dia.

Haih.

Penat betul layan karenah mereka ni. Bukan mengurangkan rindu kepada Aneka, menambah masalah lagi ada la.

Sampai satu tahap, Si Do makin risau nak balik rumah. Kalau balik rumah pun sekejap sangat. Makan, cabut lari. Tak ada dah nak golek golek dulu minta urut atau berehat rehat kejap dalam rumah. Si HiP pun sama. Malah lebih teruk. Memang nampak dia merajuk. Kami memang dah risau takut dia lari dari rumah.

Nasib baik, ada satu minggu tu, adik Hikari nak balik Pulau Pinang seminggu dua, ada hal. Lepas 1-2 hari adik pergi nanti, Hikari pula kena bertugas di luar pejabat 3-4 hari. Nasib baik bukan sebab apa. Sebab dari situlah kami jumpa jalan penyelesaiannya.

Kalau tiada kami, mak tinggal seorang diri. Kami tak suka sebab risau macam-macam. Ye la.. Mak jenis berahsia. Nanti sakit ke, cedera ke, tak nak beritahu. Dah la tu, kalau betul sakit nanti, mak nak pergi hospital macam mana? Nak pergi dengan apa? Dengan kucing-kucing pula tengah tunjuk perasaan, silap-silap naik darah tinggi mak. Lain jadinya nanti. Jadi kami nak mak ikut adik ke Pulau Pinang.

Yang mak pula, risau pasal kucing. Kalau mak ikut adik, siapa nak jaga kucing? Yen Yen kebetulan masa tu baru beranak 4 ekor. Kalau HiP dan Do sahaja, tak apa. Mereka memang dah biasa kena tinggal 2-3 hari. Kami tinggal makanan dan minuman, kemudian buka tingkap untuk mereka keluar masuk ikut suka hati. Tak ada masalah. Yen Yen lah masalahnya. Pertama kali bunting kot, tak pandai jaga anak. Kami asyik kena paksa dia bagi anak menyusu. Putih dulu pun macam tu juga.

Maka dapatlah kami cadangan bernas supaya kucing-kucing selain HiP dan Do dihantar ke rumah tumpangan dari tarikh adik pergi sehingga 2-3 hari selepas Hikari balik nanti.

Hehehe... tempoh tambahan tu bukan sebab apa.. sebab Hikari nak siapkan sangkar untuk keluarga Anje dan Yen Yen. Jadi tak ada la lepas tu asyik dalam rumah je sampai mengganggu kehidupan seharian mak, HiP, dan Do.

Sehari dua sebelum Hikari keluar bertugas, memang nampaklah HiP dan Do kembali tenang dan selesa macam duduk di rumah sendiri. Kalau ikut rancangan asal, mak akan balik minggu seterusnya. Hikari yang akan balik rumah dulu. Tapi apa yang jadi, adik dan mak pulang lebih awal dari rancangan. Sebab dah bayar, sangkar pun tak siap lagi, Hikari tak bagi ambil kucing balik awal.

1-2 hari lepas Hikari balik, kami dapat berita Anje dah beranak. Maka kami terpaksa sambung tempoh penginapan lagi beberapa hari. Ye la, kami langsung tak sangka Anje dah nak beranak. Kami ingat dia baru je bunting. Ingat ada la masa nak siapkan sangkar lagi besar untuk dia anak-beranak. Dah macam ni, kelam-kabut la sangkar tak siap lagi.

2-3 hari sebelum kami dapat bawa mereka balik, pemilik rumah tumpangan beritahu... seekor anak Yen Yen, anak yang paling sihat mati. Yen Yen bunuh (○□○)Innalillah.

Masa kami akhirnya bawa mereka balik, Ya Rabbi... kurusnya Yen Yen dan anak-anak dia. Rupanya dia tak nak makan. Ya Rabbi... Tuan kedai kata mungkin sebab dia ingat tuan dia buang dia, sebab tu dia jadi sedih, murung tak nak makan. Ya Rabbi...

Ni terjadi minggu ni. Dah bawa balik. Setiap keluarga ada sangkar masing-masing. Alhamdulillah. Dah kurang gaduh dah. HiP dan Do pun boleh balik rumah. Anje dan anak-anak dia pun sihat walafiat. Oyen/Awang terlebih lincah. Ye la, dah banyak hari duduk dalam sangkar tak boleh panjat lari puas-puas. Cuma Yen Yen masih tak berapa nak makan. Anak Yen Yen pun pelik. Nampak sebaya atau lebih muda berbanding anak Anje padahal lahir 1-2 minggu lebih awal.

2 hari lepas, 2 ekor lagi anak Yen Yen mati. Cedera di leher. Rupanya Yen Yen asyik cuba nak bawak lari anak dia tapi cara tak betul kot, anak dia luka di leher. Anak yang terakhir mak dan adik kata nampak macam sihat tapi semalam, bila Hikari pergi tengok, rasa macam ada yang tak kena. Budak tu macam nak merangkak tak larat. Bila pegang ringannya. Boleh rasa tulang. Muka macam terpinga-pinga, lembam. Bila letak muka untuk menyusu pada mak dia, dia tak menyusu. Asyik nak tidur je. Hikari mula syak takut mereka sebenarnya dah lama tak makan sebab Yen Yen tak ada susu.

Bila tengok macam tu, Hikari terus beli susu kucing, bancuh, dan bagi pada budak tu untuk minum. Dia minum tapi sikit je. Lepas tu dia tidur balik. Hari ni, Innalillah, mati dah. Yen Yen bunuh anak dia lagi. Astaghfirullahalazim. Ini pertama kali Hikari alami masalah macam ni. Hikari pun tak tahu apa masalah Yen Yen ni. Adakah sebab dia tak ada pengalaman? Tempat disediakan tak sesuai ke? Tapi Anje tak ada masalah pun?

Apa pun, tinggallah 5 ekor anak kucing sekarang ni. Harap-harap lepas ni tak ada dah la yang mati awal :(

No comments:

Post a Comment

Semua komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Apa pun, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi komen :)

Thank you for leaving your comments :) but please be informed that all comments will be screened before they are posted on this site.