Tuesday, April 14, 2015

Kini dah senang nak tanya soalan berkenaan agama kepada JAKIM

Makluman 20160622:
Alamat laman Kemusykilan Agama telah berubah.

Alamat asal (semasa cerita ini dikarang):
http://kemusykilan.islamgrid.gov.my

Alamat baru:
http://kemusykilan.islam.gov.my/



Baru-baru ni, Hikari pergi melawat laman Kemusykilan Agama yang dikelolakan oleh JAKIM. Hikari pun baru tahu je laman ni wujud. Macam-macam soalan dah orang tanya di sini. Yang lawaknya, ramai juga yang tanya maksud nama mereka dalam Bahasa Arab :D

Jadi sesiapa yang tertanya-tanya maksud nama masing-masing, boleh la mulakan bertanya. Ya, memang JAKIM akan jawab. Boleh cari sendiri di laman ni kalau tak percaya :P

Oh ya, kalau nak tanya soalan yang bersifat peribadi pun boleh. Soalan yang ditanya tidak akan dipaparkan dalam laman tersebut. Jawapan pula akan dihantar melalui emel. Jadi tak payahlah risau masalah peribadi terbongkar di situ :)

Antara soalan yang Hikari rasa menarik....



No. Soalan
100452 (http://kemusykilan.islamgrid.gov.my/tag?q_detail_id=100452)

Soalan
Saya terima Whatsapp daripada kawan mengatakan jangan tulis...

Penerangan Soalan
Tidak dipaparkan...

Jawapan
Assalamualaikum w.b.t,

Saudara / Saudari yang dirahmati Allah,

Tulisan "In Shaa Allah" adalah lebih baik daripada "InshaAllah" atau "Inshallah" bagi sesiapa yang tidak mengetahui bacaan jawinya supaya tidak tersalah sebut sahaja. Bagi sesiapa yang telah mengetahui sebutannya tidak menjadi masaalah selagi makna tidak bertukar kepada yang tidak layak.



No. Soalan
100519 (http://kemusykilan.islamgrid.gov.my/tag?q_detail_id=100519)

Soalan
Untung Halal Dalam Urusan Jual Barang.

Penerangan Soalan
Tidak dipaparkan...

Jawapan
Assalamualaikum w.b.t,

Saudara / Saudari yang dirahmati Allah,

Tiada ditentukan dalam Islam berapa jumlah keuntungan yang layak diperoleh org seseorang penjual. Ianya ditentukan oleh pasaran (market).

Contoh.. Durian dijual di Malaysia dengan harga contoh RM 10 untuk 3 biji. tetapi di Jepun, ia dijual RM 100 untuk 3 biji.

Halal hukumnya. Dalil, hadith nabi yang sohih menerangkan terdapat sahabat yang minta nabi buat harga maksimum atau siling (ceiling) bagi menghadkan harga jualan para peniaga, tapi nabi menolak dan menyifatkan tindakan itu sebagai zalim kerana menghadkan keuntungan halal bagi peniaga.
( Riwayat Abu Daud, Albani : Sohih )

Para ulama menghuraikan, pihak pemerintah hanya boleh masuk campur dengan meletakkan harga siling apabila berlaku kes monopoli barangan sahaja. Ulama besar tabien yang berpandangan begini adalah Said Musayyab, Yahya bin Said
( Manahij al-Ijtihad, Dr. Fathi Durayni,  159 )

Walaupun peratusan keuntungan bebas mengikut pasaran, peratusan keuntungan boleh jadi haram jika ia bersifat tipu pelanggan. Contoh..pelancong yang datang ke Malaysia tidak berapa faham statistik harga barang di sini, justeru, si penjual mengambil peluang menipu dengan menaikkan harga 3 kali ganda dan mendakwa ia adalah harga biasa, sedangkan ia tipu. Ini dinamakan "Ghabnun Fahisyh" yang terkeji.

Wallahu a'lam



No. Soalan
100733 (http://kemusykilan.islamgrid.gov.my/tag?q_detail_id=100733)

Soalan
Adakah Benar Pendapat Yeng Mengatakan Perokok Adalah Golongan Fasik Yang Tidak Boleh Menjadi Wali Dan Saksi Untuk Pernikahan?

Penerangan Soalan
Tidak dipaparkan...

Jawapan (yang telah diringkaskan oleh Hikari)
Ya, benar. Berdasarkan fatwa-fatwa yang diberikan (sila rujuk jawapan penuh di laman tersebut), maka golongan perokok adalah fasiq maka tidak sah menjadi wali dan saksi. Golongan ini boleh menjadi wali dan saksi seetelah mengucap dua kalimah syahadah dan bertaubat sebelum aqad berlangsung. Wallahu a'lam



No. Soalan
100923 (http://kemusykilan.islamgrid.gov.my/tag?q_detail_id=100923)

Soalan
Bolehkah kita menyimpan loceng kecil di rumah?
Bolehkah memakai baju ada gambar kartun taiwan?
Bolehkah menjadi kartunis?

Penerangan Soalan
Tidak dipaparkan...

Jawapan
Assalamualaikum w.b.t,

Saudara / Saudari yang dirahmati Allah,
Boleh berbuat demikian asalkan ia tidak mengandungi unsur-unsur syirik.

Wallau'lam



Bagi sesetengah soalan di atas, Hikari pun tak  tahu macam mana nak ambil dan letak pautan terus ke soalan tu di sini. Jadi kalau nak tahu lebih lanjut, nak baca jawapan penuh, terpaksa la merajinkan diri cari satu-satu di mana soalan tu berada. Maaf la, Hikari tak dapat nak bantu. U_U

(Maklumat baru: Ok, akhirnya Hikari dah tahu cara untuk pergi terus ke soalan tu. Hikari dah letak pautan ke setiap soalan. ^_^)

Oh, ya! Dah alang-alang Hikari ada di situ, takkan sekadar nak melawat je, betul tak? Hikari pun tanya la beberapa soalan....



No. Soalan
104237

Soalan
Antara isu popular sekarang ni ialah berkenaan memberi kucing jalanan makan. Apa pendapat Islam tentang hal ni?

Penerangan Soalan
Ada yang sokong sebab yelah, kucing tu lapar kot. Takkan nak biarkan kelaparan? Tapi ada pula yang marah sebab katanya tindakan tersebut menyebabkan kucing di kawasan tu bertambah dan berak merata-rata. Malah ada yang kata, "kalau kau bagi makan lepas tu kau cuci berak dia, tak apalah juga, ini tahu nak bagi makan je" atau "kalau sayang sangat, bawa balik la jaga di rumah". Pada saya orang-orang yang macam ni ada masalah jiwa. Bukannya nak menolong malah memaksa orang lain yang nak menolong tu buat lebih daripada yang termampu. Apa pandangan Islam dalam hal ni.

Jawapan
Assalamualaikum w.b.t,

Saudara / Saudari yang dirahmati Allah,
Harus berbuat baik sesama manusia dan haiwan yang dalam kelaparan.Bantulah sekadar yang mampu.Jika ada najis haiwan buangkalah dengan ikhlas dan jika tidak mampu,hantarlah kucing tersebut di pasar agar ia dapat hidup dengan baik dan selesa.

Wallahua'lam

Komen Hikari:
Pendapat peribadi Hikari ialah, Hikari bersetuju dengan pendapat penulis KECUALI bahagian 'hantarlah kucing tersebut di pasar agar ia dapat hidup dengan baik dan selesa'. 

Bukan sebab apa, bagi Hikari, ini adalah jawapan 'standard' bagi orang yang pentingkan diri sendiri atau orang yang tak fikir panjang. Tak boleh jaga, buang je di pasar. Maksudnya apa? Asalkan rumah kita dan rumah jiran sekeliling bersih, bau wangi, itu dah cukup, lantak pi la orang lain yang kerja di pasar tu dan orang yang pergi pasar tu rasa macam mana.

Di tempat Hikari, Hikari pergi pasar, letak la kereta di mana-mana pun, kena hati-hati supaya tak terpijak tahi kucing. Ye la, tandas untuk kucing masih tak ada, tak disediakan, makanya mereka masih berak merata-rata. Ikut suka hati je nak berak atas jalan ke, tepi jalan ke, tengah jalan ke... mana-mana la. Akibatnya di pasar tu, bau busuk, keadaan yang semak dan kotor, hui, tak payah cakap la. 

Kalau larat, peniaga berdekatan tolong basuhkan la kot. Mereka pun tak suka bau busuk dan tak suka keadaan yang kotor. Tapi kalau tak larat? Terbiar macam tu je. Terima je la bau busuk dan keadaan yang kotor tu seadanya. 

Maksudnya apa? 

Betul ke kita nak tolong kucing tu sebab tu kita buang kucing tu di pasar ATAU adakah kita sebenarnya manusia yang pentingkan diri sendiri dan tidak bertanggungjawab sebab itulah kita senang-senang je alihkan masalah kita kepada orang lain? Fikir-fikirkan.

Itu Hikari belum masuk lagi masalah-masalah lain yang timbul atau mungkin akan timbul. Ada kedai makan dah kena saman sebab biarkan kucing merayau makan dan melepak dalam kedai. Di pasar pun ada kedai makan. Dengan perangai orang sekarang ni yang kononnya 'pembersih' sangat, Hikari tak rasa hairan kalau suatu hari nanti kes saman-menyaman kedai makan pasal kucing ni jadi satu kebiasaan.

Lepas tu, pernah dengar penguatkuasa tangkap atau bunuh binatang liar sebab dapat aduan kononnya banyak sangat dan mengganggu ketenteraman awam? Ha, ye. Burung kena. Kucing kena. Anjing kena. Sekarang ni belum jadi kebiasaan di Malaysia tapi macam Hikari cakap tadi, orang lain pun tak suka bau busuk juga dan sukakan persekitaran yang bersih. Kalau suatu hari nanti, bila dah tak tahan sangat, ada orang buat aduan kepada penguatkuasa, lepas tu untuk selesaikan masalah, ada kucing di pasar tu yang ditangkap dan dibunuh demi menjaga 'ketenteraman awam', ingat-ingatlah sama, salah dan dosa siapa sebenarnya yang suka-suki buang kucing di situ.

Kes kucing-kucing mati kena lenggek sebab pemandu tak perasan ada kucing (terutamanya anak kucing) bawah kereta yang diletakkan di kawasan sekitar pasar tu tak payah cerita la... memang dah selalu sangat dengar.

Kesimpulannya, masalah ni sebenarnya masalah bersama. Oleh itu kita kena la bekerjasama saling tolong-menolong antara satu sama lain untuk cari jalan penyelesaiannya. Kalau kerjanya asyik baling-baling tanggungjawab macam ni, asyik nak suruh orang lain buat semua, sendiri cuci tangan je, sampai bila-bila pun masalah ni tak selesai :(



No. Soalan
104239 (http://kemusykilan.islamgrid.gov.my/tag?q_detail_id=104239)

Soalan
Saya nak tanya berkenaan pembahagian harta. Betul ke agihan secara faraid tu adalah mengikut turutan yang terakhir sekali?

Penerangan Soalan
Kalau ya, bagaimanakah pembahagian harga dilakukan mengikut turutan yang sepatutnya?

Jawapan
Assalamualaikum Saudara / Saudari,

Pembahagian harta pesaka yang dilaksanakan sekarang telahpun wujud di dalam alQuran sejak 1436 tahun lalu.Itu merupakan ketetapan Allah kepada umat islam,malah pembahagian mengikut hukum farid merupakan yang seadil-adilnya serta saksama.Justeru ikut hukum ia berada pada nombor pertama dan bukannya nombor terakhir.

Manakala uruf/adat datang terkemudian dan dibincang secara panjang lebar oleh ulamak dalam ilmu feqah berhubung dengan pembahagian sama rata, demi untuk menjaga silaturrahim sesama adik beradik ,maka feqah telah meraikan perkara tersebut.

Justeru tidak timbul pembahagian harta ikut faraid merupakan yang terakhir sebaliknya  ia merupakan yang paling utama dilaksanakan berdasarkan firman Allah yang terdapat dalam alQuran,jika umat Islam engkar dengan kandungan alQuran maka tergelincirlah  akidahnya/pegangan keugamaan.

Sekian, Wallahua'lam

Komen Hikari:
Er, tak menjawab soalan sebenarnya. Mungkin sebab Hikari salah tanya soalan? Hikari maksudkan sebelum agih harta mengikut faraid, bukan ke kita kena bayar dulu hutang si mati dan sebagainya? Kalau ya, apa turutan sepatutnya sebelum agih harta mengikut faraid tu?

No. Soalan
104340

Soalan
Merujuk kepada soalan no. 104239, saya rasa penulis salah faham akan soalan saya.

Penerangan Soalan
Terima kasih kerana menjawab soalan saya (soalan no. 104239) tapi saya rasa penulis salah faham tentang soalan saya. Maksud saya berkenaan agihan secara faraid itu adalah yang paling akhir, sebab sebelum buat agihan secara faraid, bukan ke kena bayar hutang si mati dulu dan sebagainya? Jika benar, apakah turutan yang sepatutnya?

Jawapan
Assalamualaikum w.b.t,

Saudara / Saudari yang dirahmati Allah,
Sebelum agihan faraid,perlu dibayar segala hutang-piutang si mati,zakat, upah haji/umrah jika ia belum lagi menunaikan haji/umrah. Berbaktilah kepada si mati dengan mewakafkan sedikit duit atau hartanya untuk manfaat orang ramai dengan mendapatkan persetujuan semua ahli waris.

Wallahua'lam

Komen Hikari:
Aik, ringkasnya? Ok la, sekurang-kurangnya menjawab soalan. Terima kasih.



No. Soalan
104240

Soalan
Saya ingin bertanya tentang kursus pra perkahwinan. Macam biasa, ada yang setuju, ada yang bantah. Apa pandangan JAKIM sendiri?

Penerangan Soalan
Bukan apa. Alasan yang saya tahu bagi yang setuju tu, katanya supaya pasangan yang nak berkahwin tu sedar tentang tanggungjawab masing2 dan untuk mengurangkan kadar perceraian. Bagi yang tak setuju tu pula, katanya sebab kursus ni menggalakkan orang berzina sebab orang yang lulus je boleh kahwin.

Saya rasa betul juga sebab saya masih ingat lagi yang saya belajar bab-bab kahwin ni masa sekolah menengah. Kursus ni cuma ulang je. Kalau orang tu minat agama, tak payah ambil kursus tu pun tak apa. Tapi orang yang tak minat agama, pergi kursus pun sia-sia je. Susah sangat nanti dia berzina je atau pergi kahwin di Thailand.

Mak saya pun dah lama cerita, sekarang ni ramai yang kahwin di Thailand tu sebenarnya baru pertama kali nak kahwin, bukan setakat yang nak kahwin isteri kedua sorok2 je. Mak ayah pun dah tahu. Itu belum masuk lagi bab kursus ni melambatkan perkahwinan dan menaikkan kos nak berkahwin.

Jadi apa pandangan JAKIM tentang hal ini. Adakah kursus ini benar-benar diperlukan oleh orang Islam di Malaysia? Jika ya, adakah wajar sekiranya kursus pra perkahwinan ini diwajibkan (Kenapa tidak dijadikan sebagai pilihan sahaja; Siapa nak, ambil. Siapa tak nak, tak perlu ambil.)?

Jawapan
Assalamualaikum w.b.t,

Saudara / Saudari yang dirahmati Allah,
Kerajaan melalui Jakim dan pihak berkuasa Agama Negeri melaksanakan sesuatu perkara untuk maslahah umat Islam masa kini yang terlalu longgar kefahaman mengenai ajaran Islam.Kita perlu berfikiran positif untuk kebaikan bersama.Kita perlu mengetahui selok belok rumah tangga yang akan dibina nanti.Pendedahan awal perlu diberikan agar pasangan tersebut berhati-hati dan tidak terjerumus ke lembah maksiat.Dibimbangi juga ramai remaja yang terlibat dengan dadah dan ia akan memberikan kesan kepada pasangannya bila ia telah berkahwin dengan mengidap HIV Aids.Perkara ini akan memberikan kesan buruk kepada keharmonian rumah tangga yang dibina.

Wallahua'lam

Komen Hikari:
Berapa banyak pendedahan awal da?? Daripada tadika sampai dah tua bangka belajar agama Islam, sekarang masih boleh nak kata kursus kahwin ni sebagai pendedahan awal lagi ka?



Lalala~ sekian sahaja tulisan kali ini ^___^

7 comments:

  1. assalamualaikum....
    saya ingin bertanya sesuatu
    apakah pandangan islam pada "telekinesis" dan adakah "telekinesis" haram jika diamalkan ??

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Lee Back :)

      Maaf, Hikari tidak arif berkenaan hal tersebut. Sila dapatkan penjelasan di Laman Kemusykilan Agama (Alamat baru: http://kemusykilan.islam.gov.my/).

      Delete
  2. assalamualaikum,
    saya ingin bertanya. adakah sah puasa saya , jika saya cuma mandi wajib dengan niat " sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah taala" tapi tidak menyebut niat mandi suci dari haid ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam :)

      Maaf, Hikari bukan pakar agama. Sila bertanya di laman http://kemusykilan.islam.gov.my/ terus untuk mendapatkan jawapan.

      Delete
  3. Kalau tanya kat laman kemusykilan agama ni kan, kita boleh check reply dia kat laman dia ke, email kita ya?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau dulu, Hikari pun dah tak ingat macam mana dah. Tapi kalau yang sekarang... tak pasti.

      "*Soalan-soalan yang peribadi tidak akan dipaparkan di laman utama.
      Jawapan akan dihantar melalui email."

      Soalan peribadi nampaknya akan dihantar melalui emel. Soalan yang bukan bersifat peribadi, tak pasti.

      Delete

Semua komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Apa pun, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi komen :)

Thank you for leaving your comments :) but please be informed that all comments will be screened before they are posted on this site.