Thursday, September 4, 2014

Akaun Streamyx Digodam

Tengahari Selasa lepas, tengah layari Internet, tiba-tiba akses ke Internet terputus. Semak pada maklumat sambungan Internet pada ikon WIFI, aik, sambungan ke 'router' tak ada masalah.

Sebab masalah ni selalu terjadi sejak 2-3 bulan ni, saya tenang je la. Pergi ke laman sesawang sistem 'router' tu (macam biasa la 192.XXX.X.X tu), kemudian guna fungsi Quick Setup untuk buat penetapan semula maklumat Streamyx dan WIFI pada sistem 'router' tu. Selalunya buat macam ni je, dah selesai masalah. Kalau masih tak boleh, cuma matikan dan hidupkan semula 'router' tu, Insya Allah lepas tu ok.

Kali ni dah buat semua tu pun masih tak boleh juga. Mula-mula syak sebab kata laluan Streamyx tu salah. Yelah, maklumat tepat ada dalam cakera keras mudah alih tapi masa tu tertinggal di pejabat. Jadi maklumat yang diminta tu semuanya dimasukkan mengikut ingatan semata-mata. Saya ni pula jenis ingat-ingat lupa jadi memang ada kemungkinan kata laluan tu je yang salah. Tapi itulah, nak semak, kena tunggu lepas kerja.

Lagi satu kemungkinan, saya terlupa bayar bil. Hehehe, yang ni pun selalu juga terlambat bayar atau kadang-kadang terlupa terus. Jadi untuk kepastian, saya telefon TM terus supaya tak ada la malam nanti dah buat macam-macam rupanya masalah bil je. Apabila telefon, katanya bil tak ada masalah. Lepas tu macam biasa la, dia akan suruh matikan dan hidupkan semula 'router', tengok lampu apa yang menyala (data je warna merah, lain hijau), bla bla. Pun tak boleh juga. Dia set semula sambungan di pihak TM, pun tak boleh juga.

Mula-mula buat tak kisah je. Yelah, sebab dalam hati dah syak, mesti kes silap kata laluan ni cuma tak cakap je dekat pegawai tu. Tapi tiba-tiba pegawai tu cakap, sepatutnya semua dah tak ada masalah sebab melalui semakan pada sistem, sambungan tak ada masalah langsung (dari 'port' ke sistem). Aik? Maksudnya ini bukan masalah kata laluan la. Ok, tak apa, dia daftarkan aduan dan suruh saya simpan nombor aduan tu. Wakil TM akan datang dalam tempoh 24 jam.

Tengahari esoknya, wakil TM tu pun datang. Dia buat macam biasa la, matikan dan hidupkan 'router', set semula guna fungsi Quick Setup, hubungi pejabat untuk set semula kata laluan, set semula lagi sekali guna fungsi Quick Setup, pun tak boleh juga. Akhir sekali dia telefon ibu pejabat di KL (mak oi, jauhnya, isu di Perak je kot). Entah apa dibualkan tapi ibu pejabat semak punya semak, tiba-tiba tanya, "Akaun ni di Teluk Intan, kan?". Wakil TM tu cakap, bukan di Teluk Intan tapi di Ooops rahsia hehehe.

Waktu tu baru la terbongkar rupanya dah ada orang godam akaun tu pindahkan ke Teluk Intan. Ibu pejabat tukar balik ke lokasi asal, yeah, terus selesai masalah! :)

Lepas tu Wakil TM beritahu, sekarang ni banyak akaun kena godam macam ni tapi secara rawak je, bukan semua kena. Dia pun tak tahu macam mana mereka buat. Tapi saya syak orang yang godam ni dia tahu kata laluan 'default' akaun pengguna TM dan akaun yang berjaya digodam tu pakai kata laluan tersebut.

Selalunya kata laluan 'default' ni diberi apabila pengguna lupa kata laluan dan minta TM set semula kata laluan mereka (saya la salah seorang daripadanya tu). Sepatutnya pengguna kena tukar kata laluan lepas tu tapi saya tak tukar sebab setiap kali saya cuba tukar di sistem TM, mesti je gagal, gagal, salah kata laluan, entah apa lagi ralat yang keluar. Akhir sekali, dah malas, lantak la pakai kata laluan tu, tak tukar-tukar. Mungkin ramai pengguna turut mengalami situasi yang sama kot.

Apa pun, mungkin melalui pengetahuan inilah dia berjaya log masuk ke mana-mana akaun yang masih menggunakan kata laluan tersebut. Saya bukan pakar godam tapi saya selalu tengok laman sesawang Joomla yang diuruskan oleh kawan-kawan saya berjaya digodam hanya disebabkan menggunakan kata laluan 'default' atau kata laluan yang lemah. Jadi perkara ni memang tak mustahil (pada pandangan saya la).

Haha tak tau la betul ke tidak tapi kalau nak lebih selamat,  sesiapa yang masih guna kata laluan 'default' tu, jom la cuba lagi untuk tukar ke kata laluan baru.

Panduan di sini:
http://www.pahangstreamyx.com/menukar-password-akaun-streamyx-dengan-mudah-mytm/

Ada hikmah juga la rupanya peristiwa kali ni. Panduan di atas tahun 2013 punya tapi hari ni baru saya tahu yang TM dah baiki laman untuk tukar kata laluan tu. Dah bertahun-tahun, kali ni baru berjaya tukar kata laluan Streamyx. Alhamdulillah :)

No comments:

Post a Comment

Semua komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Apa pun, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi komen :)

Thank you for leaving your comments :) but please be informed that all comments will be screened before they are posted on this site.