Hari ni betul-betul mencemaskan. Adikku sampai menangis-nangis beberapa kali.
Mula balik dari awal la senang sikit cerita.
Semalam kami balik dari kampung pergi ke rumah mak cik di Perak pula. Mula-mula sama macam hari tu la. Adikku yang jaga kucing-kucing tu, aku pula memandu. Walaupun tak bising macam hari tu, masih bising juga Si Putih tu. Jadi aku pun tawarkan diri untuk tukar tempat.
Apabila dia cuba nak panjat tengok tingkap, tengok luar, aku halang dia, ambil dan peluk macam bayi. Sambil tu aku urut-urut bawah dagu dia, belakang leher dia, dada dia, Alhamdulillah, terleka la dia buat seketika sementara nak cemas balik.
Apabila dia dah tak larat kena peluk dan urut, dia pergi balik ke sangkar yang kami sediakan, periksa keadaan anak-anak dia. Macam biasa la, mula-mula dia akan jilat-jilat bersihkan badan anak dia, kemudian bagi anak dia hisap susu badan. Anak-anak dah kenyang, dia pun keluar balik sangkar dan aku ulang la langkah-langkah di atas.
Tapi kadang-kadang aku perasan dia akan gigit dan cuba larikan anak dia. Apalagi, aku halang la dengan cara menghadang pandangan depan dia dengan tangan. Apabila dah cuba beberapa kali tak berjaya, baru dia akan lepaskan anak dia.
Aku risau, kalau dia buat macam tu selalu, nanti leher anak dia luka, cedera. Jadi aku perhatikan betul-betul tindak-tanduk dia apabila berada di dalam sangkar. Dia dekat je dengan leher anak dia, aku cepat-cepat letak jari di tengah-tengah. Nasib baik cara ni cukup berkesan untuk halang dia gigit leher anak dia. Selalunya lepas sekali tak berjaya, dia terus patah semangat untuk larikan anak dia dan teruskan membersihkan badan anak dia. Alhamdulillah.
Dan begitulah keadaannya sepanjang 2-3 jam perjalanan sehingga kami tiba di rumah mak cik. Aku jarang membalas percakapannya sebab 1) aku memang jenis malas bercakap 2) aku tak faham pun dia cakap apa 3) er, macam tak de fungsi je? Lagi aku miau balik, lagi banyak dia miau, lagi kelam-kabut gerak-gerinya. Lebih baik aku diam.
Dah sampai di rumah mak cik, memang meriah. Rupanya kebetulan ramai saudara-mara dan kawan-kawan datang melawat sekali waktu tu. Apa-apa pun, selepas beri salam, pertama sekali yang kami kena buat ialah keluarkan Si Putih yang dah penat memberontak di dalam kereta tu dulu sebelum nak buat apa-apa benda lain.
Kak saudara bagi sangkar kucing khas beli di kedai (yang kami pakai sebelum tu buatan sendiri pakai kotak yang diubahsuai je). Nampak macam bagus juga. Keluasan boleh tahan, sesuai untuk mereka anak-beranak. Si Putih nampak lebih tenang dan selesa berada di dalam sangkar tu tambah-tambah apabila perasan yang pintu sangkar tu berkunci dan tak boleh dibuka sendiri dari dalam. Dia dah hilang semangat untuk larikan anak-anaknya ke mana-mana maka dia pun dengan pasrahnya menikmati apa sahaja yang disediakan :D
Sebab itu tengahari tadi aku belikan terus sangkar baru yang lebih kurang sama macam tu untuk kegunaan mereka. Kata penjual tu, ada tiga saiz je, kecil, sederhana, besar. Aku beli sangkar yang saiz sederhana. Harganya RM40. Harap-harap dengan sangkar baru ni, mereka akan lebih selesa menaiki kereta dan kurang cemas berbanding dengan sebelum ni.
Petang tu kami balik ke rumah. Anggaran tempoh perjalanan dalam 2 jam lebih sikit macam tu lah. Dengan itu, secara rasminya bermulalah pengalaman mencemaskan yang berlaku hampir sepanjang tempoh tersebut.
Masalah pertama yang kami perasan ialah sangkar kucing kak saudara jenis tarik ke atas dan ke bawah untuk buka dan tutup pintu, jimat ruang. Sangkar yang kami beli, pintunya jenis macam pintu kereta biasa. Jadi tak macam sebelum ni, kami susah nak keluar dan masukkan Si Putih dari sangkar.
Masalah yang kedua, mak cik ada pesan sebelum kami bertolak untuk halang pemandangan sekeliling daripada pandangan mata si kucing untuk mengurangkan rasa cemas mereka. Aku dengar je la. Macam aku cerita sebelum ni, memang kami dah cuba tapi Si Putih rasa lebih selamat apabila nampak kami berbanding dengan apabila tak nampak kami.
Tapi agaknya adik aku terlupa, dia nak cuba juga petua yang mak cik bagi tu. Aku tak kata apa sebab 1) aku memberi perhatian sepenuhnya untuk memandu kereta ini dengan selamat cewaahh 2) mungkin hari tu cara kami salah jadi kalau caranya betul kali ni mungkin akan ada kesan yang lebih baik. 3) adikku kaki debat suka nak menang je, aku pula jenis pendiam, malas aku nak tegur lebih-lebih.
Namun dalam tak berkata apa tu, hatiku tetap risau sebab macam susah je nak perhatikan keadaan mereka kalau sangkar dah ditutup macam tu. Ye la, memang la berjaya menghalang pemandangan si kucing untuk tengok luar tapi dalam masa yang sama kita pun tak boleh tengok mereka juga.
Maka untuk separuh masa pertama perjalanan, terpaksa la kami dengar Si Putih meraung tanpa henti. Mungkin sebab dia cemas, atau mungkin juga sebab dia tak larat baring lama-lama dalam sangkar. Entah la. Apa pun sebab dia mengiau tak berhenti, aku rasa kasihan sebab terfikir tentang kemungkinan-kemungkinan tersebut.
Nak buat macam sebelum ni keluarkan dia daripada sangkar, tak boleh. Adik aku tak nak buat sebab leceh, pasal pintu tu la. Jadi nak tak nak, ada 1 je la usaha yang senang untuk aku dan dia buat. Urut Si Putih selalu.
Aku pesan perkara ni berkali-kali supaya adikku urut Si Putih, urut Si Putih, urut Si Putih. Setiap kali pun adikku akan kata dia dah urut atau dia tak boleh nak urut sebab apa-apa je, aku pun tak ingat. Aku tak yakin dengan jawapan dia sebab setiap kali aku urut, Si Putih akan diam. Kalau betul adikku urut Si Putih selalu, kenapa Si Putih bising memanjang, kan?
Jadi bila ada kesempatan aku teruskan menghulur sebelah tangan ke belakang, masuk dalam sangkar, untuk terus mengurut Si Putih. Aku ada juga tawarkan diri nak tukar tempat dengan adikku tapi kali ni dia tak mahu.
Aku tak tahu kenapa adikku tiba-tiba selepas separuh masa pertama, buka penutup sangkar tu. Apa yang aku ingat ialah jeritannya yang kuat, ketakutan apabila menengok keadaan si anak-anak kucing. Terus-terang aku tak berapa ingat dengan jelas apa yang berlaku sebab keadaan selepas tu memang kelam-kabut.
Adikku menjerit kata Si Putih gigit leher anaknya. Aku tak faham apa masalahnya tapi sebaik sahaja menemui tempat yang selamat, aku berhentikan kereta dan turun bersama-sama mak untuk tengok keadaan mereka. Ya Allah, memang menakutkan.
Budak-budak tu gebu-gebu belaka. Cuba bayangkan tiba-tiba melihat leher salah seekor daripada mereka (aku tak ingat yang mana) saiznya macam satu pertiga sahaja daripada yang asal, lepas tu badan bergetar-getar macam tak larat, tak ke ngeri?
Siapa pun tengok mesti ingatkan mak mereka dah terlebih gigit, makan mereka. Namun yang peliknya, tak ada darah langsung (Alhamdulillah) jadi cemasnya kurang la sikit tapi masih mengelirukan dan menakutkan. Berdasarkan pemerhatian ini, kami agak positif yang anak-anak kucing tu sebenarnya tak ada apa-apa, cuma bulunya yang tebal dan saiz badan sebenarnya yang jauh beza sahaja yang menimbulkan ilusi yang menggerunkan ini. Walau bagaimanapun, sebagai langkah keselamatan, kami nak juga letak minyak ajaib (oit, orang Melayu mesti tau ubat yang terlajak laris ni. Kalau tak kenal pergi tanya tok) tapi tak bawa la pulak.
Memandangkan tak ada apa-apa lagi yang kami boleh buat kecuali keluarkan Si Putih daripada sangkar, kami pun meneruskan perjalanan dengan muka yang pucat. Adikku yang tertekan, marah-marah Si Putih. Aku tak ingat apa yang dia kata yang menyebabkan aku pulak tak puas hati dan marah dia. Cuma yang aku ingat, aku tegur dia supaya jangan marah kucing tu.
Kucing tu tertekan, sama macam orang sakit, logik ke nak marah orang sakit kerana bertindak di luar batas kewarasan? Dah la kucing tu binatang, bukannya manusia. Binatang ni bukannya dilahirkan kejam atau tak baik cuma mereka dilahirkan supaya bertindak mengikut naluri dan emosi semata-mata. Jadi kalau kau tak jaga mereka betul-betul, biarkan mereka tertekan, kau tak boleh la marah mereka apabila mereka bertindak di luar batasan. Kau pun bersalah juga sebab cuai.
Lepas tu adikku merajuk, menangis dan tak jaga langsung kucing tu, biarkan je merayap dan bising dalam kereta. Jadi nak buat apa lagi? Satu-satunya cara aku yang sedang memandu kereta tu boleh layan Si Putih yang sedang tertekan tu ialah dengan bercakap dengan dia walaupun aku tahu cara tu tak berkesan langsung.
Ye lah, kalau kau tengah tertekan, kawan kau cakap dengan kau, kau masih tertekan, kan? Tak hilang cemas, kan? Tapi kau tetap rasa bersyukur sebab ada orang sanggup berada di samping kau di waktu kau sedang ditenggelami masalah, betul tak? Ok la, mungkin aku je yang fikir macam tu kot. Abaikan kalau tak setuju.
Aku teruskan bercakap sehinggalah tiba-tiba Si Putih memanjat bahu kerusi dan lompat atas riba aku. Bahaya betul. Nasib baik mak ada sebelah dan tolong pegangkan Si Putih. Mak aku ni kurang penyabar sikit dengan kucing. Kalau ikutkan, aku rasa macam tak pernah nampak dia pegang mana-mana kucing langsung selama aku hidup di dunia ni. Rasa macam inilah kali pertama aku nampak mak pegang kucing.
Nasib baik la mak aku ni jenis, tak kisah betapa dia tak suka buat apa sekali pun, dia akan mengutamakan keperluan keadaan semasa. Macam dalam situasi ni, kalau dia tak buat apa yang dia buat, er... kemungkinan besar arwah kami semua nanti. Jadi nak tak nak, dia terpaksa buat. Adik aku buat bodoh je tengok kucing tu panjat. Sabar je la.
Tapi sebab ni (mungkin) kali pertama mak pegang kucing, terjerit-jerit dibuatnya. Tak biasa dengan cakar kucing, tak biasa dengan pergerakannya, tak biasa dengan perbualannya, tak biasa dengan tabiatnya, risau aku yang mendengarnya. Apa pun Si Putih nampak semakin gelisah dan tak terkawal. Dia memang cemas dari awal tapi berdasarkan pengalaman aku sebelum ni dengan dia, aku syak sekarang ni dia makin tak tentu hala sebab sakit perut nak pergi tandas.
Aku tak terfikir nak kata apa waktu tu, mungkin sebab tumpuan aku terbantut kerana kebanyakannya terpaksa digunakan untuk memandu dengan selamat. Akhirnya dia sendiri nak bergerak ke belakang. Adikku, mungkin dah hilang marahnya dengan aku, atau mungkin lembut hati sebab kasihan dengan mak yang tak biasa pegang kucing, ambil dan pegang Si Putih erat-erat kali ni. Alhamdulillah.
Jadi walaupun masih kecoh dengan ngiauan Si Putih, keadaan kembali terkawal sehinggalah tiba-tiba Si Putih terkencing atas baju adikku. Aku tak kisah sebab... ye la, macam bayi. Kalau dia terkencing atau terberak, apa yang kau boleh buat selain bersabar dan cuci je berak kencing dia? Takkan kau nak tengking atau marah pulak kan? Macam tak logik.
Tapi adik aku terjerit-jerit la. Terkejut kot. Aku dan mak tergelak je dengar. Aku nak tolong, aku tengah memandu. Yang semakin lawak, lepas dah kencing, Si Putih terberak pula di situ. Lagi la adikku terkejut dan tertekan sampai menangis-nangis lagi (tadi dah berhenti) dan mak kena pusing belakang tolong adik aku. Kami nak berhenti tak boleh, jadi sabar je la turunkan tingkap sikit, tahan bau yang tak wangi tu. Adikku lagi la kasihan, kena tahan selama lebih kurang 40 minit pakai baju yang bergelumang najis Si Putih tu.
Alhamdulillah apabila dah sampai rumah, hilang terus muka monyok Si Putih tu. Si Do, Re, Mi pun nampak macam tak ada apa-apa masalah. Walaupun jenuh kena cuci kereta lepas tu, aku bersyukur sangat-sangat kami semua selamat. Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment
Semua komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Apa pun, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi komen :)
Thank you for leaving your comments :) but please be informed that all comments will be screened before they are posted on this site.