Monday, November 17, 2014

Anak-anak kucing yang hilang semalam (bahagian 2)

Sambungan kepada Anak-anak kucing yang hilang semalam

Kisah semalam* (Selasa) buat saya tak tentu hala. Petang tu, apabila mak tahu apa yang berlaku, mak terus balik rumah untuk tolong. Alhamdulillah. Tenang sikit hati ni apabila ada teman.

* rujuk tarikh Anak-anak kucing yang hilang semalam diterbitkan

Dengan hati yang masih resah, esoknya (Rabu), saya pergi kerja. Semasa nak pergi kerja tu, saya terlupa nak semak ada kucing ke tidak di bawah kereta. Astagfirullahalazim..... Dah undur kereta, baru nampak rupa-rupanya bawah kereta ada kucing. Kucing yang bunting tu. Tapi dia tak nampak macam mengalami apa-apa kecederaan. Tak ada darah. Cuma agak terkejut kot. Diam je. Saya urut-urut dia sikit sambil semak badan dia kalau-kalau ada luka ke apa ke. Ok je. Cuma itulah, trauma sikit kot. Alhamdulillah. Kalau tak, saya yang trauma.

Dalam tengahari macam tu, mak telefon beritahu pasal anak-anak Si Hitam yang tinggal 3 ekor tu. Kata mak, 2 ekor dah tak nak minum susu. Gayanya macam nak mengikut langkah seekor yang dah meninggal tu. Sedih dengar. Berita baiknya Mi dah balik. Alhamdulillah. Mak kata rupanya macam dah sangat-sangat tak larat. Nak jalan pun macam tak berapa stabil. Tapi mak suap la susu dan glukosa kepada Mi. Semoga dia cepat sembuh. Amin..

Balik rumah petang tu, seekor daripada anak Si Hitam tu dah mati. Yang seekor lagi tengah nazak. Dulu yang meninggal tu warnanya hitam putih. Yang kedua mati ni, warna hitam sepenuhnya kalau tak silap. Yang tengah nazak ni warna hitam putih. Tinggal la seekor lagi yang warna hitam legam dan nampaknya masih sangat-sangat sihat dan aktif.

Yang kucing bunting hampir kena langgar pagi tadi tu pula melangut di pintu belakang. Berehat di situ. Tak cedera tapi macam ada yang tak kena. Tak nak bergerak ke mana-mana. Tak nak bangun langsung. Makan pun tak nak. Mungkin masih trauma?

Mi nampaknya dah agak kuat sikit berbanding masa dia mula-mula balik rumah. Tapi saya rasa hairan sebab badannya bila diurut, rasa macam kaku semacam. Bagi minum susu dan glukosa pun macam susah nak telan. Kaki dia pula besar sebelah. Bengkak. Mungkin masa dia lari dari rumah tu ada terjatuh atau terlanggar sesuatu kot. Harap tak ada apa-apalah. Apa pun In Sya Allah esok saya akan bawa dia ke Pejabat Veterinar.

Lewat malam tu, anak Si Hitam yang tengah nazak tu meninggal. Saya tanam kedua-dua ekor di belakang rumah. Mi kembali manja macam biasa. Satu-satunya anak Si Hitam pula lena tidur. Selalunya kami dah tidur baru dia tidur. Agaknya kain alas tu selesa kot. Kucing bunting tu masih terbaring di tempat tadi. Bila pegang masih hidup. Tak ada cedera apa-apa. Pelik. Tak apalah. Kalau esok masih belum pulih, saya bawa dia sekali dengan Mi ke Pejabat Veterinar.

Tapi, sayang...

Pagi esoknya (Khamis), Mi dan kucing bunting tu dah terbujur kaku. Si comel warna hitam tu pula tengah nazak ;_; Malam tu, ketiga-tiga mereka selamat dikebumikan di belakang rumah. Innalillah.

No comments:

Post a Comment

Semua komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Apa pun, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi komen :)

Thank you for leaving your comments :) but please be informed that all comments will be screened before they are posted on this site.