Wednesday, July 10, 2013

Kenapa Pandang Rendah Kepada Perempuan Islam Yang 'Free Hair'?

Sekadar pemerhatian di Facebook, orang Islam selalu pandang rendah pada perempuan Islam yang tak pakai tudung. Ada yang siap tegur lagi, 'dik, kalau tak pakai tudung, tak payah sembang bab agama'. Hal ini buat saya tertanya-tanya, salah ke perempuan Islam yang tak pakai tudung bercakap soal agama?

Cuba bayangkan pelajar yang lulus subjek Bahasa Malaysia tetapi gagal subjek Bahasa Inggeris. Cuba bayangkan pelajar yang lulus subjek Agama Islam atau Moral tetapi gagal subjek Sejarah. Cuba bayangkan pelajar yang lulus subjek Matematik Tambahan tetapi gagal subjek Pendidikan Seni.

Logik ke kalau pelajar-pelajar ni dilarang terus daripada berbincang tentang sebarang subjek yang diajar di sekolah?

Kalau ikut logik, pastinya pelajar yang lulus subjek Bahasa Malaysia dialu-alukan bercakap tentang Bahasa Melayu dan Bahasa Malaysia, yang lulus subjek Agama Islam atau Moral dialu-alukan untuk menjadi tutor kepada rakan-rakan yang lemah dalam subjek tersebut, yang lulus subjek Matematik Tambahan dialu-alukan untuk menjadi guru bagi subjek Matematik Tambahan.

Dalam masa yang sama, para pelajar di atas gagal subjek Bahasa Inggeris, Sejarah atau Pendidikan Seni. Adakah hal ini bermaksud mereka ni langsung tak boleh atau dibenarkan berbincang tentang subjek tersebut dengan kawan-kawan yang lebih mahir untuk mendapatkan pemahaman yang lebih lanjut? Mestilah tak ada halangan, kan? Asalkan jangan nak berlagak macam lebih pandai daripada mereka yang ahli, betul tak?

Tak serupakah situasi ini dengan topik yang dibincangkan sekarang?

Setahu saya, dalam ajaran Islam, ada banyak bab (subjek). Bab akidah, bab solat, bab puasa, bab zakat, bab haji, bab pemakaian, bab pergaulan, bab pekerjaan, bab menguruskan harta, bab pentadbiran negara, bab sejarah, dan lain-lain yang merangkumi keseluruhan hidup kita.

Setakat yang saya tengok di sekeliling saya dan di Facebook, rata-rata di antara kita hanya mahir sedikit daripada orang lain dalam sebahagian kecil daripada bab-bab yang ada. Bab yang lain sama ada buta terus atau rabun ayam.

Jadi, apa pula kelayakan kita untuk bercakap dan berbincang soal agama Islam berbanding orang Islam yang gagal dalam bab etika berpakaian tetapi mungkin mahir dalam bab-bab lain? Kenapa buruk sangka bahawa orang Islam yang tak menutup aurat secara automatik lemah semua bab yang berkaitan agama Islam?

Kalau pun betul ada di antara mereka yang gagal dalam semua bab, salahkah mereka menyampaikan info yang diperolehi daripada mereka yang arif?

Perlukah kita mengecil-ngecilkan pendapat mereka?

Kalau kita lebih tahu dan kita tahu info yang disampaikan itu salah atau telah disalah faham, tak bolehkah kita jawab elok-elok untuk beri penjelasan bagi membetulkan fahaman yang salah itu?

Kalau kita pun tak tahu betul ke tidak info yang disampaikan, tak bolehkah kita semak dan kaji dahulu info tersebut sebelum buat apa-apa keputusan?

Kalau mereka hanya menyampaikan info, kita pun tak berapa arif tentang topik yang dibincangkan, layakkah kita untuk terus menolak info tersebut?

Yang baik daripada Allah, yang buruk daripada saya. Kalau saya salah faham tentang isu ni, tolong tegur dan betulkan saya. Terima kasih.


P/S: Saya pakai tudung k. Komen tu saya nampak di Facebook apabila ada seorang cik adik ni kongsi pautan ke video penjelasan tentang hudud yang disampaikan oleh seorang ilmuan Islam.

No comments:

Post a Comment

Semua komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Apa pun, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi komen :)

Thank you for leaving your comments :) but please be informed that all comments will be screened before they are posted on this site.