Thursday, July 10, 2014

Orang Melayu Pun Pening Lalat

Hari tu DS Najib kongsi gambar mengatakan Bahasa Melayu ialah bahasa kelima paling banyak digunakan di seluruh dunia. Banyak la soalan yang keluar. Bila baca komen-komen di Facebook tu, barulah kutahu, ramai rupanya yang pening lalat pasal isu ni termasuk la orang Melayu.

1) Mana ada Bahasa Melayu, Bahasa Malaysia adalah. 

Ya, kalau merujuk kepada nama subjek yang diajar di institusi pengajian di Malaysia, itu memang betul. Dulu subjek Bahasa Melayu tapi sekarang dah tukar nama subjek jadi Bahasa Malaysia. Tapi yang DS Najib cakap tu merujuk kepada Bahasa Melayu secara keseluruhannya yang bukan sahaja digunakan di Malaysia tetapi di Brunei, Singapura, Indonesia, dan negara lain.

Jadi logik ke kalau DS Najib nak kata Bahasa Malaysia bahasa kelima paling banyak digunakan di dunia? Rakyat Malaysia tak lebih 40 juta orang pun, nak dapatkan tempat ke-20 dalam carta bahasa yang paling banyak digunakan di dunia pun mesti tak lepas punya.

2) Bahasa Indonesia bukan Bahasa Melayulah!

Er, dari satu segi memang betul. Bila sebut Bahasa Indonesia, merujuk kepada bahasa kebangsaan negara Indonesia manakala Bahasa Melayu pula merujuk kepada bahasa milik etnik Melayu. Tapi sila semak perlembagaan negara Indonesia.

Bahasa rasmi negara Indonesia ialah Bahasa Melayu dialek Riau yang dinamakan semula sebagai Bahasa Indonesia untuk mengelakkan persengketaan dan untuk meningkatkan semangat patriotik dikalangan rakyat Indonesia tanpa mengira perbezaan etnik dan agama. Jadi dari situ pun dah nampak bahawa Bahasa Indonesia terhad kepada penggunaan Bahasa Melayu di Indonesia atau yang digunakan oleh warga Indonesia atau mereka yang bertutur dalam Bahasa Melayu menggunakan dialek terkenal di Indonesia.

Dengan kata lain, Bahasa Indonesia bukan Bahasa Melayu tetapi ialah salah satu versi atau cabang Bahasa Melayu. Jadi nak tak nak, bila dikatakan bahawa Bahasa Melayu adalah yang kelima paling banyak digunakan di seluruh dunia, memang pastilah penggunaan Bahasa Indonesia pun dikira sekali.

3) Mana ada istilah Bahasa Malaysia, bahasa ialah mengikut etnik sahaja!

Siapa kata tak boleh? Peraturan mana kata tak boleh? Tu Indonesia buat ok je, kenapa Malaysia tak boleh?

4) Tipu! Bahasa Melayu bukan nombor 5 la tapi corot menurut Pak Google.

Ya, agak meragukan sebab kalau kita baca artikel yang ditulis Mat Salleh, paling tinggi pun Bahasa Melayu berada pada kedudukan no. 9 (yang saya jumpa la). Tapi tengok betul-betul angka yang diberi. Jumlah penutur tak lebih 200 juta orang pun.

Cuba semak populasi penduduk di Indonesia sahaja. Lebih 200 juta orang dan yang ke-4 paling tinggi di dunia! Itu tak campur lagi Malaysia, Brunei dan lain-lain negara yang masih ada penutur Bahasa Melayu.

Kalau orang Melayu dan orang Indonesia sendiri pun pening nak membezakan Bahasa Melayu, Bahasa Malaysia, dan Bahasa Indonesia sehingga tak yakin pada statistik yang dinyatakan DS Najib... adalah tak mustahil yang penulis artikel-artikel yang meletakkan Bahasa Melayu pada kedudukan yang lebih rendah kerana menyangka Bahasa Indonesia ialah bahasa yang berasingan dengan Bahasa Melayu.

Wallahualam, ini sekadar pendapat saya la.

Sumber:
http://www.internetworldstats.com/stats8.htm

5) Ala, setakat no. 5, apa cer? Kalau dalam pertandingan pun, hadiah untuk nombor 1 hingga 3 je.

6) Ini fakta lama, apa hal tiba-tiba timbulkan pulak?

Eh, dapat no. 5 pun kau tau tak berapa ramai pengguna di seluruh dunia? Dianggarkan lebih 300 juta!

Sekarang ni banyak orang pandang rendah kepada Bahasa Melayu. Orang Melayu pun sama, orang bukan Melayu pun sama. Nama je rakyat Malaysia tapi nak cakap Bahasa Melayu Malaysia tergagap-gagap, Bangla yang duduk sini baru 2-3 tahun pun lagi fasih! Tapi yang hairannya, jejak kaki pun tak pernah ke London, tapi boleh cakap Bahasa Inggeris lancar gila. Salah satu puncanya ialah kerana memandang rendah kepada Bahasa Melayu la.

Jadi bila DS Najib umumkan angka-angka besar macam ni baru la mata tu terbuka terbelalak sikit. Barulah rasa wah... popular juga bahasa ni. Tak sia-sia kalau belajar/guna. Bila fikir macam ni, moga-moga terbuka la hati semua rakyat Malaysia agar berhenti merendah-rendahkan Bahasa Melayu sebaliknya memartabatkan Bahasa Melayu dalam kehidupan seharian sebagaimana yang sepatutnya selaku rakyat Malaysia.

Itu sahajalah buat masa ni. Sekian.

No comments:

Post a Comment

Semua komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Apa pun, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi komen :)

Thank you for leaving your comments :) but please be informed that all comments will be screened before they are posted on this site.