Wednesday, March 18, 2015

Dulu pun cukai, sekarang pun cukai... nama je lain (SST vs GST)

2-3 minggu lepas, Hikari menghadiri Taklimat GST. Banyak maklumat dikongsikan dengan para peserta semasa taklimat tu. Di akhir sesi, penceramah tu menyeru supaya semua peserta tolong hebahkan maklumat tersebut kepada orang ramai sebab masih ramai lagi yang tak tahu pasal GST ni.

Tapi Hikari tak kongsi dengan sesiapa pun sebab Hikari ni memang jenis pendiam. Orang tak tanya, Hikari pun cakap apa. Cuma akhir-akhir ni je, Hikari tiba-tiba rajin komen pasal GST di Facebook. Bukan sebab apa... Ada ke patut masih ada yang keliru ingat GST yang kecoh dibincangkan tu, nama penuhnya, 'Government Services Tax'?

Nampaknya betul la apa yang penceramah tu cakap. Memang ramai lagi yang tak faham pasal GST ni. Jadi kali ni, Hikari nak kongsi serba sedikit pasal GST. Lepas tu kalau nak tahu lebih lanjut, rujuk pautan-pautan (link) yang Hikari kepilkan di bahagian paling bawah tulisan ni :)

Apa itu GST?

GST ialah singkatan kepada 'Goods and Services Tax' atau dalam Bahasa Melayu, maksudnya, Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP).

Bilakah GST akan dilaksanakan?

Hari Rabu, 01 April 2015.

Tapi kenapa sekarang pun dah ada GST?

Cuba semak betul-betul resit tu. Singkatan kepada 'Government Services Tax' ialah GST. Singkatan kepada 'Goods and Services Tax' pun GST juga. Dua cukai yang berlainan tu walaupun nama ringkasnya sama.

GST yang kerajaan akan laksanakan 01 April ni ialah 'Goods and Services Tax'. 'Government Services Tax' ialah cukai perkhidmatan yang kita dah lama pakai sejak tahun 1975 sehingga sekarang.

Aik, sekarang pun kita kena bayar cukai ke?
atau... Tipulah, sekarang mana ada kita kena bayar cukai!

Untuk makluman, cukai yang kita gunapakai sekarang ialah Sales Tax and Services Tax (SST) atau dalam Bahasa Melayu, maksudnya, Cukai Jualan (CJ) dan Cukai Perkhidmatan (CP). CJ dan CP ialah dua cukai yang berbeza di mana CJ mula digunapakai di Malaysia sejak tahun 1972 manakala CP mula digunapakai di Malaysia sejak tahun 1975.

Tapi kita tak perasan yang kita kena bayar CJ sebab bila kita beli barang, dalam resit tu tak dinyatakan langsung tentang hal ni. Ini adalah salah satu kelemahan sistem cukai yang kita pakai sekarang. Kadar CJ ni antara 5% hingga 20% atau lebih, ikut kategori barang. Kebanyakan barang dikenakan kadar CJ sebanyak 10%.

klik pada gambar untuk paparan dalam saiz asal


Kita cuma perasan CP sebab bila kita menginap di hotel atau beli makanan di restoran seperti KFC dan PizzaHut, dalam resit tu tulis 'Government Service Tax' (GST) 6%. Dalam laman sesawang rasmi GST, ternyata perkhidmatan kad kredit pun dikenakan CP tapi pada kadar khas (maksudnya bukan 6% la). Hikari tak pakai kad kredit jadi Hikari pun tak pasti berapa kadar CP yang dikenakan untuk perkhidmatan ni.

Apa beza SST dan GST?

SST terdiri daripada 2 cukai yang berbeza iaitu Cukai Jualan (CJ) dan Cukai Perkhidmatan (CP) manakala GST ialah 1 cukai sahaja iaitu Cukai Barang dan Perkhidmatan yang akan menggantikan SST.

Kalau SST, kadar cukai yang dikenakan adalah berbeza-beza mengikut kategori (5% - 20 % atau lebih) dan boleh jadi berlapis-lapis. Berlapis-lapis ni maksudnya, individu atau syarikat mungkin kena bayar cukai yang sama berkali-kali.

Contohnya, sebuah hotel memerlukan barangan seperti katil, almari, rak dan sebagainya untuk menjalankan perniagaannya. Di situ, pihak pengurusan hotel dah kena bayar CJ untuk setiap pembelian. Akibatnya kos perniagaan yang perlu ditanggung meningkat dan cas yang dikenakan kepada pelanggan pun meningkat.

klik pada gambar untuk paparan dalam saiz asal

GST pula, kadar cukainya sama sahaja 6% dan boleh menyelesaikan ketidakadilan pemborong, pembekal/pengedar atau peniaga yang terpaksa membayar cukai berkali-kali lalu mengalihkan kosnya kepada pelanggan. Maksudnya macam ni...

Katakan hotel tadi mempunyai nombor pendaftaran GST. Hotel tu boleh tuntut balik cukai daripada kerajaan. Contohnya, harga meja tepi RM100. Selepas dikenakan cukai GST 6% (RM6), harga yang perlu dibayar oleh pihak hotel untuk mendapatkan meja tepi tersebut ialah RM106. Pihak hotel boleh tuntut balik RM6 tu sebab barang yang dibeli adalah untuk menjalankan perniagaan. Secara automatik, kos operasi perniagaan yang perlu ditanggung oleh pihak pengurusan hotel tersebut dah berkurang. Kalau pihak hotel tu berhati perut dan tak tamak tahap melampau, pihak hotel boleh menggunakan peluang ini untuk mengurangkan kos yang dikenakan ke atas pelanggan. Dua-dua untung.

Sebenarnya banyak lagi kelebihan GST. Boleh rujuk pautan-pautan di bahagian bawah sekali kalau nak tahu lebih lanjut. Hikari malas nak tulis banyak kali benda yang sama.

Habis tu, macam mana nak untung kalau semua dah direkod oleh kerajaan?

Cukai dikenakan ke atas harga jualan syarikat tersebut untuk barangan atau perkhidmatan yang disediakan. Harga jualan ialah harga belian asal + harga tambahan untuk dapatkan keuntungan. Contoh: Beli beg RM100 tapi jual RM200 untuk dapatkan keuntungan (tambahan harga sebanyak RM100). Cukai yang dikenakan ialah 6% x RM200 = RM12.

Jadi apa maksud tak boleh untung tu? Sebelum ni korang menipu untuk elak bayar cukai ke apa?

Boleh blah la. GST belum dilaksanakan pun harga barang dah naik... lepas GST, harga turun? Setakat teori boleh lah...

Ok. Hikari tak faham. Secara teori, kamu dah setuju la bahawa GST ni lebih baik daripada SST, kan? Tapi kamu menolak sebarang perubahan yang kerajaan cuba lakukan samaada baik atau buruk sebab kamu tak mahu peniaga ambil kesempatan?

Er... kamu ni memang tak tahu ke atau terlupa? Kalau bukan pasal GST ni pun, peniaga yang zalim akan terus cari peluang untuk naikkan harga. Tak percaya?

Cuba tengok sejarah harga barangan di Malaysia. Harga minyak naik esok, harga barangan pun automatik naik harga esok. Alasan: harga minyak naik. Tapi bila harga minyak turun? Haram. Tunggu la 10 tahun pun, boleh kira dengan jari berapa kerat je yang sanggup turunkan harga. Alasan: Entah la, 1001 alasan akan dicari untuk elak kena turunkan harga.

Ada sesetengah kata, apa ni, asyik salahkan peniaga je. Kalau dah pembekal atau pemborong naikkan harga, kami nak buat macam mana? Terpaksa la naikkan harga kalau nak untung. Bila peniaga dah kata macam tu, mula la orang ramai tuding jari kepada kerajaan, kenapa tak tegas dengan pembekal dan pemborong?

Nak ambil tindakan apa kalau banyak yang menipu. Nak semak siapa yang menipu pula susah sebab tak boleh semak silang (semak maklumat yang sama daripada sumber yang berbeza untuk mengesahkan kebenaran maklumat tersebut). Inilah salah satu sebabnya kenapa kerajaan nak ganti SST dengan GST yang lebih berkesan, saksama, efisyen dan telus.

Cuma macam biasalah, di awal pelaksanaan apa-apa pun mesti ada kelemahannya. Macam BR1M dulu pun, ramai merungut kena beratur panjang tengah panas terik kutip dalam bentuk tunai tapi sekarang? Semua orang beratur dalam bank nak semak duit dah masuk ke belum je. Kalau tak nak beratur pun tak pe, semak je secara atas talian (online). Penambahbaikan akan dibuat dari masa ke semasa.

Merepek... Kalau harga makin murah selepas GST, kenapa pula hasil kutipan akan jadi lebih banyak?

1. Oit, BUKAN SEMUA barang dan perkhidmatan akan turun harga la. Ada yang akan naik, ada yang akan kekal sama dan ada yang akan turun harga bergantung kepada kategori barang atau perkhidmatan tersebut.

2. Macam dimaklumkan tadi, sebelum ni ramai yang menipu. Cukai yang sepatutnya dikutip lebih banyak tapi cukai yang betul-betul diterima oleh kerajaan, tak sebanyak yang sepatutnya. Apabila banyak yang menipu, banyak la cukai yang tak dapat dikutip = rendah hasil kutipan cukai.

3. Selepas GST dilaksanakan, individu dan syarikat yang lari daripada dikenakan cukai sebelum ni, dah tak boleh nak lari dah. KALAU ada aduan, nak cari bukti senang sebab ada rekod merata-rata. Jadi kalau pengguna bekerjasama dengan kerajaan, lambat laun- tahap pematuhan pembayaran cukai akan meningkat sekaligus meningkatkan hasil kutipan cukai.

4. Tapi kalau mereka terlepas sekalipun untuk bayar cukai hasil perniagaan mereka, mereka tetap kena bayar cukai GST sebab mereka pun pengguna juga.

5. Lagi satu, peniaga-peniaga haram macam tauke kedai judi, pelacur dan sebagainya memang tak bayar cukai. Nak daftar perniagaan pun tak boleh sebab diharamkan di Malaysia. Tapi bila GST datang, mereka pun kena bayar cukai bila beli barang. Inilah salah satu sebab lagi kenapa hasil kutipan akan meningkat.

Ah, lantak la SST ke, GST ke, apa perlunya cukai? Nanti kerajaan rembat semua juga. Rakyat makan habuk.

Setiap tulisan, kata-kata, perbuatan, adalah doa. Berdoalah macam tu selalu, nanti betul-betul kena makan habuk, memang Hikari cuma nak kata, PADAN MUKA.

Selama ni memang hasil pendapatan negara kita adalah cukai. Kerajaan rembat semua? Habis tu mana datang semua kemudahan yang kita nikmati selama ni? Semalam tok, nenek, ayah, mak kita tinggal di rimba pakai cawat je ke? Lepas tu bila kita lahir, Allah SWT ucap Kun Fa Ya Kun, pufff, terus kita dapat segala-gala yang kita ada sekarang? Macam tu? Tolong beringat sikit yang Allah SWT takkan berikan kita sesuatu tanpa kita berusaha untuk mendapatkannya.

klik pada gambar untuk paparan saiz asal


Dulu, susah nak cari orang Melayu rumah batu. Rata-rata rumah orang sekarang automatik adalah rumah batu. Air boleh ambil terus daripada paip rumah, dah tak payah ambil daripada telaga. Bekalan elektrik ada di hampir setiap rumah, tak payah nak pakai pelita macam dulu.

Masa mula-mula merdeka, nak pergi belajar, nak sambung belajar, memang susah. Mak bapa usaha sendiri, sanggup gadai tanah dan apa-apa je harta yang ada semata-mata untuk hantar anak pergi belajar. Sebab tu dulu anak-anak muda lebih menghargai pengorbanan ibu bapa dan belajar bersungguh-sungguh. Sanggup berjalan kaki jauh-jauh semata-mata untuk pergi sekolah. Hujan, badai, ribut, kilat ke apa, redah je. Sekarang?

Ibu bapa pun ramai jenis tak bersyukur tuntut macam-macam kalau boleh nak kerajaan tanggung anak mereka dari bayi sampai dewasa. Tak dapat, maki kerajaan macam-macam. Anak-anak 2x5 la. Orang suruh belajar, dia ponteng/guling. Tak dapat kerja, salahkan kerajaan. Padahal orang luar berebut-rebut cari kerja di Malaysia. Cara halal ke, haram ke, lantak. Janji dapat kerja di Malaysia. Maksudnya apa? Nampak sangat isu sebenarnya ialah banyak anak Malaysia samaada memang tak boleh harap, kaki merungut atau jenis memilih kerja! Kualiti tak tahu lagi dah minta macam-macam.

Lepas tu pasal kereta mahal. Dulu orang Melayu nak ada satu kereta pun payah. Sekarang? Haish, hampir setiap rumah ada kereta. Kadang-kadang tu sampai satu rumah 2-3 biji kereta. Adik, abang, kakak, ayah, mak, semua angkut seorang satu kereta. Dulu kereta mahal, sekarang pun kereta mahal. Tapi dulu ramai tak mampu, sekarang majoriti mampu beli kereta. Kalau tak yang baru, yang terpakai.

Kalau tak mampu juga, ada kenderaan awam. Tapi dulu, nak pergi mana-mana, memang jalan kaki je atau naik basikal atau naik kenderaan awam. Sebab tu perkhidmatan kenderaan awam berlambak-lambak, senang dapat. Sekarang? Sampai banyak syarikat yang menyediakan perkhidmatan kenderaan awam tutup kedai sebab rugi besar, tak laku. Yang masih ada macam hidup segan, mati tak mahu. Kualiti tak payah cakap la sebab nak kejar untung. Bila dah jadi macam ni, yang tak mampu beli kenderaan sendiri atau yang mementingkan alam sekitar, memang la marah. Tapi nak salahkan siapa? Bahagian ni, saham sama banyak je antara kerajaan dan 'rakyat'.

Tindakan kerajaan kurang tepat sebab bangunkan Proton, dan galakkan pembelian kereta. Tindakan 'rakyat' pula tak membantu keadaan bila ramai mulut bising nak perkhidmatan kenderaan awam banyak dan bagus tapi bila masuk bab pelaksanaan, haram. Kalau betul nak, bila ada, naik la kenderaan awam tapi tak... Tak nak naik kenderaan awam yang disediakan sebab LEBIH SELESA naik kenderaan sendiri. Bila permintaan rendah, jangan bisinglah kenapa perkhidmatan tu tak banyak.

Hikari tak bandingkan kemudahan nak dapatkan rawatan dan kosnya dulu dan sekarang sebab Hikari pun tak tahu dulu-dulu macam mana. Cuma yang pasti, sistem penjagaan kesihatan di Malaysia adalah yang nombor 3 (tiga) TERBAIK DI DUNIA pada tahun 2014. Hikari tak faham kenapa ramai juga yang pertikai perkara ni. Bila Malaysia dapat nombor corot, kutuk bukan main. Bila Malaysia diiktiraf pencapaiannya, pun kutuk juga. Hati dah hitam sangat ke apa?

Itu bahagian yang duniawi. Bahagian yang agamawi? Nak belajar agama tak ada masalah. Kalau betul minat nak belajar agama, cari je, mesti ada. Kalau tak minat, bila dah bertaubat, jangan nak salahkan sesiapa kenapa dulu kau tak sedar diri. Kalau kau betul belajar agama, kau mesti tahu yang ilmu agama ni MAK AYAH KAU yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk ajar. Jadi sebelum nak salahkan sesiapa, kau marah mak ayah kau dulu kenapa tak ajar atau tak cuba sedaya upaya bagi kau minat agama.

Selain daripada tu, nak solat dengan selesa memang senang, hampir di mana-mana pun ada surau atau masjid. Nak berpuasa pun senang, tak ada sesiapa nak halang. Nak berzakat pun senang, tak payah risau tersilap bayar atau tersilap agih. Nak pergi haji dan umrah pun senang, daftar, kumpul duit, belajar dan tunggu je.

Sebenarnya banyak lagi nikmat yang kita kecapi selama ni cuma Hikari tak ingat je, banyak sangat. Oh, kejap. Baru teringat lagi 1 nikmat penting yang selalu orang Malaysia buat-buat lupa.

Apa tadi? 'Rakyat' makan habuk? Malaysia diiktiraf sebagai salah satu syurga makanan oleh masyarakat dunia. Rakyat Malaysia pula adalah antara yang PALING GEMUK DI DUNIA. Setiap kali ada musibah, rakyat Malaysia tak ada masalah nak sedekah minuman dan makanan sampai tahap kadang-kadang penerima sedekah kena jual balik barang-barang tu sebab dah terima terlampau banyak. 'Rakyat' Malaysia makan habuk? 'Rakyat' mana tu? Nyamuk ke? Kesian nyamuk, kena sembur dengan asap yang busuk tu.

P/S: Hikari tak nafikan masih ada banyak penambahbaikan yang kita boleh buat TAPI janganlah sampai lupa bersyukur (berterima kasih) dengan nikmat dan kebaikan yang dah sedia ada hanya disebabkan marah dan dendam kesumat.

Cukai adalah haram! Orang Islam yang sokong GST ni nanti jawab la depan Allah SWT di Akhirat kelak.

Ooops, tolong elakkan menghukum sebelum semak fakta. Jangan nampak je perkataan cukai tu, terus nak label penyokong GST ni macam-macam.

Pertama sekali, Hikari nak ingatkan, dari dulu sampai sekarang memang sumber pendapatan majoriti negara yang wujud di dunia masakini termasuk negara kita dan banyak negara Islam yang lain adalah cukai samaada secara langsung atau tak langsung. Dan, setakat yang Hikari tahu, hukum mengenakan cukai ke atas rakyat adalah HARUS (http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/kajian-terhadap-cukai-barangan-dan-perkhidmatan-gst).

Tapi Hikari tak nak bertekak. Katakanlah hukum mengenakan cukai ni sememangnya haram. Nak tak nak, sekarang pun kita dah kena bayar cukai SST. Kalau menolak GST, maknanya kamu sokong SST. Memanglah kamu kata tak sokong cukai langsung tapi macam Hikari nyatakan tadi, dari dulu sumber pendapatan negara kita memang adalah cukai. Kamu ingat kerajaan Malaysia akan tiba-tiba hentikan kutipan cukai ke? Mustahil.

Jadi pilihan apa yang kita ada sekarang? Tolak SST dan terima GST atau tolak GST dan terima SST. Itu sahaja. Sila baca balik tulisan Hikari dari mula sampai awal. Kalau malas nak buat perbandingan penuh antara SST dan GST, bandingkan kadar cukai GST yang hanya 6% dengan SST yang kebanyakannya 10% pun dah cukup. Kalau dua2 pun haram, bukankah kita sepatutnya pilih yang lebih ringan kesannya?

Jadi sebelum nak menuduh yang bukan-bukan, tolong hadam maklumat ni dulu. Kalau masih rasa SST lebih baik daripada GST, Hikari tak boleh nak kata apalah. Masing-masing ada pandangannya yang tersendiri.

Macam mana nak buat aduan kalau ada peniaga yang menaikkan harga sesuka hati?

Sila ke http://eaduan.kpdnkk.gov.my/ untuk buat aduan.



Sumber maklumat
http://gst.customs.gov.my/ms/ (Laman Sesawang Rasmi GST - Versi Bahasa Melayu)
http://gst.customs.gov.my/en/ (GST Official Website - English Version)
Taklimat GST yang dihadiri
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/kajian-terhadap-cukai-barangan-dan-perkhidmatan-gst (Fatwa JAKIM tentang GST)

Buku Panduan Rasmi GST (e-book)
http://gst.customs.gov.my/ms/rg/SiteAssets/general_guides/Panduan%20Umum%2028102013.pdf (Bahasa Melayu)
http://gst.customs.gov.my/en/rg/SiteAssets/general_guides/Handbook%20Vol1%2002092014%20Master.pdf (English)

Lain-lain artikel menarik
http://www.asyrafzabani.my/apa-itu-gst-implikasinya/
http://anaknogori-zumna.blogspot.com/2014/11/gst-vs-sst-apakah-yang-sukar-difahami.html
http://free2talk2me.blogspot.com/2014/04/gst-satu-penjelasan-ringkas_23.html

No comments:

Post a Comment

Semua komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Apa pun, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi komen :)

Thank you for leaving your comments :) but please be informed that all comments will be screened before they are posted on this site.