Thursday, October 23, 2014

Kenapa ramai orang ingat orang Islam benci anjing?

Dalam Islam, tak ada pun kata anjing atau babi tu patut dibenci. Malah sama je macam haiwan yang lain, orang Islam patut mempunyai rasa belas kasihan kepada mereka. Kita tak boleh nak suka-suka tendang atau seksa mereka, berdosa! Rasanya bahagian ni semua orang Islam setuju, tak kisahlah menyokong atau menolak kempen I Want To Touch A Dog tu. Cuma bahagian sentuh anjing tu je yang berlaku perselisihan pendapat.

Terus-terang, saya ni berdiri atas pagar pasal kempen tu dan saya paling tak suka mereka yang suka mengacah (provoke) orang lain saja cari pasal dan puak-puak yang suka ambil kesempatan ke atas kedua-dua belah pihak yang bergaduh tu jadi batu api. Yelah, yang sokong pegang anjing tu pun ada banyak jenis dan yang tak sokong pegang anjing tu pun ada banyak jenis. Kalau tengok balik hujah-hujah daripada kedua-dua belah pihak, silap-silap ramai jadi macam saya, tak jadi nak bertekak pun.

Apa pun, kenapa saya berdiri atas pagar?

Laman Facebook penganjur kempen dah ditutup, jadi saya tak boleh nak pastikan apa tujuan penganjur berbuat demikian. Tapi daripada keratan akhbar dan lain-lain sumber kedua atau ketiga yang saya baca, dinyatakan tujuan kempen ini diadakan adalah untuk mengurangkan rasa takut dikalangan umat Islam terhadap anjing yang mungkin menghalang mereka daripada membantu anjing yang berada dalam kesusahan terutamanya jika pertolongan tersebut memerlukan mereka mendekati atau pegang anjing tersebut, bukan saja-saja nak ajak orang Islam pegang anjing. Wallahualam. Entah la betul atau tidak. Tapi kalau betullah itu adalah tujuannya, saya menyokong niat baik tersebut dan saya tak nampak kesalahannya di situ.

Jadi secara umumnya, saya sokong kempen macam ni sebab bagus untuk rangsang minda sesetengah orang Islam yang diakui tertutup dan membantu mereka yang takut anjing untuk mengatasi masalah tersebut. Kalau minda tak tertutup, kita takkan dengar kata-kata, "Buat apa tolong anjing, dah tak ada binatang lain ke kau nak tolong?" seperti yang kita selalu dengar sekarang ni. Yang takut tu pula selalunya pernah dikejar anjing cuma disebabkan tak tahu cara yang betul apabila berhadapan dengan haiwan tersebut. Semoga lepas menghadiri kempen macam ni, kedua-dua masalah ni akan berkurangan.

Tapi apabila saya nampak ada dikalangan mereka yang sokong kempen ni memang suka pegang anjing, memang suka peluk cium anjing, memang suka bela anjing (benda-benda ni selalunya berlaku berturutan k), dan yang lebih teruk lagi tak kuat agama, suka ikut-ikutan.. Kemudian ada pula orang politik dan orang bukan Islam yang suka masuk campur dalam urusan orang Islam ikut suka hati mak bapak dia.... ok... di situ memang dah nampak masalah yang mungkin timbul. Dengan kata lain, kempen tu sendiri tak ada masalah tapi orang-orang yang menyertai tu ada diantaranya yang bermasalah dan suka menimbulkan masalah.

* Maksud saya menyertai tu bukanlah dengan menghadiri program tu sahaja tapi termasuk juga yang bagi komen menyokong kempen tu di media massa dan media sosial...

Tak habis-habis mengacah dengan perkataan 'I love dogs', saya suka anjing, 'my family love dogs' dan yang seumpama dengannya. Mereka nak kata apa sebenarnya? Adakah selama ni orang Melayu/Islam benci kepada anjing? Tolong tunjuk sikit di Malaysia ni, berapa banyak anjing yang dibuli dan diseksa oleh orang Melayu/Islam berbanding dengan kucing? Jawapannya, tak ada beza pun walaupun kucing lebih banyak dibela orang orang Melayu. Yang suka dera anjing, sah-sah adalah orang yang sama sakit jiwa, suka dera kucing juga. Orang yang baik dengan kucing, mungkin tak gomol-gomol anjing tapi selalunya mereka adalah orang yang sama takkan berlaku kejam kepada anjing atau mana-mana binatang yang lain (erk, kecuali tikus, lipas, dan ular kot.. oh, dan lipan, urk dan kala jengking dan... uh.. um.... yang sewaktu dengannya).

Hujah yang orang-orang macam ni suka bagi ialah kisah si pelacur tua yang akhirnya masuk Syurga kerana beri minum kepada anjing yang sedang dahaga dan lain-lain kisah seumpamanya sebagai bukti umat Islam tidak membenci anjing. Itu betul tapi dalam banyak-banyak contoh yang diberi tu, ada tak di antara mereka yang suka-suka sentuh, peluk atau cium anjing atau bagi anjing masuk dalam rumah? Jawapannya, tak ada.

Ada tak hadis-hadis yang kata umat Islam dilarang bela anjing suka-suka, bukan untuk tujuan memburu, bukan untuk tujuan keselamatan? Jawapannya, ada.

Ada tak hadis-hadis yang melarang bela anjing dalam rumah? Jawapannya, ada.

Ada tak hadis-hadis yang kata kita kena bersihkan benda yang anjing dah jilat dengan cara tertentu? Jawapannya, ada.

Jadi....

Nak pegang anjing sebab nak tolong dia? Tak ada masalah.

Nak pegang anjing suka-suka? Nak peluk cium anjing? Erk O_o eww... Ok, itu pilihan masing-masing. Sepatutnya tak ada masalah cuma kena rajin dan berhati-hati selalu. Bila ada barang seperti baju terkena air liur dan tahi anjing tu, jangan lupa basuh dengan air mutlak 7 kali dan air tanah 1 kali sebab kedua-duanya adalah najis. Lepas pegang tu, terutamanya kalau dah dijilat anjing atau pegang anjing waktu basah, lebih baik mandi terutamanya sebelum menunaikan solat. Bukan apa, takut tak sah ja kot-kot masih ada najis yang tak dibersihkan yang kita tak perasan atau tak nampak. Solat tu tiang agama, yang pertama dihisab selepas mati. Lagi penting daripada berseronok dengan anjing. Jadi, hati-hati.

Nak bela anjing untuk tujuan keselamatan atau memburu? Tak ada masalah cuma jangan bela bawa masuk dalam rumah la.

Nak bela anjing suka-suka? Tu je yang tak boleh. Dalam kes Maznah hari tu kalau tak silap, dia bukan bela anjing suka-suka, dia tolong anjing terbiar. Jadi salah dia cuma membawa masuk dan bela anjing-anjing tu di dalam rumah.

Apa pun semua ini hanyalah berdasarkan pengetahuan dan pemahaman saya berkenaan isu ni. Kalau nak tegur atau betulkan saya, silakan. Cuma jika anda mengaku sebagai seorang yang beragama Islam atau seorang yang bertamadun, tolong pastikan bahasa yang digunakan adalah bahasa yang elok. Jangan jadi berat sebelah macam sesetengah pemimpin yang mengaku alim di Malaysia ni tapi suka maki-hamun dan guna kata-kata kesat.  Itu bukan ajaran Islam dan bukan perangai orang yang bertamadun.

Pautan menarik berkenaan isu ni

Maklumbalas daripada JAIS berkaitan hukum menyentuh/memegang anjing

Anjing dan Isu Masyarakat Malaysia - Dr. Maza

No comments:

Post a Comment

Semua komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Apa pun, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi komen :)

Thank you for leaving your comments :) but please be informed that all comments will be screened before they are posted on this site.