Friday, September 26, 2014

Cinta itu buta ke... orang yang buta???

Serius saya tak faham...

Suami keparat. Itu gelaran layak diberikan terhadap tindakan kejam seorang suami yang tergamak membelasah isterinya hingga menyebabkan mangsa terlantar di Hospital Sungai Buloh selama lima hari.

Mangsa yang berusia 30-an ditumbuk dan dihentak kepalanya di dinding berulang kali hingga menyebabkan kedua-dua mata mengeluarkan air mata darah.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku pada jam 10 malam baru-baru ini ketika mangsa bertengkar dengan suaminya berusia 34 tahun di kediaman mereka di Pandan Indah di sini.

Menurutnya, pertengkaran itu kemudian bertukar menjadi ganas apabila lelaki terbabit hilang pertimbangan sebelum menyerang isterinya.

“Suspek bertindak menendang, menarik rambut dan menghentak kepala isterinya ke dinding menyebabkan mangsa mengerang kesakitan.

“Tidak cukup dengan itu, dia terus membelasah mangsa tanpa henti hingga terkencing kesakitan sebelum pengsan,” katanya.

Sebelum itu, lelaki itu menumbuk muka dan mata isterinya berulang kali.

“Dia tidak mempedulikan mangsa yang pengsan sebelum beredar meninggalkan rumah berkenaan.

“Mangsa hanya tersedar kira-kira jam 7.30 pagi esoknya sebelum mengalami muntah darah selain darah turut meleleh keluar daripada matanya kesan kecederaan dipukul,” katanya.

Bimbang dengan keselamatan dirinya, wanita itu mendapatkan rawatan di klinik berhampiran kediaman sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh berikutan mengalami kecederaan teruk.

“Akibatnya mangsa terlantar di hospital selama lima hari sebelum dibenarkan keluar Jumaat lalu selepas keadaannya stabil,” katanya.

Mangsa yang bimbang dicederakan suaminya sekali lagi tampil membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, di sini, untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Khairuldin Saad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/ANGKARASUAMIKEPARAT/Article/

... kenapa ada orang perempuan yang pilih si dayus macam ni untuk jadi suami? Adakah si dayus tu sebelum berkahwin dengan si perempuan sangat pandai berpura-pura sehingga si perempuan serta ibu bapa si perempuan langsung tak perasan kebangsatan si dayus? Kes macam ni dah selalu sangat kita dengar akhir-akhir ni sampai orang yang belum kahwin pun jadi takut nak kahwin bila dengar.

Lagi satu yang saya tak faham, berdasarkan apa yang saya pernah baca sebelum ni lah... Perempuan yang dibelasah teruk oleh si dayus yang digelar kekasih atau suami ni, sebelum ni memang dah pernah kena buli atau pukul oleh si dayus yang sama. Jadi kenapa mereka masih bersama? Kenapa si perempuan tak cabut lari?? Kenapa si perempuan tak buat aduan polis???

Kalau di Barat tu, pernah la saya baca yang si perempuan tak tinggalkan si lelaki sebab sayang. Dekat Malaysia ni tak tahu la pula kalau kebanyakannya macam tu tapi... kalau baca http://siraplimau.com/isteri-diludah-ditumbuk-ditendang-dan-disumpah-seranah/ ... uh, macam dua kali lima je? Lain-lain alasan yang saya pernah dengar ialah sebab sayangkan anak dan nak perkahwinan tu berkekalan.

Sangat sangat pelik, kan?

Kenapa sayang sangat si dayus kalau si dayus tak sayangkan dia? Ada perempuan yang jawab, tak... dia tahu yang si dayus sayangkan dia... Ok, tak dinafikan. Memang betul ada jenis orang yang tak pandai tunjuk perasaan sebenar atau dibesarkan untuk tunjukkan kasih sayang macam tu. Tapi... maaflah ini sekadar pendapat k.

Tak semua orang tahu cara untuk menunjukkan kasih sayang yang betul. Orang macam ni patut diberi tunjuk ajar. Tapi kalau si perempuan bagi je si suami atau kekasih jadikan diri sebagai beg latihan bertinju, tak minta bantuan daripada sesiapa, bila orang tu akan belajar cara yang betul? Memang la boleh juga kalau nak cuba sendiri ubah mereka perlahan-lahan tapi kalau dah mengandung, kalau dah ada anak... takkan nak tunggu lagi?

Kalau si perempuan tak tolong si suami atau kekasih berubah secepat mungkin, si perempuan dah buat kesalahan yang sangat besar kepada anak-anak mereka termasuk la anak yang ada dalam kandungan tu. Kita kena ingat, anak-anak suka tiru ibu bapa. Adakah kita mahu anak-anak lelaki kita membesar jadi kaki buli dan kaki pukul macam ayah mereka? Adakah kita mahu anak-anak perempuan kita membesar mencari lelaki macam ayah mereka untuk dijadikan suami? Adakah kita suka melihat anak-anak perempuan kita dibuli dan dibelasah oleh suami mereka?

Saya tak ada statistik tapi setakat kisah-kisah macam ni yang saya dah pernah baca, banyak kaki buli, dan mangsa kaki pukul, sebenarnya dibesarkan dalam keluarga macam tu. Sebab tu lah salah satu tanggungjawab lelaki dan perempuan yang mahu berkahwin kepada anak mereka yang belum lahir ialah mencari lelaki atau perempuan yang baik untuk dijadikan pasangan supaya mereka ada peluang yang lebih besar untuk jadi manusia yang berguna.

Macam mana pasangan manusia tunjukkan kasih sayang kalau nak dibandingkan pasangan manusia dan 'mutant' (manusia yang bukan manusia)? Salah satu cara yang paling popular, dengan ucapan sayanglah, bukan caci maki atau hina pasangan di khayalak ramai. Kedua dengan hubungan fizikal yang memuaskan kedua-dua belah pihak. Peluk peluk ke, cium cium, bukan tumbuk-tumbuk! Yang ketiga, yang paling utama sebenarnya, sentiasa berfikir untuk kebaikan/keselesaan orang yang kita sayang. Sebab tu kalau kita nampak mak kita penat angkat barang, automatik ramai di antara kita akan tolong angkat barang tu, mak tak payah suruh atau tanya pun. Kalau dah untuk kebaikan/keselesaan orang yang kita sayang, takkan kita nak tumbuk atau paksa dia buat kerja walaupun dah penat, kan? Kalau ada yang buat macam tu, itu tanda dia benci pasangan dia dan nak suruh mati cepat >:(

Yang keempat, kalau marah dengan orang yang disayangi, mesti rasa serba-salah nak tegur sebab.. sayang le. Tapi kalau terpaksa tegur atau hukum, mesti kena dengan tempat dan kesalahan yang dilakukan iaitu tidak melampaui batas. Saya pernah baca, ada si dayus yang tengking isteri yang tengah dukung anak di khayalak ramai suruh ambil troli yang si dayus tengah pegang dan bayar. Otak ada ka? Siapa yang patut bayar barang rumah? Suami ke isteri? Dahlah isteri tu dah cukup murah hati sanggup bayarkan untuk si suami, si dayus tu pula malukan isteri dia di khayalak ramai. Adakah ini tanda tegur sayang? Kalau ada perempuan yang setuju, saya nak sarankan kepada anda untuk buat macam tu pada pasangan anda di khayalak ramai. Tengok dia boleh terima tak teguran sayang anda tu, atau dia akan terus tempeleng je muka anda?

Kemudian ada yang bagi alasan, wajib taat kepada suami. Ya, itu memang betul tapi jangan lupa yang suami pun ada tanggungjawab mereka sendiri. Suami tak boleh pukul isteri sampai meninggalkan bekas, inikan pula sampai luka parah dan lebam-lebam. Suami tak boleh memalukan isteri di khayalak ramai. Suami tak boleh suruh isteri buka aurat di depan orang yang tak sepatutnya boleh lihat aurat tu. Suami tak boleh paksa isteri bayar bil air, beli barang rumah pakai duit sendiri. Suami tak boleh paksa isteri buat kerja rumah kalau isteri dah penat sebab itu sebenarnya tugas suami juga. Tapi kalau masih nak teruskan juga benarkan diri dizalimi, silakan KALAU rasa tak sayang ibu bapa dan anak.

Ibu bapa mana yang tak sedih tengok anak mereka didera? Kalau mereka dah meninggal dunia sekalipun, adakah mereka takkan sedih kalau tahu anak mereka didera dan hidup menderita? Dan seperti yang saya kata sebelum ni, anak-anak suka tiru ibu bapa mereka. Kalau mereka jadi hantu nanti, itu bukan salah si dayus semata-mata tetapi juga perempuan yang pilih untuk berpasangan dengan mereka. Itu tak masuk lagi kemungkinan trauma, kecederaan fizikal dan lain-lain.

Jadi kepada yang belum berkahwin, hati-hati memilih pasangan.

Yang dah terlanjur berpasangan dengan si dayus, kalau betul anda sayangkan dia, tinggal-tinggalkanlah. Si lelaki pun kalau tersilap pilih kekasih atau isteri dari kalangan makhluk ganas terlampau atau kaki dera, tinggalkanlah mereka. Laporkan kepada polis untuk masa depan yang lebih cerah untuk dia, anda, dan mereka yang sayangkan anda berdua. Tolong jangan pentingkan diri sendiri sampai anak-anak pun jadi mangsa :( http://kes-jenayah.blogspot.com/2010/11/isteri-di-dera-cerai-ekoran-lapor.html

Untuk perempuan, boleh telefon Talian Nur (15999) pada bila-bila masa untuk bantuan. Rasanya lelaki pun boleh minta bantuan di sini tapi saya tak pasti sebab kalau tengok nama tu memang macam untuk perempuan je tapi kalau tengok dokumen ni...
http://www.kpwkm.gov.my/documents/10156/24fc463d-589d-4c57-acbd-6b0e42233320 ...patutnya sesiapa pun boleh. Er, walaupun namanya ala-ala Arab sikit, tak bermakna bantuan ni untuk orang Islam je k. Sesiapa pun boleh minta tolong di sini.

Kalau nak dapatkan maklumat lebih lanjut berkenaan keganasan rumah tangga di Malaysia, boleh baca sini http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/205-info-ringkas/395-soal-jawab-keganasan-rumah-tangga.html

Kalau nak buat aduan, boleh buat laporan segera kepada pihak polis yang berdekatan atau telefon Talian Nur tu. Kalau dah cedera, boleh pergi ke Pusat Krisis Bersepadu yang terdapat di semua hospital kerajaan (bahagian kecemasan) untuk mendapatkan rawatan dan tempat perlindungan jika perlu.

Pusat Krisis Bersepadu atau One Stop Crisis Centre (OSCC) ialah pusat perkhidmatan bersepadu antara pelbagai agensi yang menyelaraskan tugas bagi menyelesaikan kes keganasan rumah tangga, rogol, liwat dan penderaan terhadap kanak-kanak. Pusat ini adalah merupakan tempat yang memberi rawatan dan pertolongan yang diperlukan oleh pengadu. Pegawai dari agensi berkaitan akan tampil untuk memberi bantuan jika diperlukan. Dalam erti kata lain pusat ini memberikan pengurusan rawatan setempat.

Sumber maklumat:
https://www.malaysia.gov.my/citizen?articleId=270061&subCatId=269865&categoryId=103737
http://www.myhealth.gov.my/index.php/dewasa/keganasan/pusat-krisis-bersepadu

No comments:

Post a Comment

Semua komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Apa pun, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi komen :)

Thank you for leaving your comments :) but please be informed that all comments will be screened before they are posted on this site.