Sunday, December 29, 2013

Cara Baru Baharui Cukai Jalan Raya Guna Mesin di JPJ

Hari Isnin lepas, saya pergi ke JPJ untuk buat lesen baru bagi menggantikan lesen yang hilang dan baharui cukai jalan raya (road tax) yang dah tamat tempoh. Sebelum pergi tu saya telefon dulu JPJ untuk pastikan dokumen-dokumen yang diperlukan. Waktu tu le baru dapat tahu rupanya sekarang ni boleh baharui cukai jalan ni di mesin. Masa saya pergi ada geng beratur belakang saya :) Dia cakap mesin ni dah 2-3 bulan ada di JPJ. Kira baru sangat-sangat la ni. Hairan juga sebab tak ada sesiapa cerita.

Saya dah lupa ingat langkah-langkah untuk guna mesin tu. Maklumat lain pun saya ingat-ingat lupa. Yang saya pasti, sebelum guna mesin tu, pastikan insurans kereta tu dah dibaharui. Saya baharui insurans di https://www.myeg.com.my (MYEG) sebab cepat. Saya tak baharui cukai lesen di MYEG sebab kena tunggu 2-3 hari. Hello, sekarang ni pun saya dalam kategori pemandu haram, ada berani nak tunggu lama-lama lagi? Mestilah tak :P Dokumen yang mesin tu akan minta pula cuma kad pengenalan (mykad) dan kad debit atau kad kredit.

Yang saya kurang pasti, maklumat penting yang ditanya ialah nombor pendaftaran kenderaan, jenama dan model kereta, serta berapa bulan tempoh untuk baharui lesen tu iaitu samaada untuk 6 bulan atau 12 bulan (1 tahun) . Kalau transaksi berjaya, mesin akan cetak slip cukai jalan untuk dilekat di kereta. Cuma pegawai JPJ tu ada pesan, nanti bila ada masa jangan lupa pergi JPJ untuk kemaskini geran kenderaan tu sebagai bukti. Tak tau la bila pula saya 'rasa' nak pergi JPJ ni. Tahun depan kot :P

Oh ye, lagi satu, masa saya cuba guna mesin tu, transaksi dah berjaya cuma ada masalah sikit dengan pencetak tu, kertas tersangkut. Kita pengguna tak boleh buat apa-apa sebab pencetak tu ada di dalam mesin. Mesin tu pula berkunci. Jadi nak pandai-pandai usik pencetak tu memang tak boleh la. Bertuah saya pencetak tu bermasalah waktu tu. Dapatlah saya tengok apa yang kat dalam mesin tu. Rupanya ringkas je. Ada cakera keras, ada skrin, sambung ke pencetak biasa kita beli untuk pakai di rumah di dalam (hahaha). Ingatkan rupanya macam robot yang selalu tengok dalam cerita animasi tu :P

Ak, berbalik kepada topik asal... Bila ada masalah dengan mesin tu, beritahu je kepada pegawai JPJ di kaunter khidmat pelanggan atau telefon nombor yang ditampal di mesin tu. Tapi dah ada dalam JPJ, buat apa bazir kredit telefon, kan? :)

Lepas pegawai JPJ (ala, terlupa nama dia) tu betulkan pencetak tu, menu yang akhir untuk cetak slip cukai jalan saya tu dah tak ada. Paparan di skrin tu dah kembali ke laman utama. Jadi pegawai JPJ tu ajak le saya masuk ke bahagian dalam JPJ (tempat orang awam tak boleh masuk sesuka hati kalau tak dijemput atau ada kebenaran untuk berbuat demikian). Dia minta kad pengenalan je, lepas tu dia cetak slip pembayaran dan slip cukai jalan. Tak pasti kalau pakai mesin tu dalam slip pembayaran ke tidak tapi selalunya kalau pakai mesin macam ni memang dapatlah.

Apa pun, sebab yang disalin tu salinan je, bukan yang asal, di slip cukai jalan tu ditulis.... SALINAN. Bukan nak mengadu ke apa, cuma rasa hairan sikit sebab tak sangka di slip cukai jalan pun ada juga rupanya perkataan ASAL (kalau salinan asal) dan SALINAN (kalau bukan salinan asal) ni. Selama ni di saiz kertas A4 je pernah nampak perkataan ni ke saya yang tak perasan? Entahlah.

Urusan yang kedua, menggantikan lesen memandu saya yang hilang. Untuk gantikan lesen yang hilang tu, saya cuma perlu bawa satu salinan depan belakang kad pengenalan (mykad) dan bayar RM20. Pegawai JPJ tu ada tanya kenapa hilang. Mungkin kalau ada sebab munasabah seperti kebakaran, banjir atau kecurian, denda RM20 tu tak perlu dibayar kot. Malangnya saya punya hilang bila pun saya tak perasan jadi kena la bayar :D

Lepas bayar dan dapatkan slip daripada kaunter, pegawai JPJ tu suruh saya pergi ke kaunter ambil gambar. Di kaunter ambil gambar tu, kena tunggu nama dipanggil baru bergerak ke depan jadi tak payahlah nak susah-susah beratur atau berebut tunggu giliran. Memang tak ada nombor pun.

Lepas ambil gambar tu, rasanya macam tak sampai 10 minit pun lesen memandu yang baru tu dah siap. Alhamdulillah! Saya dah tak memandu secara haram lagi dah (dekat sebulan kot mati tak perasan punya pasal). Cuma yang unik kali ni, saya dapat lesen memandu yang baru. Rupa kad ni dah macam kad pengenalan (mykad), siap ada cip lagi (kalau tak silap la). Inilah rupa lesen memandu yang baru di Malaysia ni menggantikan lesen memandu dalam bentuk plastik yang kita guna selama ni :) Cantik ooo.....

Kedua-dua urusan ni berlaku dengan pantas, tak sampai 30 minit kalau tak ada masalah dengan pencetak tu. Yang lama semasa menunggu giliran ja. Itu je penyebab kedua-dua urusan ni jadi berjam-jam tu.

Oh ye, sementara menunggu giliran, mak saya pergi tanya pada pegawai JPJ yang jaga di kaunter khidmat pelanggan. Boleh tak kalau orang tua yang kaki dah tak berapa kuat nak mohon ubahsuai kenderaan seperti yang orang kurang upaya (OKU) pakai. Pegawai JPJ tu cakap boleh, siap bagi borang lagi. Terlupa pula nak minta dekat mak borang tu, nak tengok. Tapi mak cakap, pegawai JPJ tu beritahu dia yang dia cuma kena pergi jumpa doktor, suruh doktor buat pemeriksaan dan keluarkan surat yang menyokong mak untuk guna kenderaan OKU. Lepas tu isi borang yang JPJ bagi tu dan hantar.

Bukan la berharap sebab sudah pasti saya lebih gembira kalau mak saya sihat walafiat cuma kalau betul la mak jadi nak ubahsuai kereta dia supaya dah tak perlu dikawal guna kaki, ada peluang la saya nak merasa naik dan bawa kenderaan OKU lepas ni. Macam menarik je, macam jakun je... wahahaha... Orang Jakun jangan marah aa... gurau je. Tapi dalam Bahasa Melayu, bila cakap 'macam jakun' tu maksudnya orang yang pelik tengok sesuatu. Memang saya le tu... sebab saya tak pernah lagi sentuh dan bawa kenderaan OKU ni.

Sekian.

3 comments:

Semua komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Apa pun, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi komen :)

Thank you for leaving your comments :) but please be informed that all comments will be screened before they are posted on this site.