Saya asalnya di atas pagar maklumlah jenis yang tak ambil tahu bab politik, tiba-tiba tahun ni terbuka hati nak mengundi. Jadi pening jugalah memilih. Saya betul-betul cemas waktu tu. Saya berdoa kepada Allah tapi sekarang saya dah tak ingat apa doa tu. Cuma saya tahu secara amnya saya memohon agar ditunjukkan kebenaran, agak rakyat Malaysia ditunjukkan kebenaran dan agar umat Islam di Malaysia dan Malaysia terus aman dan selamat.
Oleh itu, Alhamdulillah sekali lagi kerana saya rasa doa saya tu dah termakbul. Saya tak kata pilihan saya sememangnya tepat walaupun saya rasa Allah SWT dah beri petunjuk kepada saya dan umat Islam yang lain sebab sebagai manusia yang lemah, tafsiran kita kepada petunjuk tersebut mungkin tak betul. Namun yang pasti, doa saya supaya Malaysia masih aman dan selamat memang dah termakbul walaupun ada pihak yang cuba menimbulkan pelbagai masalah.
Alhamdulillah lagi kerana keputusan PRU13 telah membuka mata umat Islam di Malaysia. Tak kisah apa sekalipun tafsiran yang dibuat, yang pasti umat Islam khususnya yang berbangsa Melayu terkejut dengan keputusan tersebut dan telah mula berfikir. Entah apalah yang difikirkan tapi kesannya umat Islam kembali bersatu, mungkin bukan dari segi politik, tapi dari segi jihad ekonomi iaitu memperkasakan ekonomi orang Islam dan dari segi menegakkan agama Islam daripada terus dipermainkan oleh mereka yang belum masuk Islam.
Lain-lain kesan yang ketara ialah semakin ramai umat Islam yang berminat untuk mendalami ajaran Islam, mempelajari dan memahami sejarah Melayu serta sejarah Malaysia. Dan Alhamdulillah juga, saya adalah salah seorang daripadanya.
Percaya atau tidak, saya pernah menjawab saya benci Malaysia semasa di sekolah rendah. Kenapa? Sebab saya tak nampak kenapa saya perlu sayangkan Malaysia. Apa yang hebatnya Malaysia ni? Waktu tu rasa hebat sebab berani membangkang suara ramai (tapi tak cakap kuat-kuat la, dalam hati je). Darah muda-mudi, biasalah.
Memang masa belajar, saya antara pelajar terbaik dalam Sejarah. Apa susah? Baca, fahamkan cerita dan hafal. Tapi kesinambungan cerita-cerita tu? Yang tu yang saya tak faham-faham sebab memang tak nampak apa hubungan antara cerita-cerita yang diajar dalam subjek Sejarah. Apa yang saya nampak dengan jelas ialah penduduk Tanah Melayu tak bersatu-padu, pemimpin bergaduh dengan penjajah atas kepentingan sendiri, Sultan hanya simbol tapi tak ada kuasa, dan penduduk Tanah Melayu ni tak maju berbanding penjajah.
Alhamdulillah, nasib baik ada orang Melayu yang sanggup kongsikan info sejarah Melayu dan Malaysia yang sebenar dan terangkan dengan panjang lebar seperti Srikandi dan kaki Internet yang lain (maaf tak ingat nama). Melalui merekalah, baru saya nampak betapa hebat, bijaksana, baik dan ramah orang Melayu ni sebenarnya. Terima kasih banyak-banyak kepada anda semua.
Dalam tempoh pencarian itu juga, ada suara-suara sumbang yang tak puas hati, yang tak setuju, dengan definisi Melayu di Malaysia. Mereka kata orang Melayu ni bodoh sampai tak boleh membezakan antara Islam dengan Melayu padahal Melayu tu bangsa, Islam tu agama. Sampai ada yang kata dia ialah orang Islam dan dah murtad Melayu dan ada yang menganggap memperjuangkan bangsa itu tidak sepenting memperjuangkan agama.
Tapi bagi saya pula, itu menunjukkan orang Melayu dulu-dulu sangat-sangat mementingkan agama Islam sampai tak sanggup berpisah daripada agama Islam. Sehinggakan kalau ada orang Melayu yang keluar daripada agama Islam, orang itu dah tak diakui sebagai orang Melayu. Dalam masa yang sama, orang bukan Melayu pun boleh menjadi Melayu (berdasarkan definisi Melayu mengikut perlembagaan Malaysia) sekiranya menepati syarat.
Bukankah ini sangat hebat? Bagi saya, hal ini menunjukkan orang Melayu di Malaysia sememangnya cuba untuk mengikut ajaran Islam sebaik mungkin dan salah satu daripada ajaran tersebut ialah supaya TIDAK RASIS SESAMA ISLAM sehinggakan orang Melayu sanggup untuk berkongsi keistimewaan yang diberikan kepada bangsa sendiri kepada saudara seagama!
Cuba bayangkan kalaulah semua atau sebahagian besar orang Cina, India dan warganegara bukan Bumiputera yang lain memeluk Islam. Bukankah kalau mengikut perlembagaan Malaysia, mereka ini semua adalah Bangsa Melayu? Apakah nama negara kita? Malaysia!
Malay = Melayu
Sia = Tanah (dalam bahasa latin)
Malaysia = Tanah Melayu!
Bukankah ini lebih kurang sama konsepnya dengan BANGSA INDONESIA, atau BANGSA THAILAND? Cuma bezanya di Malaysia, konsep ini bukan sekadar berteraskan negara tetapi juga AGAMA, tidak memaksa sesiapa untuk menjadi bangsa Melayu, dan tidak memaksa sesiapa untuk membuang identiti kaum masing-masing.
"Bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan terserak"
Sungguh toleran dan bijaksana, kan? :)
Subhanallah. Semakin lama, semakin kagum saya dengan nenek moyang kita. Mereka ni sememangnya bukan calang-calang orang. Atas kebijaksanaan mereka dan berkat bimbingan daripada Allah, orang Melayu di Malaysia ni masih mampu bertahan dan bangkit semula mempertahankan bangsa dan agama walaupun dicerca dan dipandang rendah oleh kaum lain. Alhamdulillah.
Semoga Islam terus bertahan dan berkembang maju dan umat Islam di Malaysia ni mampu membantu umat Islam di negara lain. Amin. In Sya Allah.
P/S 1: Sebelum menuduh saya rasis, sila fahamkan dulu apa maksud rasis. Rasis ialah menganggap bangsa sendiri jauh lebih bagus dan berhak untuk memerintah bangsa lain.
Bagi yang tak tahu, sebelum dijajah, Tanah Melayu sememangnya diduduki dan diperintah oleh Orang Melayu yang dah lama memeluk Islam. Bangsa lain datang atas urusan perdagangan sahaja. Golongan Baba dan Nyonya adalah minoriti yang datang menetap terus di Tanah Melayu dan berasimilasi dengan budaya Melayu tapi kebanyakannya masih mengekalkan agama mereka.
Dalam ajaran Islam, pemerintah Islam wajib menegakkan ajaran Islam. Oleh itu, Tanah Melayu adalah negara Islam kerana diperintah orang Islam dan perlembagaan serta undang-undang negara sedikit sebanyak dicorakkan berdasarkan ajaran Islam.
Semasa zaman penjajahan oleh kuasa-kuasa besar dari Barat, Orang Melayu masih pemerintah Tanah Melayu dan masih kekal dengan agama Islam. Selepas merdeka pun Orang Melayu masih kekal sebagai pemerintah Tanah Melayu yang telah ditukar nama menjadi Malaysia dan masih beragama Islam.
Sekarang cuba perhatikan Singapura dan negara-negara yang diperintah oleh mereka yang belum memeluk Islam. Adakah mereka memberi kebebasan kepada orang Islam untuk menjalankan perintah Allah seperti menutup aurat dan bersolat? Adakah mereka berminat untuk memulakan industri makanan halal? Adakah mereka berminat untuk merangka sistem kewangan yang menepati ajaran Islam? Adakah mereka akan memberi kelonggaran dan kemudahan untuk memudahkan orang Islam menunaikan Haji?
Oleh kerana mereka tidak mengikuti ajaran Islam, kebanyakan mereka juga membenarkan perkahwinan di antara golongan homoseksual, membenarkan perhubungan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) dan seks bebas secara terbuka, kelab malam dan kelab perjudian tumbuh bagaikan cendawan, kegiatan pelacuran dan perdagangan manusia berleluasa, arak, rokok, dadah dijual merata-rata dan banyak lagi. Semua ini melanggar ajaran agama Islam.
Perhatikan pula kaum manakah yang paling banyak memeluk Islam di Malaysia? Cina? India? Orang asli? Tak, semua bangsa ni ada di antara yang memeluk Islam tapi tak semua dan tak ramai. Melayu? Definisi Melayu dalam perlembagaan Malaysia itu sendiri hanya mengakui orang Melayu yang beragama Islam.
Jadi, kenapa hairan yang Orang Melayu takkan sesekali melepaskan kuasa pemerintahan itu kepada yang bukan Melayu?
Jelas, ini bukan masalah rasis. Orang Melayu tak beri peluang kepada bangsa lain untuk mentadbir Malaysia bukan kerana menganggap bangsa mereka lebih baik daripada orang lain tapi kerana mereka mahu menegakkan agama Islam. Orang yang belum memeluk agama Islam pastinya tidak mampu untuk mentadbir negara ini mengikut ajaran Islam yang sebenarnya.
Kalaulah semua orang Cina dan India di Malaysia ni beragama Islam, saya rasa ada kemungkinan besar penubuhan Malayan Union itu takkan dihalang, UMNO tak wujud dan isu rasis ni pun tak wujud.
P/S 2: Kepada yang menganggap Islam itu jumud dan mengongkong, saya nak ingatkan bahawa nilai yang kita pegang berbeza. Awak bebas untuk mengamalkan ajaran agama awak dan umat Islam bebas untuk mengamalkan ajaran Islam. Bab agama ni memang isu berat seluruh dunia. Nak berbincang boleh tapi kena jaga adab. Jangan cari pasal dengan menghina atau merendah-rendahkan mana-mana agama kalau tak mahu mati.
Sekian di sini sahaja. Selamat mengamalkan agama masing-masing :)
No comments:
Post a Comment
Semua komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Apa pun, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi komen :)
Thank you for leaving your comments :) but please be informed that all comments will be screened before they are posted on this site.