Friday, January 3, 2014

Tukar Kad ATM Akaun Simpanan CIMB Islamik dan Perihal Kad BSN Giro

Masa saya buka akaun simpanan CIMB 3 tahun lepas, saya ada pilihan untuk buka akaun konvensional atau akaun Islamik. Kalau buka akaun konvensional, kad ATM tu boleh digunakan sebagai kad debit tapi kalau buka akaun Islamik, fungsi kad debit tu tak ada. Sebagai orang Islam, kalau dah ada yang Islamik mestilah saya ambil yang Islamik, tambah-tambah lagi apabila saya tak ada keperluan mendesak yang memaksa saya guna akaun konvensional. Alhamdulillah, kurang sikit saya terlibat dengan riba.

Apa pun, 2-3 minggu lepas, semasa merantau dengan kawan saya, saya ternampak kad CIMB dia berwarna merah. Waktu tu la baru saya tau rupanya kad ATM untuk akaun simpanan Islamik pun dah boleh guna sebagai kad debit sekarang ni. Dia buka akaun dia tahun lepas, maksudnya dah lama juga pembaharuan ni dibuat. Entah macam mana saya tak tahu... Hehehe... ni sebenarnya kisah orang malas pergi bank asyik guna CIMBClicks je selama ni...

Waktu mula-mula saya ingat kawan saya tu buka akaun simpanan konvensional sebab kad dia warna merah dan dia cakap kad dia tu boleh diguna sebagai kad debit. Waktu saya buka dulu, kad untuk akaun simpanan konvensional warna merah, kad untuk akaun simpanan Islamik pula warna hijau. Sekarang ni kad untuk akaun simpanan Islamik pun dah warna merah. Tak tau la kad untuk akaun simpanan konvensional masih warna merah atau dah tukar warna lain.

Untuk guna kad ATM akaun simpanan Islamik sebagai kad debit MasterCard, saya kena tukar kad yang lama dengan kad yang baru. Jadi hari Jumaat lepas saya pun pergi la ke Bank CIMB untuk urusan pertukaran kad ni. Sebaiknya bawa kad pengenalan dan buku akaun la tapi kalau buku tu hilang atau tak bawa, rasanya tak ada masalah untuk pihak bank batalkan kad lama dan buat kad yang baru sebab saya tengok pegawai CIMB yang berurusan dengan saya tu cuma tengok buku tu untuk dapatkan nombor akaun je.

Pegawai tu pegawai baru jadi dia hadapi banyak masalah dengan sistem sebab banyak sekatan dikenakan pada orang baru. Oleh sebab tu juga la saya dapat tengok dia cari nombor akaun saya di sistem guna nombor kad pengenalan je. Wahaha, bukan nak ajar buat jahat atau malas bawa buku akaun k.. cuma nak kongsi pengalaman je. Kalau salah, tolong betulkan. Yang baca ni pun kalau nak selamat, telefon pihak bank dulu untuk pastikan maklumat yang diperlukan pihak bank k.

Yang tak berapa seronok tu bila kena cas RM12. Yelah, bukan sebab apa. Masa pegawai baru tu isi borang mohon kad tu, dia tanda pada pilihan ganti kad lama sebab kad lama rosak. Padahal kad lama tu tak ada masalah pun. Nak ganti pun sebab nak dapatkan fungsi kad debit je. Masalahnya dalam borang tu tak sediakan pilihan tu jadi pegawai baru tu pun tanda je la yang mana-mana dia rasa sesuai.

Itu satu hal. Hal yang kedua, sebab kena bayar cas RM12. Sebelum pergi bank, saya dah pergi semak di laman web rasmi CIMB. Sepatutnya tak kena cas RM12 ni kalau tak disebabkan kehilangan atau rosak sebab cuai. Tapi yelah, dia pegawai baru, saya pula masa tu ingat-ingat lupa, tak berapa yakin juga dengan maklumat yang saya dapat. Lagipun, maklumat di laman web ni kadang-kadang mengelirukan atau tak dikemaskini. Jadi mungkin dulu macam tu tapi sekarang sebenarnya dah lain. Jadi saya bayar je la RM12 tu walaupun ada sikit rasa cuak dan tak puas hati tu...

[KLIK UNTUK BESARKAN]

Syukur Alhamdulillah, YAY, dah dapat kad baru! Kad yang lama tu dia ambil terus. Tak sabar rasanya nak guna kad ni ganti kad kredit untuk membeli-belah dan isi minyak. Kad kredit Gold Mastercard HSBC saya tu pun bukan yang Islamik punya. Tunggu masa je tu untuk dibatalkan dan digantikan dengan kad kredit versi Islamik :)

Oh, ye, tak habis lagi pasal CIMB ni. Sebab saya guna CIMBClicks, mula-mula dah dapat kad tu, lepas tukar nombor pin, saya terus uji pula CIMBClicks di mesin ala komputer yang ada di bank. Saya terlupa yang saya perlu daftar balik kad baru saya ke CIMBClicks di mesin ATM dahulu sebelum boleh diakses di CIMBClicks. Jadi bila saya cuba akses CIMBClicks, memang keluar ralat ('error') la. Tak pa, saya cuba daftar di mesin ATM. Aik, ralat juga?. Ralat apa tah, tak ingat tapi kalau tak silap berkaitan dengan nombor telefon bimbit tu dah digunakan di akaun lain (memang la, dah kad lama pakai nombor tu juga).

Tengok semua pegawai CIMB tengah sibuk, saya pun malas nak kacau. Saya telefon nombor bebas tol. Pegawai yang angkat telefon tu jawab dia dah daftar aduan tu, nanti pihak CIMB akan telefon saya semula untuk tindakan selanjutnya. Dengan kata lain, tak ada apa-apa lagi la yang saya boleh buat untuk selesaikan masalah ni selain menunggu maklumbalas pihak CIMB.

Lepas selesai urusan di Bank CIMB, saya pun pergi ke Bank BSN.

Saya sebenarnya dah lama teringin nak guna fungsi perbankan atas talian MYBSN tapi malas nak pergi bank punya pasal, dah 2-3 tahun tertangguh :P Sesiapa yang baca blog saya ni jangan ikut perangai buruk saya k.

Untuk guna fungsi perbankan atas talian ni senang je. Pergi mesin ATM BSN, masukkan kad ATM, cari menu yang bunyinya mirip 'perbankan online', atau 'perbankan atas talian'. Masukkan nombor telefon bimbit, set nombor pin, selesai! Ooops, selesai urusan di mesin ATM je. Tindakan seterusnya ialah dengan menelefon pusat khidmat pelanggan BSN untuk aktifkan fungsi ni. Entah, tak ingat apa maklumat yang pegawai BSN tu minta tapi kalau tak silap maklumat peribadi, nombor akaun dan nombor kad.

Lepas tu, layari laman web rasmi MYBSN di http://www.mybsn.com.my/ dan klik 'Register'. Isi je ikut apa yang borang tu minta. Selesai... :)

Tapi yang lawak tak senonohnya, lepas dah selesai buat semua tu, baru perasan.... kad tamat tempoh Disember 2012! Tanya dekat pegawai BSN, dia cakap kad tu telah dilanjutkan ke 2013 (erk, ye ke? Baru tahu) dan boleh dipakai sehingga 31 Disember 2013 sahaja. Lepas tu baru teringat lagi satu perkara, er, akaun GIRO saya ni akaun konvensional ke akaun Islamik?

Akaun tu dibuat zaman waktu saya kecil lagi tapi saya jarang sangat-sangat sentuh akaun tu. Nak ambil duit di mesin ATM guna akaun tu pun jarang sangat-sangat. Jadi tak ada keperluan nak tengok buku akaun. Sebab tu saya tak perasan pun akaun tu akaun apa. Pegawai BSN tu semak dan beritahu saya akaun BSN yang saya pakai selama ni ialah akaun konvensional ~_~

Dari sudut positif, bagus juga perkara ni berlaku. Walaupun nampaknya macam saya dah buang masa, tapi kalau tak pergi, saya pun tak perasan bila kad tu tamat tempoh dan entah bila baru saya akan teringat nak semak akaun saya ni jenis apa. Sekurang-kurangnya, hari Isnin, saya boleh tutup terus akaun (dah alang-alang kad pun dah nak mati) GIRO tu dan buka akaun Islamik Giro-I serta daftar kad baru tu untuk perbankan atas talian. Baling banyak burung serentak dengan satu batu... muahahaha :D

Ooo, lagi satu bila tukar akaun baru nanti, kad baru ada fungsi debit juga. Agaknya sekarang memang semua bank dalam proses tukar kad ATM jadi kad debit kot.

2 comments:

  1. Macam mana nak semak baki akaun CIMB Bank online?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kena daftar CIMBClicks baru boleh semak baki akaun CIMB melalui Internet.

      Nak daftar tu, mula-mula kena daftar di mesin ATM CIMB. Cuba cari dan klik pada menu yang ada bunyi-bunyi CIMBClicks. Ikut je arahan yang diberikan. Kalau tak berani nak cuba-cuba boleh minta tolong je daripada kakitangan CIMB :)

      Lepas daftar di mesin ATM, pergi laman sesawang https://www.cimbclicks.com.my/ dan klik Online Registration. Kemudian ikut je arahan yang diberikan.

      Dah daftar, log masuk. Pergi ke My Accounts dan klik pada Current/Savings untuk tengok maklumat akaun seperti baki dan log transaksi terkini :)

      Delete

Semua komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Apa pun, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi komen :)

Thank you for leaving your comments :) but please be informed that all comments will be screened before they are posted on this site.